#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Januari 21, 2013

Ratapan si ibu tiri

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/01/2013


TERIMA KASIH kepada Nursuraya yang kisahnya dipaparkan dua minggu lalu, sebab membuka mata saya agar tidak lagi menyalahkan diri sendiri setiap kali suami marah-marah dan mengatakan kehadiran saya tidak memberi faedah kepadanya anak-beranak.

''Kalau sebelum ini saya berendam air mata menyalahkan diri, memohon maaf kerana tidak pandai menjaga dia dan anak-anaknya, kini saya sedar saya bukan satu-satunya ibu tiri yang diperlakukan sebegini,'' itu cerita Rosalena ketika ditemui baru-baru ini.

''Hampir dua tahun saya berkahwin dengan Jay, seorang duda tiga anak yang kematian isteri dua tahun sebelum kami berkahwin. Saya pula ibu tunggal tiga anak. Suami meninggal dunia tujuh tahun lalu. Saya masih bekerja sementara Jay sudah lima tahun bersara.
''Anak-anak Jay sudah dewasa, dua bekerja, seorang akan tamat pengajian di IPTS dua tahun lagi. Anak saya ketiga-tiganya masih belajar iaitu dua di asrama penuh manakala seorang tinggal bersama kami.

''Saya kenal Jay melalui kawan. Memikirkan anak-anak Jay sudah besar dan dia telah bersara, tentulah tidak ada masalah kami berkahwin. Syarat saya, perkahwinan kami mestilah mendapat restu anak-anak kerana saya tak mahu masalah kemudian hari.

''Oleh kerana semuanya nampak baik dan lancar maka kami berkahwin. Jay minta saya pindah ke KL. Saya minta tukar dan anak-anak saya pindahkan bersekolah asrama di KL untuk memudahkan berjumpa mereka.

''Malangnya cuma tiga bulan pertama sahaja hidup kami bahagia, selepas itu segala-galanya bertukar. Semuanya bermula apabila saya cuba ubah susun atur di dalam rumah supaya lebih senang mata memandang dan mudah untuk dibersihkan. Salahkah saya menukar langsir lama dengan yang lebih berseri dan bercahaya?
''Malangnya niat baik saya tidak digemari oleh anak sulung Jay. Esoknya sebaik saja saya balik kerja, Jay angkat suara. Katanya saya tidak boleh ubah sesuka hati tanpa persetujuan dan kebenaran anak-anaknya. Mereka lebih berhak dalam rumah itu, sedangkan saya anak-beranak cuma pendatang.

''Saya disuruh beli almari pakaian sendiri. Saya tidak dibenarkan guna barang-barang milik arwah isterinya baik dalam bilik mahupun dalam rumah tersebut.

Disorokkan''Apabila saya gunakan peralatan memasak seperti periuk nasi contohnya, esoknya saya tak nampak lagi, periuk itu disorokkan. Akhirnya saya terpaksa beli yang baru.

''Tersentap hati, tetapi saya pujuk diri ini mungkin ada kebenarannya, saya cuma pendatang menumpang di rumah mereka. Maka sejak itu saya tidak lagi menggunakan, mengubah susunan perabot waima mencuci bunga plastik yang telah berhabuk.

''Sejak peristiwa itu, saya lihat banyak perubahan anak-anak Jay. Kalau dulu mereka makan apa yang saya masak, selepas perang dingin, mereka makan di luar atau masak sendiri biarpun sebungkus mi segera. Kadang-kala mereka masak makanan lain selepas saya masak, sedangkan barang kering, sayur dan ayam saya yang beli dengan duit sendiri. Bukan duit ayah mereka.

''Seperkara lagi yang menyedihkan hati saya, anak-anak Jay kasar kalau bercakap. Sebagai contoh mereka terus terang beritahu tidak suka saya berkahwin dengan ayah mereka. Soalnya mengapa tak berterus terang dari awal supaya hidup saya anak-beranak tak terseksa begini.

''Saya sanggup berkorban tinggalkan rumah saya di utara, tukarkan sekolah anak-anak saya ke KL semata-mata kerana mereka izinkan ayah mereka berkahwin lagi tetapi kini mereka menyusahkan hidup saya.

''Lebih sedih, Jay beritahu saya anak-anak paling utama. Katanya isteri boleh dicari, anak tak boleh ditukar ganti. Tetapi pernahkah dia terfikir siapa akan jaga dia ditakdirkan dia sakit? Anak-anak atau isterinya?

''Mahukah anak-anaknya bayar bil hospital setelah dia sakit dan duit simpanannya susut? Sedangkan kemudahan bersama saya isterinya lebih banyak, selain mendapat rawatan hospital percuma, saya boleh mencuci berak kencingnya jika sakit. Cuti tanpa gaji untuk menjaganya, tetapi bolehkah anak-anaknya lakukan? Biasanya anak-anak 'berperang' mengelak menjaga ayah sakit. Ini bukan cerita dongeng tetapi kenyataan.

''Sepatutnya sebagai ketua keluarga, dia nasihatkan anak-anak supaya berbudi bahasa. Sebaliknya Jay dengar hasutan mereka agar membenci saya, hinggakan segala urusan rumah anak-anak tentukan, saya diperlakukan seperti 'bibik', tempat keluarkan duit, beli barang makan, berkemas dan memasak setiap hari. Saya terasa diperbodohkan, begitu rendah maruah saya di mata mereka.

''Anak-anak Jay tak perlu takut saya rampas harta ibu bapanya, sebab saya ada duit, rumah, kereta dan kerja, sedangkan ayahnya sudah bersara, tua dan hidup mengharapkan duit KWSP yang tinggal tak seberapa. Makan minum mereka sekeluarga pun saya yang tanggung walaupun tak banyak. Janganlah takut bayang-bayang sendiri.

''Lebih sedih keadaan anak-anak saya. Mereka tidak selesa balik ke rumah Jay setiap kali cuti sekolah. Mereka lebih senang duduk rumah kawan. Alasan mereka senang nak belajar sedangkan sebenarnya mereka nak jaga hati saya dan mereka tak senang tinggai di rumah itu.

''Walaupun belum dua tahun saya berkahwin, rasanya hidup kami sudah tidak tenteram lagi. Setiap minggu ada sahaja benda punca kami berbalah. Jay selalu hina saya kononnya tidak bawa apa-apa keuntungan padanya. Kami pernah jumpa pakar kaunseling, tetapi Jay tetap salahkan saya kerana tidak pandai menjaga anak-anaknya.

"Akhirnya kata Jay, kalau tak selesa saya boleh pindah. Memang saya sedang mencari rumah yang sesuai untuk saya anak-beranak. Apa yang saya kesalkan, jika tidak boleh terima kehadiran ibu tiri, mengapa izinkan ayahnya kahwin. Jaga makan minum, sakit pening ayah sendiri jangan susahkan orang lain.

''Kini saya serahkan jodoh kepada Allah. Nasihat saya kepada ibu-ibu tunggal, fikirlah masak-masak sebelum berkahwin semula. Sebaik manapun kita melayan anak-anak tiri, kita tetap ibu tiri,'' ujar Rosalena.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130120/ke_04/Ratapan-Bsi-ibu-tiriB#ixzz2IgcMI2dN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan