#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Oktober 19, 2011

Sindiket nikah palsu jejas sistem perkahwinan Islam

Peguam Syarie Menulis:
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
2011/10/19


Pasangan kena ikut lunas syarak, peraturan ditetapkan

SAYA amat terkejut ketika membaca akhbar yang melaporkan wujudnya sindiket nikah palsu aktif di Pulau Pinang. Akhbar terbabit melaporkan pasangan yang hendak berkahwin tidak perlu lagi bersusah payah melangsungkan pernikahan mereka di luar negara seperti Narathiwat, Songkhla, Yala, Medan atau Batam yang dikaitkan dengan istilah kahwin lari.

Melalui sindiket terbabit, pasangan yang ingin bernikah hanya perlu mendapatkan surat nikah pilihan masing-masing daripada broker yang menyamar sebagai jurunikah dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap surat nikah yang dicetak sendiri. Sindiket ini juga dikatakan memberi perkhidmatan jika ada pasangan dari negara ini atau mereka yang ingin bernikah dengan warga asing diberi pilihan memohon surat pernikahan dari mana-mana pejabat agama Islam negeri lain di Malaysia termasuk Thailand, namun bayaran tinggi. Perkara ini perlu dibendung kerana akan memberi kesan kepada sistem perkahwinan Islam serta perkara ini mengundang wujudnya pernikahan tidak sah kerana tidak memenuhi syarat serta rukun pernikahan. Perkahwinan adalah ibadah murni disyariatkan Allah S.W.T. kepada hamba-Nya. Hikmah perkahwinan sangat besar dan banyak manfaatnya.

Justeru itu, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga perlu mengikut lunas syarak serta peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan perkahwinan menjadi tidak sah. Pernikahan yang tidak mengikut saluran undang-undang menjadi kesalahan serta boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana berkahwin dengan tidak mengikut saluran undang-undang.

Terdapat kesalahan berkaitan dengan perkahwinan yang sengaja dilakukan masyarakat sehingga ada perkahwinan dijalankan memberi kesan kepada pengesahan perkahwinan. Ini berlaku sekiranya pernikahan itu tidak memenuhi rukun serta syarat digariskan syarak.

Hakikatnya dalam Akta mahupun Enakmen Undang-Undang Keluarga setiap negeri ada memperuntukkan kesalahan membabitkan perkahwinan serta menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tertentu. Sekiranya kita merujuk kepada peruntukan undang-undang contohnya Seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa mengakadnikahkan atau menjalankan upacara perkahwinan tanpa ada kebenaran berkahwin.
Keadaan ini berlaku apabila wujudnya sindiket perkahwinan yang menggunakan seseorang itu sebagai imam jurunikah yang kebiasaannya tiada tauliah. Mengikut undang-undang sesiapa saja yang menjalankan pernikahan atau menjalankan upacara perkahwinan tanpa kebenaran undang-undang, adalah menjadi kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.

Perbuatan ini dikira sebagai kesalahan dalam dua keadaan. Pertama adalah sekiranya akad nikah itu dijalankan di hadapan imam jurunikah tanpa kehadiran dua saksi yang boleh dipercayai dan dua saksi itu hendaklah tidak termasuk orang yang mengakadnikah. Ini bermakna perkahwinan mestilah dihadiri dua saksi dipercayai dan pernikahan tidak boleh dijalankan tanpa kehadiran dua saksi kerana dua saksi adalah rukun kepada perkahwinan selain daripada suami isteri wali serta ijab kabul.

Keadaan kedua pula adalah apabila akad nikah dijalankan dengan tanpa kebenaran jika perkahwinan itu membabitkan wanita yang bermastautin di Selangor. Persoalannya apakah yang dimasukkan dengan tanpa kebenaran itu? Ia bermaksud perkahwinan dijalankan dengan tanpa mendapat kebenaran dari Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (Pendaftar). Dimaksudkan dengan kebenaran adalah di dalam keadaan Pendaftar berpuas hati sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu dari rukun serta di dalam keadaan lelaki itu sudah berkahwin kebenaran mahkamah untuk lelaki itu berpoligami diberikan. Akad nikah dikira tidak mendapat kebenaran Pendaftar sekiranya kebenaran tidak diberikan jika pendaftar tidak berpuashati dengan keadaan di atas.

Selain itu juga undang-undang menetapkan jika seseorang itu berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa akad nikah atau yang menjalani cara akad nikah dengan sesiapa juga berlawanan dengan mana-mana peruntukan undang-undang dalam Bahagian II adalah melakukan kesalahan dan hendaklah didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Peruntukan ini secara jelas diperuntukkan di dalam Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan peruntukan ini dikenakan kepada suami atau isteri yang melakukan akad nikah. Apa yang perlu difahami, perkara terkandung dalam Bahagian II adalah segala perkara berkaitan perkahwinan. Setiap perkahwinan ditetapkan syarat dan undang-undang yang perlu dipatuhi agar perkahwinan itu sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang.

Justeru, perkahwinan tidak boleh berlawanan dengan Bahagian II ini yang menggariskan panduan bagi tujuan perkahwinan iaitu orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan, umur minimum untuk perkahwinan, pertalian yang melarang perkahwinan, orang dari agama lain, perkahwinan tak sah, perkahwinan perempuan dan lain-lain lagi.

Rabu, Oktober 12, 2011

Risiko hamil usia lewat

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my

PERTUMBUHAN lambat, kesukaran belajar dan bertutur, berkeadaan lembik ketika lahir serta tumbesaran terbantut pada peringkat bayi dan kanak-kanak. Itu antara ciri penyakit Sindrom Down iaitu kecacatan kromosom bercirikan kehadiran bahan genetik salinan tambahan pada kromosom 21 manusia, sama ada keseluruhan (trisomi 21) atau sebahagian (disebabkan translokasi kromosom).

Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak- kanak terbabit lahir dengan ciri-ciri fizikal serta boleh mempunyai masalah kesihatan lain. Sindrom bermakna kehadiran sekumpulan gejala dan tanda yang boleh menunjukkan kepada sesuatu penyakit.

Ia bersempena nama doktor Britain, John Langdon Down yang pertama menggambarkannya pada 1866. Penyakit ini biasanya boleh dikenalpasti pada awal kelahiran bayi. Kebarangkalian Sindrom Down dianggarkan sekitar satu setiap 800 atau satu setiap 1,000 kelahiran.

Menurut Pakar Obstetrik dan Sakit Puan Pusat Perubatan Taman Desa, Dr Ng Cheong Keat, banyak ciri fizikal biasa boleh dilihat kepada pesakit Sindrom Down, antaranya mempunyai set kromosom piawaian.

Ini termasuk satu garisan, bukan dua, pada telapak tangan, mata berbentuk badam disebabkan lipatan epikanthik pada kelopak mata, anggota lebih pendek, otot lemah dan lidah terjulur.

“Masalah kesihatan berkait dengan penghidap Sindrom Down termasuk risiko tinggi bagi kecacatan jantung kongenital, penyakit gastroesophageal reflux, jangkitan telinga (otitis) berulang, obstructive sleep apnea dan kegagalan tiroid.

“Pengesahan penyakit ini dilakukan dengan ujian darah kanak-kanak itu bagi mengesan kehadiran kromosom tambahan kromosom nombor 21.

“Ujian juga boleh dilakukan ketika kehamilan melalui ujian darah, pemeriksaan ultrasound atau analisis cecair mentuban (amniotic fluid),” katanya, baru-baru ini.

Tambahnya, penyakit ini lebih berisiko tinggi dengan bertambahnya umur ibu sewaktu hamil. Ibu berusia 20 hingga 24, risikonya adalah 1/1490 manakala pada usia 40 tahun risikonya pula 1/60.

Pada usia ibu 49 pula risikonya adalah 1/11. Sungguhpun risiko meningkat sejajar usia ibu, 80 peratus kanak-kanak Sindrom Down dilahirkan oleh wanita di bawah usia 35 tahun, menunjukkan kesuburan keseluruhan kumpulan usia itu.


Masalah kesihatan berkaitan Sindrom Down
•Pertumbuhan lambat, kesukaran belajar dan bertutur

•Kanak-kanak berkeadaan lembik ketika lahir, tumbesaran terbantut di peringkat bayi dan kanak-kanak

•Lambat atau sukar mengikuti pembelajaran

•Lambat dalam pertuturan. Kanak-kanak ini akan mendapat faedah besar daripada program pengesanan awal, pendidikan khas dan rawatan pertuturan. Dapatkan maklumat daripada doktor atau jururawat anda mengenai kemudahan perkhidmatan pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas yang paling hampir dengan tempat tinggal

•Penyakit jantung kongenital. Kanak-kanak Sindrom Down biasanya lebih berisiko tinggi untuk dilahirkan dengan penyakit jantung berbanding kanak-kanak biasa. (Doktor akan membuat saringan terhadap kanak-kanak Sindrom Down untuk mengesan penyakit jantung kongenital dan merujuk untuk penilaian lanjut jika perlu. Penyakit ini mungkin memerlukan rawatan perubatan atau pembedahan)

•Kecacatan pertumbuhan perut seperti ususl Atresia. Biasanya gejala ini dapat dikesan selepas lahir dan perlu dibedah. Walaupun jarang berlaku, kadar kejadian ini tinggi berbanding kanak-kanak biasa

•Mudah terkena jangkitan. Imunisasi boleh diberi mengikut jadual. Segera berjumpa doktor apabila demam atau kurang sihat

•Masalah pendengaran dan penglihatan saringan serta rawatan perlu dilakukan bergantung kepada masalah dikesan

•Gangguan fungsi tiroid. Biasanya membabitkan pengeluaran hormon yang rendah, hipotiroid. Perlu rawatan penambahan hormon, contohnya tiroxin. Ada juga yang mempunyai pengeluaran hormon berlebihan, hipertiroid. Memerlukan rawatan untuk mengawal pengeluaran hormo

•Barah atau kanser. Leukemia akut lebih mudah berlaku kepada Sindrom Down berbanding kanak-kanak biasa. Saringan dan rawatan perlu dibuat bergantung kepada keadaan


Pencegahan
Sebenarnya, perkara tidak normal yang berlaku pada kromosom 21 berasal daripada telur ibu. Disebabkan itu, wanita tidak digalakkan mengandung selepas berumur 40 tahun kerana risiko meningkat seandainya ibu berusia lebih 40 tahun berbanding yang lebih muda.

Secara amnya, wanita berusia 20 hingga 24 tahun mempunyai risiko 1:1500 untuk mendapat anak Sindrom Down. Bakal ibu berusia 40 tahun pula mempunyai risiko 1:60 dan akan terus meningkat kepada 1:11 bagi yang berusia 49 tahun.

Risiko mendapat anak berikutnya yang juga penghidap Sindrom Down bergantung kepada jenis kecacatan kromosom anak dan umur ibunya. Kadar risiko kejadian berulang adalah satu peratus. Tiada bukti mengaitkan Sindrom Down dengan usia bapa.

Amalan merancang keluarga antara cara mencegah daripada mengandung anak Sindrom Down.

Umur ibu (Tahun)------- Kekerapan kelahiran bayi dengan sindrom Down berbanding bayi sihat.

15 - 19------- 1 / 1250

20 - 24------- 1 / 1400

25 - 29------- 1 / 1100

30 - 31------- 1 / 900

32------- 1 / 750

33------- 1 / 625

34------- 1 / 500

35------- 1 / 350

36------- 1 / 275

37------- 1 / 225

38------- 1 / 175

39------- 1 / 140

40------- 1 / 100

41------- 1 / 85

42------- 1 / 65

43------- 1 / 50

44------- 1 / 40

45------- 1 / 25

Senarai menunjukkan frekuensi kelahiran bayi Sindrom Down berbanding bayi normal mengikut umur ibu

Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan


Pemulihan
•Pendidikan khas
•Terapi pertuturan
•Program intervensi
•Terapi cara kerja
•Latihan kemahiran

Rawatan Sindrom Down
Sehingga ini belum ada ubat yang boleh mengubati penyakit Sindrom Down. Namun, banyak kajian dilakukan yang mungkin memberi harapan pada masa depan, termasuk rawatan gen terapi dan rawatan stem sel. Kedua-dua kajian ini ternumpu kepada membaik pulih kromosom yang rosak.

Sekarang kita boleh mengumpul sel tunjang daripada darah kita dan menyimpannya untuk digunakan pada masa akan datang.

Jika berkemampuan, kita boleh menyimpannya pada masa ini dan mungkin apabila jawapan kepada pencarian rawatan Sindrom Down ditemui, kita sudah ada sel tunjang yang diperlukan.

Tujuan rawatan pemulihan ialah membantu kanak-kanak mencapai keupayaan dan perkembangan maksimum serta mampu berdikari.

Program pemulihan boleh didapati di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau pusat anjuran pertubuhan sukarela bukan kerajaan.

Maklumat lanjut boleh didapati daripada pusat sumber tempatan seperti hospital (klinik kanak-kanak), klinik kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Pendidikan (Unit Pendidikan Khas).

Kanak-kanak ini perlu didaftarkan seawal mungkin di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan. Ini bagi memudahkan ia mendapat jagaan kesihatan, kebajikan dan penempatan di sekolah khas supaya mereka mendapat pendidikan sempurna.

Doktor yang merawat perlu mengisi borang tertentu untuk memudahkan merancang program intervensi awal.

Khamis, Oktober 06, 2011

Pujian yang suami idamkan

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Keluarga - Utusan Malaysia

JANGAN ingat isteri saja yang suka dipuji, suami pun sama juga. Pujian boleh dilahirkan dengan bermacam-macam cara dan bukan sekadar lisan semata-mata.

Yang lazim didengar ialah pujian berbentuk ungkapan seperti “terima kasih”, “awak nampak hebat” dan seumpamanya.

Islam juga menggalakkan kita memberikan kata-kata manis kepada insan yang tersayang dan ganjarannya adalah seumpama memberi sedekah.

Sudah tentu lebih mengujakan apabila si isteri melahirkan rasa kagum terhadap kehebatan suami.

Selain itu, kata-kata semangat dan kata-kata manis seperti memberitahu tentang kebaikan yang baru saja dibuatnya, pasti memberikan satu perasaan tenang, bangga dan gembira pada si suami.

Bagi para isteri yang agak ‘berat mulut’ untuk memuji suami, jangan teruskan sikap tersebut.

Ambil inisiatif untuk memecah ego dan akukan sesuatu yang pastinya tidak merugikan.

Lagi pun, apa salahnya memberikan penghargaan kepada orang yang anda kasihi dan cintai.

Ingin tahu apa pujian yang pasti membuat suami berbunga-bunga? Berikut lima jenis pujian yang mahu didengar suami anda, cubalah!

“Abang memang boleh buat!”

Suami memang suka dipuji dalam hal yang berkaitan dengan bakat mereka. Terutama apabila mereka berjaya menyiapkan sesuatu tugasan atau berjaya dalam tugas kecil seperti membetulkan paip rosak atau sinki tersumbat.

Apatah lagi jika suami berusaha melakukan sesuatu yang istimewa untuk anda seperti memasak di hari ulang tahun.

Jadi ucapkanlah kata-kata pujian dan penghargaan untuk menambah keterujaan pasangan anda.

“Awak membuatkan saya rasa sungguh selamat...”

Suami akan berasa sungguh terhormat apabila dia dapat memberikan perlindungan kepada orang yang dicintainya. Memang menjadi lumrah kaum Adam sejak azali lagi melindungi wanita sehingga ada yang sanggup mati demi kekasih yang dicintainya.

Jadi, biarkan si suami tahu pengorbanannya benar-benar dihargai dan bererti bagi anda.

“Sayang, saya suka begini...”

Tengok suami anda jenis yang macam mana. Kalau mendapat suami yang semula jadi bersikap romantis anda memang beruntung. Tetapi jika suami kurang romantis anda masih boleh membuatkan dia menjadi romantis dengan anda.

Suami yang serius tidak bermakna dia langsung tidak romantis. Adakalanya dia akan bersikap romantis dan inilah masanya bagi isteri untuk membalas romantis tersebut dengan ungkapan: “Sayang, saya suka begini.”

“Abang ada keluarga yang sangat baik dan kawan-kawan yang begitu menghormati saya”

Agak pelik untuk meluahkan perkara ini tapi ia memang penting sebenarnya.

Secara psikologi menunjukkan rasa simpati atau kasih sayang terhadap keluarga suami adalah satu perkara yang amat membuatkan suami bahagia.

Tindakan anda itu membuatkan suami tahu yang anda menerimanya seadanya. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Kepandaian anda bercampur dan menghormati rakan suami membuatkan suami bangga dan dia pasti tidak perlu mencari alasan untuk tidak mengajak anda ke majlis perjumpaan semula teman lama sekolah atau universiti.

Bukankah ini satu perkara yang baik, jadi luahkan bahawa anda sangat menyenangi keluarga dan rakan-rakan suami anda.

“Apa yang saya boleh buat tanpa awak?”

Teringat lirik lagu Trisha Yearwood, How do i. Suami memang ingin selalu rasa diperlukan. Mengapa? sebab dia sanggup membela anda bersungguh-sungguh pada hal yang menyakiti anda di pejabat atau apa saja.

Nah, inilah masanya anda membalas tindakan suami dengan menyatakan kepadanya kalimah “Sayang, apa yang saya boleh buat tanpa abang?” memang ia akan menampakkan anda lemah di hadapannya. Lakukan ungkapan tersebut secara penghargaan lisan sekali gus ungkapan terima kasih yang tulus ikhlas kerana kesudiannya menjadi teman hidup anda suka dan duka.