#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, Oktober 07, 2012

Suami kena bersihkan jiwa

Sumber : Utusan Malaysia

WALAU apa pandangan pembaca tentang rencana fiil isteri zaman ini minggu lalu, saya setuju dengan penulisnya, sebab dari pengalaman dan pemerhatian saya yang sudah bergelar isteri, ibu dan nenek bahawa wanita tak boleh pandang remeh pandangan suami, kita kena 'go back to basics,' maknanya kembali kepada Quraan dan Sunnah. Itu kata Saleha dalam emelnya.

''Namun bukan semua benda kena ikut telunjuk suami, tapi kena faham kedudukan suami dan isteri dalam Islam. Sebagai contoh, rajin belajar agama tapi tak hormat suami, terlampau nak kumpul pahala hingga lupa peranan isteri. Atau ada isteri terlalu moden, hidup macam mat salleh semua benda nak kerah suami.

''Saya sedar pandangan Shahzan pasti mendapat banyak reaksi negatif dari wanita, tetapi sebelum melenting, buka mulut dan marah-marah, duduk diam, tenang dan fikir dulu. Tolak tepi kisah isteri didera, suami tak membantu dan sebagainya, sebab topik itu lain kerana ada jalan penyelesaian.

Selasa, Oktober 02, 2012

Mengenali suami sendiri

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga

KERANA cinta anda telah berumahtangga dengan seseorang yang pada awalnya anda merasakan dialah yang paling sesuai menjadi pasangan dalam hidup.

Sedangkan sebenarnya, hanya selepas beberapa lama tempoh perkahwinan, barulah anda mengenali siapakah suami anda sebenarnya.

Artikel ini ditulis bukan untuk membuat anda rasa resah dan gelisah.

Ia sekadar memberi panduan kepada anda sebagai seorang isteri untuk mengenali siapakah suami anda sebenarnya dan mengapa anda perlu berusaha untuk mengubah sikap atau mendorongnya menjadi insan yang lebih baik.

Apa-apa pun, yang penting perlunya anda mengetahui sikap sebenar suami anda terlebih dahulu.

Sukar dipercayai
Suami anda sering bercakap tidak benar dan selalu menyembunyikan personaliti yang sebenarnya ketika keluar berjanji temu dengan anda. Selalunya perangai ini hanya dapat dikesan selepas beberapa bulan berkahwin. Jika perkara ini berlaku terhadap anda ternyata anda perlu lebih berhati-hati dan selalu bertanyakan kepada rakan-rakannya mengenai apa yang dilakukannya di belakang anda. Tetapi sekiranya rakan suami pun bersubahat dengan suami anda... usahalah cara lain.

Suka bertindak ikut rasa

Dia akan menghubungi anda sesuka hatinya bertanyakan sesuatu dan dilihat suka membuli anda dan tidak suka kata-katanya dibangkang. Suami seperti ini mungkin agak panas baran orangnya, anda sebagai isteri pasti tahu bagaimana untuk memujuk, mungkin dengan cara kelembutan yang anda miliki.

Teragak-agak membuat keputusan

Dia mengajak anda keluar kemudian selang beberapa jam kemudian dia bertukar fikiran pula. Jika anda berkahwin dengannya , pastikan keputusannya benar-benar 'sahih' sebelum melakukan apa-apa aktiviti. Sekiranya berlaku juga lagi... sabar sajalah.
Suka menonjol

Adalah benar pada masa sekarang sebahagian golongan lelaki suka menonjolkan diri dan menjadi insan yang berjaya. Selalunya lelaki seperti ini menawan, kacak dan senang dengan wanita. Namun lelaki seperti ini sebenarnya mudah dan mungkin akan jatuh cinta lagi dengan wanita lain kecuali anda pandai mengendalikan dirinya.

Mendominasi (menguasai)

Dia selalu menguasai segala tindakan dan minda anda sehingga baju anda pun dia yang memilihnya. Anda bakal merasakan hanya sekadar boneka. Lelaki ini juga mudah menggunakan penderaan mental dan fizikal ke atas isterinya.

Tidak mempunyai perasaan

Lelaki jenis ini akan 'mencuri' anda daripada keluarga dengan memisahkan anda daripada rakan-rakan sehingga mengganggu kehidupan biasa anda kerana dia tidak suka melihat anda bergaul dengan orang lain.

Tidak yakin pada diri sendiri

Seorang lelaki yang berharap segalanya pada anda dan segalanya tentang anda. Mula-mula anda akan rasa seronok tetapi lama-kelamaan semuanya menyakitkan hati.

Terlalu mengharapkan kesempurnaan

Dia cuba mengawal kesemua perkara yang anda lakukan dengan tepat untuk mendapatkan kesempurnaan sebagaimana yang dihajatinya. Kemudian, apabila ada masalah mendatang, anda pula dipersalahkan.

Manipulasi

Dia hanya mahu mengawal segalanya termasuk hobi anda sampailah ke perbualan dan segala tindakan yang dilakukan untuk faedah dirinya sahaja sehinggakan semua idea yang dikeluarkan, anda harus mempercayainya biarpun anda sangsi mengenainya

Misteri

Ini bergantung kepada usia dan kematangan. Sekiranya sampai ke tua pun hidup anda masih ditakuk itu, bermaksud lelaki ini tiada objektif yang jelas dalam dirinya dan menganggap kehidupannya adalah mudah termasuk dalam soal kewangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121002/ke_01/Mengenali-suami-sendiri#ixzz288Pjt7Nl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Senjata 'sulit' isteri

ARKIB : 25/09/2012
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga

Sebagai seorang isteri, pernahkah anda tahu bahawa anda sebenarnya mempunyai beberapa senjata 'sulit' yang dianugerahkan Tuhan untuk memikat dan merangsang suami anda?
Apabila anda tahu apakah senjata-senjata sulit di tubuh anda itu, tahukah pula bagaimana anda menggunakannya untuk 'menundukkan' suami anda agar terus jatuh cinta kepada anda?

Sebagai seorang isteri kita sebenarnya mempunyai pelbagai keistimewaan yang membolehkan kita memikat hati suami berlandaskan apa yang ada pada diri kita.

Mungkin kita pernah terfikir, sebagai seorang lelaki, suami anda sebenarnya mahukan 'kelainan' dari tubuh anda, sedangkan sebaliknya, mereka sebenarnya lebih suka dengan apa yang dikatakan keindahan asli daripada tubuh isteri mereka.

Jadi tidak perlulah kita sebagai isteri membahayakan diri melakukan pembedahan plastik semata-mata untuk mendapatkan tubuh yang 'maha mengancam' pada pandangan suami.

Berikut diberikan tujuh perkara utama yang boleh menjadi senjata sulit isteri memikat suami.

Selepas isteri tahu apakah senjata-senjata berkenaan, silalah gunakan dengan sepenuhnya untuk memikat hati suami anda, terutama apabila anda mengetahui dan dapat melihat jauh di lubuk hati lelaki yang bergelar suami terdapat satu daerah lembut di dalam hati mereka yang mengidamkan kecantikan dalaman kita yang asli.

Tidak syak lagi kini, si isteri itu sebenarnya adalah cantik dan memberahikan pada mata suami. Terpulang kepada isteri menggunakan kebijaksanaannya dan apa yang ada pada dirinya untuk memikat hati suaminya.

Rambut

Rambut umpama mahkota kepada kaum wanita, ia juga sebenarnya boleh dijadikan sumber tarikan tersendiri sebagai daya pemikat isteri yang asli. Rambut isteri yang ikal mayang, bersih, berkilat dan berbau harum adalah sumber pemikat utama kepada suami. Rambut yang berbau harum dengan haruman syampu yang digunakan akan menyebabkan suami suka membelai dan melalukan jari-jemari ke dalamnya ketika bersama.

Mata

Tuhan menganugerahkan mata yang bersinar kepada isteri. Tidak semestinya mata itu bulat, bundar, sepet atau kuyu. Mata sebenarnya boleh memuntahkan inspirasi cinta dan cerita. Pandangan mata juga boleh memberikan 1001 perasaan yang tidak dapat digambarkan. Suami boleh jadi 'cair' dengan pandangan isteri. Renungan isteri yang mendalam dan menggetarkan jiwa si suami boleh menyebabkan golongan Adam ini akan kehilangan ungkapan untuk ditafsirkan, bak kata, ''sayang, saya rasa seolah-olah melayang ketika melihat ke dalam matamu."

Kulit

Kulit adalah satu anugerah kepada wanita. Permukaannya yang licin, lembut, gebu dan bersih serta mulus adalah menjadi dambaan setiap suami ingin menyentuhnya. Justeru, jaga kulit badan anda agar sentiasa bersih agar ia rasa selesa apabila disentuh suami.

Tulang selangka dan lengkung leher

Daerah ini amat menjadi perhatian kepada suami apatah lagi menjadi tempat yang paling mulus untuk menjadi tempat singgahan ciuman suami dan ia juga sebenarnya daya penarik semua wanita.

Sekitar pusat

Bayangkan bahagian di sekitar pusat anda juga sebenarnya menjadi satu tempat yang amat memberangsangkan suami. Cuma di sini tentulah perlu selalu dijaga kebersihannya dan pusat anda akan lebih indah sekiranya anda kekal 'langsing' dengan pinggang terbentuk.

Lentuk liuk tubuh

Ini bukan satu perkara yang dibuat-buat. Lentuk liuk tubuh isteri yang manja ketika bersama suami sebenarnya adalah satu daya penarik yang boleh menggoda si suami. Ini termasuklah cara kita melenggang ketika berjalan, potongan punggung, saiz belakang badan dan sebagainya. Bersyukurlah, tubuh kita sebagai isteri ada segalanya untuk menghangatkan bibit-bibit kemesraan bersama suami.

Payu dara

Ops, ini kalau tidak diterangkan pun semua orang tahu. Secara fizikalnya, tidak kiralah apa saiznya, sama ada kecil atau besar pihak suami pasti suka melihat di bahagian ini. Bukan sekadar melihat, suami juga sebenarnya suka menyentuhnya untuk berbuat apa sahaja kerana sebenarnya pada fikiran mereka, ini juga sesuatu yang menjadi hak 'milik' mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120925/ke_02/Senjata-sulit-isteri#ixzz288OUZGpM

© Utusan Melayu (M) Bhd