#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, November 25, 2013

Ayah 'pisahkan' kami supaya suami sedar silapnya

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 23/11/2013

RAMAI yang selama ini menyangka kepuasan bekerja terletak pada gaji lumayan. Hakikat sebenar adalah sebaliknya. Tidak ada maknanya gaji yang tinggi apabila kita tidak punya masa bersama keluarga, tidak sempat bersosial, tiada masa rehat dan melalui suasana kerja yang tegang. Gaji lumayan dan kemudahan yang dimiliki hanya memberikan kepuasan jangka pendek.

Ya betul! ada kerja ada gaji, tetapi jika terlalu kerap bertukar pekerjaan, adalah sesuatu yang merugikan diri sendiri. Ada segelintir orang bekerja kerana organisasi tempat dia bekerja mempunyai pekerja yang ramai serta nama yang besar. Hakikatnya, saiz organisasi bukanlah faktor utama dalam mencari keseronokan jika tidak disertakan dengan keikhlasan dan minat. Bagaimana pula jika anda mengahwini seorang lelaki yang suka bertukar-tukar pekerjaan kerana inginkan kepuasan dan pujian orang keliling sehinggakan akhirnya tidak ada kerja dan terpaksa berbohong dengan isteri?.

Hana (bukan nama sebenar) ada cerita yang ingin dikongsi dengan pembaca berkaitan mukadimah saya minggu ini. Kita ikuti cerita Hana. "Saya berusia lewat 20-an bekerja sebagai seorang penjawat awam dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan Adi (bukan nama sebenar) yang bercita-cita tinggi dalam hidupnya. "Kami berkahwin atas dasar cinta sama cinta dan direstui keluarga kedua-dua pihak. Saya akur dengan realiti hidup bahawa setiap perkahwinan akan diduga dalam mencari keberkatan hidup bersuami isteri.

"Ketika masih menuntut di IPTA, emak mengingatkan saya supaya 'sambil menyelam minum air'. Saya faham apa yang emak inginkan, sambil belajar kita kena cari calon teman hidup. "Ketika di tahun akhir pengajian, saya diperkenalkan oleh rakan sekuliah kepada abangnya yang telah pun bekerja. Saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana cinta saya disambut dan mendapat restu keluarga masing-masing.

"Tiga bulan kemudian kami bertunang dan bulan berikutnya kami bernikah. Alangkah bahagianya saya ketika itu, impian menjadi kenyataan.

"Menjadi ratu dan raja sehari adalah kenangan yang paling indah bagi semua pasangan pengantin. Sehingga kini gambar kami ketika bersanding di atas pelamin masih tersusun kemas di atas meja di dalam kamar tidur kami.

"Segalanya adalah kerana cinta dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Adi, seorang suami yang prihatin dalam semua urusan dan saya sangat bersyukur dan rasa disayangi.

"Setahun kemudian, kami dikurniakan seorang anak lelaki dan kasih kami bertambah erat. Kami tiada masalah dalam urusan penjagaan anak kerana emak mentua saya sanggup menjaga cucunya.

"Rumah kami tidak berapa jauh dari rumah mentua saya, jadi senang untuk kami berulang-alik menghantar anak pada waktu pejabat sahaja. Hujung minggu, kami bergilir-gilir bertandang ke rumah mentua dan emak saya.

"Suatu hari, saya mengambil cuti kecemasan kerana anak kurang sihat dan perlu dibawa ke klinik. Adi memberi alasan banyak kerja dan tidak dapat menemani saya bersama anak ke klinik.

"Saya langsung tidak pernah fikir yang Adi akan berlaku curang terhadap saya. Hinggalah segala-galanya terbongkar pada hari itu setelah saya melihat Adi bersama seorang gadis berpegangan tangan di sebuah kompleks membeli-belah semasa saya membawa anak ke klinik.

"Sedihnya hati bila mata saya melihat suami yang saya sangka pergi bekerja rupa-rupanya mengambil kesempatan menduakan saya. Mereka nampak sangat mesra.

"Saya mengambil kesempatan menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan aksi mesra mereka dan terus meninggalkan tempat itu dengan linangan air mata.

"Hancurnya hati ini sukar untuk digambarkan dan sepanjang perjalanan pulang ke rumah, saya tidak berhenti menangis. Mengenangkan si kecil yang tidak sihat, saya kuatkan semangat untuk melawan kesedihan saya.

"Dalam hati, saya tertanya-tanya apa kesalahan saya dan kenapa Adi sanggup berubah kasih kepada perempuan lain yang sebaya dengan saya?

"Usia perkahwinan kami masih muda tetapi Adi telah menunjukkan belangnya yang selama ini disembunyikan daripada saya. Nampak di depan pijak semut tak mati, di belakang? Mengenangkan perangai Adi, saya menjadi kecewa dan sedih yang teramat.

"Terpandang wajah anak, saya menangis sungguh-sungguh tetapi reda akan takdir yang tersurat. Saya masih boleh mengawal emosi kerana tidak mahu mencetuskan perkara yang boleh mengeruhkan lagi suasana. "Terfikir juga saya, mungkin itu saudara suami yang saya tidak kenal tetapi kenapa perlu sampai pegang tangan dan peluk? Saya tidak putus-putus berdoa semoga tidak terjadi sesuatu perkara yang boleh memisahkan saya dan suami.

"Saya tidak pernah bersuara atau mengadu hal ini kepada keluarga. Sakit hati saya ubati sendiri sambil berdoa agar suami akan berubah dan insaf dengan perbuatannya.

"Saya mohon Allah selamatkan kami sekeluarga dan memberi petunjuk kepada Adi dalam melayari bahtera rumah tangga sebagai suami dan ayah kepada anak kami yang masih kecil.

"Hari-hari yang dilalui seperti tiada sengketa antara kami, masing-masing berlakon, Adi dengan romantisnya sebagai ketua keluarga dan saya juga begitu kerana tidak mahu dia mengesyaki apa-apa terutama isu saya nampak dia bersama perempuan itu tempoh hari.

"Segala yang saya lakukan semata-mata untuk menyelamatkan maruah kami. Saya tidak mahu kami bergaduh dengan isu yang boleh meranapkan kasih sayang kami yang masih mentah dalam alam rumah tangga.

"Perbelanjaan rumah tangga, saya dahulukan sebab alasan suami, gajinya disimpan untuk membeli rumah yang lebih selesa. Baguslah ada cadangan untuk memiliki rumah yang lebih selesa…" sambil tersenyum saya zahirkan pandangan itu kepadanya ketika kami sedang makan malam.

"Dunia ini terlalu kecil untuk kita sembunyikan pergerakan kerana banyak mata yang akan memandang dan dalam sekelip mata segala maklumat akan tersebar. Allah Maha Mengetahui, kebenaran akan terserlah tanpa diminta.

"Diringkaskan cerita, satu hari ayah saya sendiri ternampak menantu kesayangannya itu sedang bersantai dengan kawan-kawannya di sebuah warung pada hal ketika itu, sepatutnya dia ada di tempat kerja.

"Sekarang waktu pejabat, kenapa tidak masuk bekerja? Tiba-tiba ayah saya muncul di hadapan Adi yang kelihatan terkejut dengan kehadiran bapa mentuanya secara tiba-tiba.

"Dia tidak berkata apa-apa kerana terlampau terkejut. Kawan-kawannya semua lari meninggalkan dia terpinga-pinga seorang diri menahan malu disergah ayah saya.

"Tanpa menunggu jawapan, ayah saya terus meninggalkan warung tersebut dan menceritakan kepada emak apa yang dilihatnya. Kita tunggu Hana dan Adi pulang ke rumah dan tanya mereka hal yang sebenar, kata emak yang cuba menenangkan ayah yang ternyata amat marah.

"Pada malam itu, emak dan ayah bertandang ke rumah kami. Saya tidak tahu apa puncanya kedatangan mak dan ayah pada malam itu sehinggalah tercetus soal jawab antara mentua dan menantu.

"Pelbagai alasan diberikan oleh Adi dan saya hanya mendiamkan diri walaupun saya tahu kisah sebenar. Sebagai isteri, saya sedih dan malu dengan perlakuan Adi yang tidak matang dan tidak bijak walaupun telah berkeluarga dan telah menjadi seorang ayah.

"Lebih memalukan saya apabila Adi memberitahu dia sudah tiga bulan berhenti kerja kerana pekerjaan tersebut tidak serasi dengannya. Ini belum lagi cerita perempuan yang dibawa berjalan ke hulu ke hilir yang telah menjadi bualan jiran yang sering ternampak mereka.

"Saya tidak menafikannya kerana bukti tersimpan rapi dalam telefon bimbit yang dirakam tetapi saya tidak mahu timbulkan pada malam itu kerana bimbang kemarahan ayah akan bertambah.

"Saya jadi buntu memikirkan apa yang terjadi dan mungkin ini ujian untuk saya. Saya harus menerimanya dengan penuh kesabaran. Saya masih waras untuk bertindak memilih jalan mudah dengan cara menuntut cerai.

"Atas nasihat ayah, kami 'dipisahkan' untuk sementara waktu sehingga Adi bekerja semula dan mengubah sikapnya yang suka berfoya-foya.

"Muhasabah diri awak dan cari kerja jika mahu mendapatkan kembali isteri dan anak kamu, ayah memberi kata dua kepada Adi dengan nada suara yang tinggi.

"Saya tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana saya sendiri pernah melihat perlakuan Adi yang melukakan hati saya. Tiga bulan kami berpisah sementara. Saya dan anak pulang ke rumah mak walaupun timbul kekecohan di antara mentua dan keluarga saya yang masing-masing bertelagah dengan apa yang terjadi.

"Dengan bantuan seorang jiran yang prihatin, suami saya telah mendapat pekerjaan yang gajinya lebih kecil daripada sebelum ini. Syarat untuk bersama keluarga terpaksa dipenuhi walaupun pekerjaannya yang dahulu lebih lumayan daripada sekarang.

"Bumi ini terbentang luas untuk kita mencari rezeki kurniaan Allah jika kita rajin berusaha. Bak kata pepatah jika ringan tulang akan berat perut,"itu kata-kata ayah kepada Adi.

"Hubungan dengan perempuan itu juga sudah putus dan saya sendiri bersama ayah dan mak bersemuka dengan perempuan itu untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga saya. Adi juga telah meminta maaf di atas kecurangannya dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatannya itu.

"Segala yang terjadi ada hikmahnya untuk Adi supaya dia insaf dan muhasabah diri. Alhamdulillah Adi telah kembali ke pangkal jalan dan saya gembira dengan perubahan dirinya, menjadi suami dan ayah yang boleh dibanggakan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ayah dan emak yang telah 'mendidik' suami saya dan menyelamatkan rumah tangga kami.

"Tanpa bantuan dan nasihat daripada ayah dan emak, tidak mungkin rumah tangga kami dapat diselamatkan. Mereka adalah kaunselor yang hebat, tempat saya dan suami bergantung hidup dan mendapatkan nasihat.

"Sekali lagi terima kasih ayah mak. Juga kepada mentua yang memahami masalah saya. Terima kasih abang kerana sedar kesilapan dan kembali menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab. Semoga Allah kekalkan hubungan kami hingga ke syurga, itu pinta dan doa saya," Hana menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, itu yang dapat saya suarakan dengan kisah yang dikongsi oleh Hana dengan kita semua. Menarik bukan? Saya amat kagum dengan sikap kedua-dua orang tua Hana dalam menangani isu rumah tangga anak dan menantu mereka. Inilah contoh mentua yang kita perlu jadikan teladan. Mentua yang faham masalah anak menantu dan berfikiran positif untuk membantu menyatukan semula anak menantu agar terus bahagia.

Syabas juga kepada Hana yang tabah menghadapi dugaan ini dan menerima semula suami dengan penuh kasih sayang. Setiap orang perlu diberi peluang kedua atas setiap kesilapan yang dilakukan. Selebihnya berdoa dan mohon petunjuk Allah. Saya doakan keluarga Hana akan sentiasa dalam peliharaan Allah dan dirahmati-Nya sepanjang hayat. Salam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131123/ke_02/Ayah-pisahkan-kami-supaya-suami-sedar-silapnya#ixzz2ld4DnKph © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan