#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, September 14, 2012

Makanan kesihatan bahaya

14/09/2012 Oleh Sophia Ahmad
Sumber : Berita Harian

Petaling Jaya: Kegilaan orang ramai khususnya wanita terhadap makanan kesihatan termasuk produk menguruskan badan boleh mengakibatkan nyawa mereka terancam sekiranya terjebak membeli produk palsu.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Farmasi, Mazlan Hamid, berkata kandungan dadah terlarang dalam produk itu akan menyebabkan keracunan dan kerosakan organ dalaman termasuk kegagalan jantung dan buah pinggang jika diambil berterusan. Kesan sama, katanya, turut didapati menerusi pengambilan minuman tenaga dan perangsang yang berlambak di pasaran.

Pengaruhi pengguna

“Minuman tenaga dan perangsang ini, iklannya sangat menarik dan berkesan sekali gus berjaya mempengaruhi pengguna. Ini yang mendatangkan bahaya kerana pengguna tidak tahu kandungan sebenar minuman atau produk yang diambil.

“Jika produk mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, kita tidak perlu risau dengan kandungannya, tetapi yang dibimbangkan apabila produk dipalsukan atau diseludup dari negara luar,” katanya kepada media selepas Bengkel Ubat-Ubatan Terlarang, di sini semalam.

Mazlan berkata, sepanjang Januari hingga Mei lalu, pihaknya merampas 13,028 jenis produk termasuk 93 yang disahkan palsu dalam beberapa siri serbuan serta operasi seluruh negara dan gerakan itu akan dilakukan berterusan termasuk di kedai ubat-ubatan tradisional yang sering dikesan menjual produk palsu serta diseludup dari luar.

Produk palsu

“Ada di antara produk palsu sukar dibezakan pengguna kerana menggunakan kaedah pembungkusan sama dengan produk asal, tetapi ada ciri-ciri tertentu yang dapat membezakannya,” katanya sambil menambah penggunaan hologram Meditag yang diwajibkan ke atas semua produk kesihatan mampu mengesan produk palsu dengan berkesan.

“Pelekat hologram boleh dibezakan menerusi penggunaan dekoder khas yang kita edarkan di kebanyakan farmasi utama seluruh negara. Petugas farmasi akan diberikan latihan khusus menggunakan dekoder berkenaan dan hasilnya, penjualan produk palsu di pasaran berkurangan agak signifikan,” katanya.

Antara produk palsu yang dikesan berada di pasaran tempatan ialah versi cetak rompak pil perangsang Viagra, ubat batuk Cap Ibu dan Anak, pil Panadol, minyak angin Cap Kapak dan cecair membersih mata Eye Mo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan