#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 29, 2011

Bercerai akibat gangguan saka

SETELAH berkawan dalam tempoh masa yang agak lama, akhirnya Yasmin (bukan nama sebenar) dan Yazid (bukan nama sebenar) mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Sepanjang berkawan, pasangan ini tidak mempunyai sebarang masalah malah mereka merupakan pasangan yang cukup ideal di kalangan rakan-rakan.

Pasangan ini telah memilih bulan Oktober 2002 untuk menjadikan detik bersejarah mereka malah segala persiapan telah dilakukan sebaik mungkin dan diraikan dalam majlis perkahwinan yang cukup gilang-gemilang.

Cukup usia perkahwinan mencecah 11 bulan, Yasmin dan Yazid telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Hari demi hari, perjalanan hidup mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang masalah malah mereka dilihat seperti keluarga yang cukup bahagia.

Satu hari, Yasmin dan Yazid telah bercuti dan pulang ke kampung halaman Yazid di utara tanah air.

Hari pertama mereka sampai, segala-galanya seperti biasa hinggalah hari ketiga apabila anak mereka, Danial (bukan nama sebenar) mula menangis tidak berhenti-henti.

Sudah pasti, seluruh ahli keluarga terkejut dan masing-masing telah mencuba pelbagai cara termasuklah mengunjungi klinik untuk mendapat kepastian apakah penyakit yang dialami Danial.

Apa yang menjadi persoalannya, doktor mengesahkan Danial sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit dan Danial juga berhenti menangis apabila tiba di klinik.

Akhirnya, Yasmin dan Yazid mengambil keputusan untuk pulang ke rumah mereka di ibu kota.

Apabila mereka tiba di ibu kota, segala-gala kembali pulih seperti sedia kala malah perkara tersebut akan berulang sekiranya mereka pulang ke kampung halaman Yazid.

Akhirnya setelah diselidik, Yasmin mendapati bahawa keluarga Yazid mempunyai saka dan kejadian Danial menangis setiap kali berada di sana adalah disebabkan gangguan saka tersebut.

Tidak tahan dengan situasi tersebut, Yasmin akhirnya meminta cerai dan dalam masa yang sama Yasmin turut menuntut hak penjagaan kekal ke atas Danial.

Yasmin berbuat demikian adalah kerana ingin menjaga Danial dan tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku kepada anaknya itu.

Kes Yasmin ini telah diletakkan di bawah peruntukan Seksyen 81 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, Yasmin telah mengemukakan pelbagai bukti termasuk bukti dari Pusat Perubatan Islam yang telah mengesahkan terdapat unsur-unsur ilmu hitam pada anaknya (Danial) semasa anaknya sakit.

Yasmin turut memberitahu mahkamah bahawa perkara tersebut (anak sakit) hanya akan terjadi apabila mereka pulang ke kampung suaminya, Yazid dan apabila pulang semula ke ibu kota, Danial akan kembali pulih seperti sedia kala.

Semasa perbicaraan berlangsung, Yasmin telah memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan kekal anaknya atas alasan-alasan seperti:

lDia (Yasmin) adalah ibu kandung kepada anak tersebut dan merupakan orang paling layak bagi menjaga anak tersebut.

* Yasmin juga merupakan seorang Islam dan sempurna akal fikiran dan selama ini dia yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas anak tersebut.

* Sejak lahir, anak tersebut tinggal bersama Yasmin dan dijaga sepenuhnya oleh Yasmin. Sejak kecil juga Yasmin tidak pernah berpisah atau berjauhan dengan anaknya itu kecuali semasa Yasmin keluar atas urusan kerja.

* Yasmin layak dan mampu dari segi umur untuk memberi jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh anak tersebut. Tambahan pula Yasmin sebagai seorang ibu lebih rapat dengan anak tersebut berbanding suaminya.

* Yasmin adalah seorang ibu yang berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiyah dan dapat memberikan didikan Islam yang sempurna kepada anak tersebut serta menunjukkan contoh tauladan yang baik berbanding suaminya.

* Yasmin juga tidak pernah hilang atau diisytiharkan oleh Mahkamah hilang hak kelayakan untuk menjaga anak tersebut.

* Pada masa tersebut Yasmin dan anaknya tinggal selesa di rumah yang dimiliki oleh Yasmin sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Yasmin turut memohon nafkah anak sebanyak RM500 sebulan dengan cara dimasukkan ke dalam akaunnya.

Begitupun, sebelum mahkamah memutuskan sebarang keputusan, Yasmin sedar, Yazid adalah bapa kepada anaknya dan dengan itu dia memohon agar suaminya diberi hak lawatan pada waktu yang munasabah dengan terlebih dahulu dimaklumkan kepadanya.

Setelah kesemua hujah didengari dan meneliti segala alasan-alasan yang diberikan, mahkamah akhirnya telah membuat keputusan, hak jagaan kekal Danial diberikan kepada Yasmin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan