#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Januari 19, 2011

‘Saya segalanya buat ayah’

Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my

BUKAN mudah mengendalikan seorang yang berjasa dalam hidup iaitu bapanya, Muhammad Awang, 84, yang kini lumpuh dan menghidap Parkinson serta uzur pula.

Namun Rosmawati Muhammad, 49, tidak pernah mengeluh akan kesukaran menjaga bapa tercinta selepas kematian ibu tersayang, Maria Mat Isim, tujuh tahun lalu.

Baginya, merawat dan membantu bapanya bukan mengharapkan limpahan balasan apatah lagi sebagai anak tunggal dalam keluarga, dia berasakan ia adalah kewajipan anak terhadap lelaki yang berjasa besar dalam besar dalam hidupnya.

“Kasih sayang terhadap ayah adalah segala-galanya kerana dia lelaki hebat yang mendidik saya sejak kecil. Dalam keadaan uzur begini, setelah kematian emak, sayalah segala-galanya buat ayah menghabiskan sisa usianya.

“Walaupun menjaganya seorang diri, pengorbanan yang kecil ini sudah tentu tidak mampu membalas jasa arwah emak dan ayah terhadap saya. Cuma, keadaan agak sukar kini membesarkan lima anak serta ayah setelah suami meninggal dunia tahun lalu.

“Tanggungjawab terhadap ayah dan anak-anak tidak harus diabaikan walaupun sesusah mana diri saya. Apa yang saya makan, itulah yang ayah dan anak-anak makan. Tidak dinafikan ada kalanya makan nasi tidak berlauk mewah sekadar ikan bilis dan sardin. Selebihnya, duit banyak digunakan untuk keperluan anak yang masih belajar,” katanya.

Tinggal di rumah kecil di No 10, Lorong 4B, Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur, di situ dia membesarkan Muhammd Rizwan, 23, Rozila, 22, Rozaliekah, 20, Rozainasha, 17, dan Rozalisa, 8, serta berkongsi hidup dengan menjaga ayahnya dalam keadaan serba kekurangan tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sejak kematian suami.

Tidak dinafikan keperluan ubat-ubatan dan membawa bapanya ke klinik bukanlah mudah tambahan pula dengan hanya bergantung kepada pencen arwah suaminya yang tidak seberapa.

Tetapi wanita ini meyakinkan diri bahawa hidup perlu diteruskan tanpa mengeluh atau meminta-minta daripada orang ramai.

“Saya pernah diberitahu pihak pengurusan komuniti terutama ahli jawatan kuasa masjid di kawasan kediaman untuk sebarang bantuan daripada pihak berwajib terutama Pusat Pungutan Zakat.

“Ada pihak berjanji untuk membantu meringankan beban saya sekeluarga tetapi sehingga kini tiada sesiapa pun menghulurkan bantuan. Cuma sesekali, ada juga pemimpin politik turun padang dan menghulurkan bantuan berupa makanan.

“Untuk saya pergi kepada pertubuhan bukan kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi kerajaan yang lain, agak sukar dilakukan dalam keadaan saya yang sentiasa sibuk menjaga ayah serta memberi tumpuan terhadap anak yang masih bersekolah. Semua ini memerlukan kebijaksanaan saya mengurus.

“Saya bernasib baik kerana tiga daripada anak saya sudah menuntut di institusi pengajian tinggi yang banyak membantu saya memberi bantuan kepada adik-adik mereka terutama keperluan barangan sekolah.

“Anak sulung, kedua dan ketiga masing-masing di Universiti Teknologi Mara dan seorang lagi di Universiti Kuala Lumpur. Mereka menerima biasiswa kerajaan dan membantu anak keempat dan bongsu dengan wang biasiswa mereka.

“Ada kalanya terharu juga dengan sikap anak-anak yang berpakat sesama mereka mengumpul wang dan menghulurkan sedikit buat membantu saya serta datuk dan adik-adik mereka demi meneruskan hidup dalam serba kekurangan ini.

“Mereka bertiga membantu belikan baju atau keperluan buku yang penting untuk adik-adik. Saya pula merancang bajet makanan anak dan kos perubatan buat ayah saya yang sedang sakit itu,” katanya sedih.

Anak sulungnya, Muhammad Rizwan mengambil jurusan Kejuruteraan Teknologi Maklumat (IT), adiknya Rozila dalam bidang forensik manakala Rozaliekah mempelajari bidang perubatan.

Ternyata kepada wanita ini, pelajaran adalah bekalan terpenting buat masa depan anak-anak.

Untuk itu katanya, dia rela mengikat perut demi memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing.

Menurutnya lagi, anak keempat yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini bekerja sebagai jurujual di sebuah kompleks beli-belah demi membantu meringankan bebannya. Pekerjaan itu juga boleh membantunya untuk menyimpan wang bagi meneruskan pembelajaran selepas mendapat keputusan peperiksaan.

“Sehingga kini, yuran pengajian sekolah biasa dan sekolah agama saya bayar sebahagian dulu kerana tidak mampu membayarnya sekali gus.

“Nasib baik anak memahami kesukaran saya dan tidak pernah mendesak hendakkan sesuatu.

“Oleh kerana saya anak tunggal dalam keluarga, sukar bagi saya untuk berkongsi masalah dengan orang lain. Saya bernasib baik kerana ipar-duai iaitu adik-beradik arwah suami selalu bertanya khabar anak-anak dan sesekali menghulur bantuan sekadar termampu.

“Paling sukar dilaksanakan adalah menghantar anak ke kelas tuisyen sedangkan wang untuk kegunaan elektrik, air dan pelbagai keperluan penting lain juga harus difikirkan,” katanya.

Apa yang amat diharapkannya kini adalah bantuan kewangan untuk menguruskan perubatan bapanya dan mengharapkan bantuan untuk pengajian anak keempatnya kelak.

Baginya, mampu menye�dia�kan sepasang pakaian sekolah buat anaknya amat disyukuri kerana jika dibanding�kan dengan orang yang lebih susah hidupnya, dia masih bernasib baik.

“Saya bersyukur guru memahami kesukaran kami untuk membayar yuran dan tidak mampu menyediakan buku latihan. Kalau dulu anak sentiasa membawa bekal ke sekolah, sekarang anak mendapat bantuan makanan daripada pihak sekolah.

“Apa yang terpenting kini, saya harus menjaga anak dan ayah sebaiknya dan berharap Tuhan menganugerahkan kekuatan dan kudrat serta kesihatan sebaiknya kepada saya,” ka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan