#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Ogos 06, 2010

Lari dari rumah buru ketenangan

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
Harian Metro
2010/07/30


SEBOLEHNYA, episod sedih itu mahu dilupakan, jauh sekali ingin diperkatakan berulang kali.

Begitu perasaan tiga remaja perempuan ini ketika dikunjungi wartawan Rosmaliana Aida Mohd Adnan (rosmaliana@hmetro.com.my) yang ingin mendengar kisah mereka yang pernah tekad melarikan diri dari rumah.

Bukan mahu mengungkit kisah lama, namun pengalaman mereka boleh dijadikan iktibar untuk dikongsi bersama pelbagai lapisan masyarakat.

BAGI Ain, 15, (bukan nama sebenar) dia mula bertindak lari dari rumah sejak berada di tingkatan dua disebabkan tekanan yang dialami daripada keluarga dan tiada kebebasan.

Ditambah pula desakan dan pengaruh rakan yang menyokong perbuatannya, maka dia membulatkan tekad untuk melarikan diri dari rumah.

"Paling lama saya menghilangkan diri selama seminggu dan ia dilakukan beberapa kali sepanjang tempoh itu.

"Saya berasa seolah-olah memperoleh ketenangan dengan lari dari rumah, justeru saya tidak kisah mengulanginya beberapa kali," katanya ketika ditemui di sebuah rumah perlindungan di Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Ketika berada di luar rumah, Ain akui dia hanya bersiar-siar dan melepak untuk menghabiskan masa bersama rakan.

"Saya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan, hanya ingin melepaskan tekanan bersama rakan.

"Biasanya, saya sendiri pulang ke rumah selepas beberapa hari, bergantung pada perasaan. Bukan tidak kasihan melihat ibu dan ayah tapi desakan yang menyebabkan saya berbuat sedemikian," katanya.

Lin, 15, (bukan nama sebenar) berkata, kedua-dua ibu dan bapa memiliki pegangan yang tinggi dalam bidang agama dan memberikannya pengetahuan agama yang mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu yang menimbulkan rasa terkongkong dalam diri hingga akhirnya bertindak melarikan diri dari rumah.

"Saya rasa cukup terkongkong apabila ibu tidak membenarkan saya keluar bersama rakan dan mempersoalkan kenapa saya berkawan dengan mereka.

"Malah, saya cukup terasa apabila mak banyak melebihkan adik-adik daripada saya. Saya sering berfikir, apa salah saya sebenarnya?" katanya.

Ketika melarikan diri, Lin tinggal bersama rakan yang banyak menanggung segala perbelanjaan sepanjang berada bersamanya.

"Kami keluar melepak secara berkumpulan dan duduk di satu-satu tempat itu hingga pagi. Ketika itu, saya cukup merasakan kebebasan sepenuhnya.

"Rindu pada rumah dan keluarga juga makin menipis kerana keseronokan sementara itu. Tapi ibu dan bapa sering kali menemui saya walau berapa kali saya menghilangkan diri," katanya.

Disebabkan itu, dia dihantar ke pusat perlindungan berkenaan bagi membentuk dan mendidiknya semula asas agama yang makin dilupakan.

Amy, 15, (bukan nama sebenar) pula berkata, dia sudah enam kali melarikan diri dari rumah disebabkan desakan dan tidak tahan 'gangguan' yang dilakukan orang tersayang.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, daripada peristiwa itu, dia mula terbabit dengan aktiviti merokok, meminum arak dan dadah.

"Untuk menampung perbelanjaan, saya mula bekerja sambilan pada waktu siang dan melepak bersama rakan pada waktu malam.

"Saya tahu semua yang dilakukan itu salah tapi disebabkan tertekan dan ingin berseronok, segalanya dilupakan dan hanya menurut kata hati," katanya.

Akhirnya, Amy kini ditempatkan di rumah perlindungan bagi mengelakkannya daripada terus hanyut dan leka dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, daripada ketiga-tiga pengakuan yang diberikan remaja terbabit, penulis dapat merasakan mereka seolah-olah menyembunyikan hakikat sebenar mengenai kejadian yang sebenarnya berlaku ketika melarikan diri dari rumah.

Andaian penulis, mereka mungkin malu atau ada perkara lain hingga menyebabkan mereka sukar untuk meluahkan perasaan. Namun Penolong Pengurus Rumah Iman (Wanita), Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Rossilawati Osman, segera menjawab teka-teki penulis.

Menurutnya, mereka sudah lali dengan setiap pertanyaan yang diajukan kepada mereka yang diminta untuk berkongsi pengalaman dengan umum.

Pada awalnya remaja berkenaan mungkin ingin bercerita tapi lama-kelamaan disebabkan terlalu banyak yang diceritakan, ia membuatkan mereka merasakan seolah-olah membuka pekung di dada.

"Sedikit demi sedikit mereka akan cuba untuk menyembunyikan perkara sebenar. Di samping itu, mereka pernah bertanya kenapa perlu mengingati semua itu sedangkan mereka berada di rumah perlindungan untuk melupakan perkara lalu.

"Saya sering katakan, anggaplah ia sebagai satu dakwah untuk membuka mata mereka yang belum melakukannya kerana ia tiada faedah, sebaliknya memusnahkan masa depan diri sendiri saja," katanya.

Walaupun baru setahun tujuh bulan menguruskan rumah perlindungan berkenaan, Rossilawati berkata, kebanyakan remaja yang berada di situ mahu berubah tapi memerlukan sokongan untuk meneruskannya.

"Di sinilah kami akan berusaha untuk memantapkan kembali iman, keyakinan dan pegangan mereka agar tidak terus terpesong daripada jalan sebenar.

"Mereka boleh dibentuk kerana masih muda tapi apa yang penting, sokongan keluarga dan kemahuan mereka untuk berubah," katanya.

Selain itu, katanya, tiada panduan khusus yang boleh digunakan untuk mengelak remaja lari dari rumah kerana mereka melarikan diri disebabkan keinginan bagi memperoleh sesuatu yang tidak dimiliki di rumah.

Ketika inilah, tanggungjawab ibu bapa memainkan peranan penting dan perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan kejadian sedemikian daripada terus berlaku.

"Ibu bapa mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kelemahan dan kelebihan anak mereka. Oleh itu, pada saat mereka mengesyaki perkara tidak diingini akan berlaku, kawal keadaan itu sebaik mungkin.

"Jangan mendesak mereka, sebaliknya cuba gunakan cara yang lebih berdiplomasi iaitu dengan berbincang masalah dihadapi anak dan cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk mereka," katanya.

Rossilawati berkata, corak didikan remaja zaman sekarang agak berlainan kerana mereka lebih banyak menunjukkan cara memberontak berbanding remaja zaman dulu.

"Remaja kini sanggup melakukan perkara yang tidak pernah dibayangkan orang dewasa.

"Oleh itu, penting untuk memahami apa yang dikehendaki remaja ini agar ibu bapa boleh bersama-sama cuba untuk memastikan ia tercapai tapi dengan cara lebih berkesan dan bermanfaat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan