#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Ogos 18, 2010

'Saya sudah tiada hati'

Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@hmetro.com.my
2010/08/18

AMPANG: “Sejak kes terbaru itu, suami langsung tidak pulang dan saya sudah tidak kisah lagi kerana anak-anak pun tidak pernah menyebut nama bapa mereka,” kata Julia Daud, 29, isteri kepada pelakon, Badrul Muhayat, 42, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Cheras, di sini.

Menurutnya, apa yang menyedihkan anak bongsunya yang kini berusia enam bulan hanya sempat menumpang kasih dengan suaminya itu untuk tempoh sebulan.

“Sesekali hati saya sebak setiap kali teringatkan kehidupan yang bakal ditempuh dua anak saya ini tanpa kasih sayang seorang bapa namun apakan daya jika ini adalah takdir.

“Walaupun hati sudah tertutup buat suami, saya tidak menghalang dia bertemu anak kerana kasih bapa takkan putus walaupun kami sudah berpisah,” katanya.

Menurut Julia, anak sulungnya, Siti Nor Batrisyia yang berusia tiga tahun dan petah bercakap pernah menganggap bapanya sudah mati setiap kali ditanya rakan.

“Sebagai seorang ibu, hati saya sangat sedih mendengar jawapan daripada anak itu namun tidak berdaya melakukan apa-apa kerana bapa mereka memang tidak pernah menjenguk dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka.

“Apa mampu dilakukan ialah hanya menasihati anak supaya bercakap lebih baik dan tidak memburukkan bapa mereka kerana risau ia akan memberi kesan psikologi kepada dirinya kerana terpaksa berhadapan situasi seperti ini dalam usia yang masih mentah,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan Ramadan dan juga sambutan hari raya yang bakal menjelang, Julia berkata dia hanya bersederhana dalam berbelanja kerana tumpuanlebih utama adalah anak yang semakin membesar.

“Ramadan kali ini disambut seperti biasa walaupun tanpa kehadiran suami kerana saya sudah biasa mengalami keadaan sebegini sejak beberapa tahun lalu.

“Tahun ini, saya bercadang membawa dua anak pulang ke kampung di Perak untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, dia kini terpaksa bekerja keras bagi menampung kehidupan mereka tiga beranak kerana Badrul bukan saja menghilangkan diri malah turut meninggalkan bebanan hutang yang terpaksa ditanggungnya.

"Saya kini hanya bergantung sumber kewangan diperoleh daripada pekerjaan sebagai penari itupun secara sambilan.

“Selain itu, ada juga beberapa tawaran berlakon watak sampingan yang diberikan dan ini dapat meringankan beban perbelanjaan yang terpaksa ditanggung,” katanya.

Harian Metro 16 Julai lalu melaporkan Badrul Muhayat bertindak kejam apabila sanggup mengasari isterinya dan merampas wang jaminan mahkamah RM2,500 sebelum melarikan diri.

Kejadian itu membuatkan Julia benar-benar terkilan serta hatinya tertutup rapat dan tidak akan memaafkan lagi Badrul yang sebelum itu berjanji akan berubah.

Janji yang dibuat suaminya ketika berada dalam lokap untuk menjaga dirinya dan juga anak-anak itu berakhir dengan kejadian paling memeritkan buat ibu muda terbabit apabila Badrul sanggup melakukan perbuatan kejam itu sejurus mahkamah membebaskannya selepas membayar kompaun.

Berikutan itu, Julia membuat satu lagi laporan polis berhubung kejadian terbabit sebelum dia akhirnya nekad membuat tuntutan cerai kerana sudah tidak tahan menempuh kehidupan bersama pelakon terbabit sejak empat tahun mereka berkahwin. Beliau sudah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan