#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Februari 09, 2011

Takut bermadu?

Utusan Malaysia
06/02/2011

KISAH minggu lalu tentang bermadu dan berkongsi menarik perhatian Mimizarina untuk berkongsi pengalaman pahit yang dilaluinya. Hingga kini dia masih tidak faham mengapa ramai kaum wanita takut bermadu.

''Sudah bertahun-tahun saya mengikuti ruangan ini rasanya sekali dua saya terbaca kisah wanita yang izinkan suaminya berpoligami, yang lainnya semua akan bertindak sebaliknya, ada juga jadi lebih ganas bila dengar cerita suami ada kekasih haru apa lagi kalau suami melahirkan hasrat hendak kahwin lagi. Mengapa jadi begini?'' Itu pertanyaan Mimizarina dalam emelnya.

''Saya berkahwin ketika berusia 35 tahun. Suami saya sudah pastilah suami orang. Saya kira tentu pembaca dapat menelah masalah yang saya hadapi dengan madu saya di samping memahami masalah suami saya sendiri. Pelbagai ragam dan syarat ditetapkan sebelum hasrat saya berkahwin dengan suaminya dapat diterima. Iaitu izin bersyarat.

''Macam-macam syarat dan masalah diletakkan ke bahu suaminya supaya hasrat kami hendak berkahwin tidak terlaksana. Masalah pertama tentulah soal kewangan, dia bimbang suaminya tak mampu menanggung dua keluarga sedangkan dia sudah ada tiga orang anak.

Kasih-sayang

''Kepada suami saya mahupun saya sendiri itu bukan masalahnya, sebab saya bekerja dan sudah memegang jawatan yang agak tinggi. Jadi masalah berebut duit tak timbul langsung, sebab saya boleh tanggung diri sendiri.

''Lebih daripada itu saya juga memiliki rumah dan kereta sendiri. Jadi di sini jelas unsur-unsur 'nak mengaut harta' suaminya tidak timbul sama sekali. Sebab kalau selama ini saya boleh bayar ansuruan kondo dan kereta mewah yang saya miliki, takkan saya tak boleh teruskan selepas berkahwin. Apa yang saya harapkan cuma kasih-sayang dan perlindungan dari seorang suami. Saya ingin menumpang kasih sayang suaminya. Tetapi itu pun tidak diizinkan oleh isterinya, dia seolah-olah takut bahawa saya akan kawal harta dan duit ringgit suaminya, dan merampas kasih sayang suami dan anak-anaknya.

''Oleh kerana suami saya ketika itu masih berkeras hendak memperisterikan saya, dan masih berkeras mahu berpoligami, maka terjadikan pergaduhan antara mereka suami isteri yang berakhir dengan berpisah. Sebab isterinya tak rela bermadu sebab dia takut keselesaan, kesenangan serta kasih sayang suaminya saya rampas.

''Apabila terjadi perceraian maka sudah tentulah saya dipersalahkan dan dipertanggung jawabkan 200 peratus menjadi punca dan penyebab perceraian mereka. Sedangkan isterinya tidak menyalahkan dirinya bahawa dia sendiri yang meminta diceraikan sebab dia tidak mahu berpoligami. Rugikah dia kalau dia dipoligamikan?

''Sebagai manusia, yang dilahirkan dengan unsur-unsur kasih sayang, saya tidak faham mengapa kita tidak merelakan kasih dan sayang suami kita dikongsi bersama orang lain. Sekiranya bimbang suami tidak berlaku adil, bukankah setiap masalah boleh di selesaikan dengan baik kalau dibawa berbincang dan bermuzakarah?

''Lebih teruk lagi bila saya berkahwin dengan suami orang, mestilah ada yang gatal-gatal mulut bertanya "dah tak ada lagi ke orang bujang dalam dunia ini nak dibuat suami?" Masalahnya, bukan tak ada! Tetapi masalah saya setiap kali bercinta dan berkasih dengan orang bujang bagai nak rak dan saya memberi seluruh jiwa raga dan cinta saya kepadanya. Akhirnya saya ditinggalkannya juga dengan pelbagai alasan.

''Ada jugak lelaki bujang yang menolak cinta saya katanya "awak tak layak untuk saya!" sebabnya hanya kerana jawatan dan pendapatan saya lebih besar daripada dia.

''Pada pandangan saya juga, bercinta dan berkasih dengan suami orang tu bukanlah satu kesalahan, bukan juga satu dosa, selagi kita masih lagi menjaga adab dalam perhubungan kita di sisi Allah, kerana saya orang Islam. Dan saya amat berpegang kepada ajaran keluarga saya, berkawan boleh tetapi jangan sampai terlanjur.

''Kini saya masih ada beberapa orang rakan perempuan yang masih belum berumahtangga dan masing-masing takut untuk terlibat dengan lelaki yang berstatus suami. Sebab mereka tidak mahu dituduh perampas. Jauh sekali dituduh hendak merampas harta benda lelaki tersebut. Sedangkan mereka memegang jawatan tinggi.

''Di sini saya ingin bertanya kepada pembaca khususnya kaum wanita sekelian, kalau sudah tak ada orang bujang atau duda yang sudi hendak memperisterikan mereka, salahkah kalau lelaki yang berstatus suami memperisterikan mereka? Tolong jawab!

''Kenapa para isteri menjadi 'kedekut' dengan beranggapan suami itu adalah hak mutlak mereka seorang sahaja? Tidak boleh dikongsi dengan wanita lain. Bab inilah yang saya tidak faham sangat. Saya sendiri merelakan mereka untuk bermadu dengan saya, mereka pulak yang tak mahu bermadu dengan saya?

''Namun pada pandangan saya keengganan mengizinkan suami berpoligami disebabkan dua perkara asas; Pertama kerana lemahnya pegangan agama, si isteri tadi, walaupun mereka beragama Islam.

''Kedua, kurangnya kesedaran tentang kasih-sayang yang dikurniakan Allah kepada setiap insan, yang seharusnya dikembang dan disebarkan kepada semua umat-Nya. Sedarkah anda bahawa kasih sayang adalah milik setiap insan. Bukan milik peribadi anda.

''Saya juga nak tanya apakah para isteri semua lebih rela ramai gadis tak kahwin atau jadi andartu daripada berpoligami? Saya faham kalau suami tak mampu memang mereka tak layak berpoligami.'' Demikian cerita Mimizarina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan