#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Disember 12, 2012

Dijual kepada ibu ayam

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 12/12/2012


Ketika itu memang tidak ada peluang untuk melepaskan diri kerana setiap pergerakan diperhatikan oleh penjaga-penjaga kelab malam di situ. Ada juga beberapa kali saya cuba lari tetapi usaha tersebut sia-sia kerana akhirnya saya ditangkap semula

TIDAK ada apa yang hendak dikenang lagi dengan zaman gelap yang saya lalui kira-kira 30 tahun dahulu.

"Walaupun kadang-kadang kenangan pahit itu kembali menjelma, tetapi hanya sekadar menjengah seketika sebagai kisah duka dalam hidup saya," ujar Salamiah (bukan nama sebenar).

Itulah luahan hati wanita berusia 68 tahun itu, yang kini bahagia setelah genap dua bulan bergelar isteri pada usia senja bersama-sama pilihan hatinya.

Bercerita lanjut mengenai kisah hidup, ujarnya, kerana terlalu mempercayai kawan baik yang juga rakan sekampung ketika tinggal di Teluk Intan, Perak, akhirnya Salamiah telah dijual tanpa rela kepada seorang ibu ayam di Singapura sebagai pelacur.

"Sebelum dijual di Singapura, saya bekerja di sebuah kedai makan milik kawan saya itu.

"Ketika itu saya berusia 30 tahun. Kehidupan saya ketika itu sangat susah selepas bercerai dengan suami kerana tidak tahan dengan sikapnya yang panas baran dan kaki pukul.

"Perkahwinan kami hanya bertahan selama lima tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki," katanya.

Tambah Salamiah, setelah mereka bercerai, dia tinggal sebatang kara di kampung kerana anaknya diambil bekas suami.

Untuk menampung keperluan hidup, dia bekerja di sebuah kedai makan milik seorang kawan yang diusahakan bersama suaminya.

"Sepanjang bekerja dengan mereka, saya tidak mengesyaki mereka akan menjual saya sebagai pelacur kerana layanan baik dan hubungan kami yang mesra dapat dilihat sepanjang bekerja dengan mereka," katanya.

Namun kerana terlalu ingin keluar dari kampung serta mencari pekerjaan yang lebih baik dan terjamin, Salamiah telah menerima ajakan rakannya itu untuk ke Singapura.

Waktu itu dia dijanjikan pekerjaan di sebuah kilang elektronik yang gajinya lebih besar.

"Malangnya apabila sampai di sana saya telah dijual kepada seorang ibu ayam di sebuah kelab malam.

"Rasa sedih dan kecewa bukan kepalang kerana bukan saja ditipu oleh rakan baik sendiri bahkan dipaksa melakukan pekerjaan terkutuk.

"Ketika itu memang tidak ada peluang untuk melepaskan diri kerana setiap pergerakan diperhatikan oleh penjaga-penjaga kelab malam di situ.

"Ada juga beberapa kali saya cuba lari tetapi usaha tersebut sia-sia kerana akhirnya saya ditangkap semula," katanya mengimbau kenangan silam.

Sampai sekarang Salamiah masih ingat lagi pelanggan pertama yang perlu dilayan iaitu seorang 'mat saleh' yang berbadan besar dan tinggi.

"Ketika itu rasa takut tidak dapat dibendung lagi, kerana terpaksa melakukan perkara tersebut secara paksaan.

" Setiap pelanggan yang mendapat layanan perlu membayar sekitar RM150 hingga RM200 seorang.

"Namun sepanjang tempoh dua tahun saya dijual di situ satu sen pun saya tak merasa wang tersebut. Semua wang yang diperoleh hasil aktiviti pelacuran akan diambil oleh ibu ayam. Sepanjang tempoh itu saya hanya diberi makanan dan pakaian," katanya.

Menurut Salamiah, selepas memasuki dua tahun melakukan kerja terkutuk itu, akhirnya dia dibebaskan kerana hutang yang dipinjam oleh kawannya itu telah langsai.

"Selepas dibebaskan dari genggaman mereka, saya kembali ke Kuala Lumpur dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Hidup sebatang kara di kota besar seperti di Kuala Lumpur memang penuh cabaran apatah lagi tanpa sebarang kelulusan seperti saya.

"Saya menyewa bilik di Kampung Baru dan melakukan pelbagai pekerjaan daripada tukang cuci hinggalah menjual kuih muih untuk menampung hidup," katanya.

Dalam pada itu dia sempat berkenalan dengan seorang lelaki yang kemudian menjadi teman serumahnya walaupun tanpa sebarang ikatan.

"Walaupun kami bertemu ketika masing-masing sudah berusia dan hidup bersama tidak ubah seperti suami isteri tetapi tidak terdetik dalam hati kami untuk bernikah.

"Memikirkan sejarah hitam saya sebagai bekas pelacur saya tidak fikir ada lelaki mahukan saya sebagai isterinya lagi pun ketika itu masing-masing jahil tentang agama.

"Jadi kami membiarkan diri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Walaupun kadang-kadang hati kecil timbul perasaan takut ditangkap oleh pihak berkuasa akhirnya perkara itu berlarutan sehingga puluhan tahun.

"Kini saya bersyukur segalanya telah berubah apabila dua bulan lepas kami berdua telah selamat bernikah dan menjadi pasangan suami isteri yang sah," katanya.

Tambah Salamiah, kehidupannya semakin bertambah tenang dan lapang setelah bernikah dan berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah.

"Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya apabila terpilih melakukan umrah di bawah tajaan 1 Umrah Rakyat pada bulan Jun tahun depan.

"Diharap dengan pemergian saya ke sana nanti dapat menyucikan kembali jiwa dan tenang menjalani kehidupan sebagai muslim," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Feminin/20121212/fe_03/Dijual-kepada-ibu-ayam#ixzz2Fxgt28Pc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan