#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Januari 31, 2011

Lelaki pukul isteri miliki emosi tidak stabil

KUALA LUMPUR: Suami suka memukul isteri disifatkan sebagai lelaki tidak ‘gentleman’ malah dikategorikan seorang yang gagal mengawal emosi kerana tindakan ganasnya yang tidak mengenal belas kasihan.

Moderator Halaqah di TV9, Ahmad Shukri Yusoff berkata, banyak perkara tidak kena apabila berlaku kes pukul memukul kerana seorang suami sepatutnya melindungi isteri sebaik yang boleh.

“Dalam institusi perkahwinan memanglah ada pertelingkahan, tetapi tidak sampai ke tahap memukul dan mencederakan isteri kerana apabila sampai tahap mencederakan dan mendera ini boleh dikategorikan golongan yang mempunyai emosi tidak stabil.

“Bagi seorang isteri, apabila mendapati ada sesuatu yang boleh memudaratkan diri, janganlah didiamkan saja. Menjadi isteri solehah tidak bermakna membenarkan kezaliman berlaku pada diri sendiri,” katanya.

Muka depan Metro Ahad semalam melaporkan seorang isteri muda berusia 23 tahun menjadi mangsa keganasan suaminya berusia 27 tahun sehingga lebam dan cedera di badan kerana kerap dipukul dan ditendang, malah digigit.

Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi, namun suaminya dikatakan pandai berlakon bagi menutup kesalahannya dengan meminta maaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, sehingga berguling di hadapan mentua. Dalam waktu sama si suami mengugut membelasah isterinya dengan lebih teruk jika membocorkan rahsia perkahwinan mereka kerana bimbang tidak disahkan dalam jawatan sebagai kakitangan kerajaan.

Pasangan itu berkahwin di selatan Thailand pertengahan tahun lalu dan belum mendaftarkan perkahwinan kerana setiap kali si isteri mahu berbuat demikian, si suami berdolak dalih dengan pelbagai alasan.

Ahmad Shukri berkata, dari sudut perkahwinan pasangan itu di Thailand dan keengganan mendaftarkan pernikahan di negara ini juga jelas menunjukkan suaminya seorang yang tidak bertanggungjawab dan mahu lari dari sebarang komitmen.

“Sebab itu perangainya boleh bertukar sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, malah boleh berlakon baik di depan mentua dan secara umumnya lelaki seperti ini boleh disimpulkan bukan lelaki baik.

“Lelaki yang berwatak jahat, penuh kepura-puraan dan hanya tahu berseronok memang ada. Bagi wanita, kenalah berhati-hati sebelum memutuskan untuk berkahwin, lebih-lebih kepada yang bercadang untuk berkahwin di luar negara,” katanya.

Rabu, Januari 26, 2011

Raja Poligami

2011/01/23
Berita Minggu

BERANI beristeri ramai? Pasti ramai, khususnya lelaki yang termenung seketika dan tidak kurang juga yang memberi senyuman sinis saat diajukan persoalan itu. Ini disebabkan, poligami bukan sekadar perkataan tetapi turut terselit madu serta racunnya. Ia juga satu tabu yang boleh mengundang kerlingan tajam wanita kerana amalannya.

Jika Islam sudah menekankan konsep keadilan apabila lelaki berhasrat berkahwin empat sekali gus serta syarat-syarat asas mewajarkannya, bagi kaum dan negara lain pula, beristeri ramai itu sudah menjadi tradisi atau pesta tahunan.

Di Swaziland misalnya, sebuah negara di benua Afrika yang mana pemerintahnya, Raja Mswati III sememangnya layak dinobatkan Raja Poligami kerana memiliki 14 isteri sekali gus setakat ini!

Lebih menarik, semuanya dipilih menerusi adat unik yang mana mereka adalah kalangan anak dara Swaziland - negara di selatan Afrika itu yang datang menyerah diri sebagai bakal isteri.

Bukan sekali, malah setiap tahun dengan yang terbaru, November lalu, si dara Swaziland ini berarak separuh bogel di depan pemerintah berusia 43 tahun itu.

Mereka diarak dengan penuh tradisi dengan harapan dapat terpilih sebagai isteri baru dan berpeluang mengecap sedikit nikmat kekayaan biarpun terpaksa berkongsi dengan berbelas wanita lain.

Acara dua hari itu bermula dengan makan tengah hari di Istana Ludzidzini dan pesta itu berlarutan ke luar apabila ratusan wanita dengan pakaian skirt Swazi dan hanya rantai manik menutupi dada, menari sambil menghunus pisau dan perisai bagi menarik perhatian si Raja.

Pada hari kedua pula, gadis pilihan atau Permaisuri baru itu menghadiahkan pelbagai hantaran termasuk tikar rumput, peralatan memasak, selimut, perabot serta cenderahati lain.

Kehebatan Raja Mswati III itu bagaimanapun, belum dapat menandingi bapanya, Raja Sobhuza II yang sewaktu kematiannya pada 1986, mempunyai 70 isteri dan 1,000 cucu!

Malang sungguh apabila negara itu yang sepatutnya menumpukan soal pembangunan, sebaliknya sarat dengan masalah ramai rakyatnya menderita HIV dan kemiskinan. Tumpuan utama Raja Mswati ini sebaliknya, selain menambah isteri adalah boros berbelanja dengan memiliki deretan kereta mewah.

Seorang lagi Raja Poligami adalah Ancentus Akuku yang berasal dari Kenya, juga di Afrika. Sama seperti Raja Mswati III, hobi Akuku adalah mengumpul isteri.

Bak pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, kematian Akuku akhir tahun lalu pada usia 92 tahun, menyaksikannya mencatat nama sebagai poligamis terkenal dalam sejarah negara itu dengan meninggalkan 100 balu biarpun sudah berkahwin lebih 130 kali. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan turut melakar sejarah benua Afrika.

Dia turut dikenali jolokan nama 'Bahaya' kerana ramai wanita mendapati dirinya sukar ditolak. Akuku memiliki lima isteri ketika berusia 22 tahun. Dalam tempoh beberapa dekad antara 1939 dan 1992, Akuku yang berkahwin lebih 130 kali memiliki lebih 200 anak dan menceraikan lebih 80 wanita.

"Saya digelar 'Bahaya' kerana dapat menonjolkan diri ini di kalangan wanita. Saya kacak, bijak memilih pakaian dan tahu memikat hati wanita dengan kata-kata manis. Tiada wanita dapat menolak godaan saya," katanya kepada media, suatu ketika dulu.

Rahsia pemakanannya adalah menolak menu makanan berlemak dan garam yang membantunya mengelak penyakit kronik. Dia juga menghafal dan kenal semua anak-anaknya selain membuat jadual rumah mana yang perlu dikunjunginya mengikuti giliran.

Akuku, bagaimanapun bukan sekadar bijak menghasilkan anak tetapi pandai menguruskan keluarga serta amat mementingkan pendidikan dan ada anak-anaknya menjadi doktor, guru dan jurutera. Dalam tradisi Afrika, anak masih menjadi simbol kemakmuran. Jika kekayaan seseorang lelaki diukur melalui bilangan anak yang dimiliki, Akuku jelas berada dalam kelasnya tersendiri.

Di benua Arab juga tidak kalah dengan Raja Poligami dan Salem Juma'a, 75, yang juga warga Emiriah Arab Bersatu (UAE), layak diberi gelaran itu apabila mengahwini berbelas wanita yang kini cuma tinggal tiga. Dia yang mempunyai 52 anak, 10 daripadanya sudah meninggal dunia.

Salem juga pernah kahwin cerai dengan 12 wanita pelbagai negara - tiga dari Mesir, enam dari India dan tiga wanita tempatan.
"Ini pemberian Allah SWT.

Malah saya sudah ditakdirkan untuk beristeri ramai...rezeki tidak harus ditolak," katanya kepada media tempatan, baru-baru ini, merujuk kemampuannya beristeri ramai.

Namun, kehebatannya tidak setara Daad Abdulrahman, 64, juga warga UAE. Dia bukan sembarangan lelaki dan biarpun hanya berkaki satu, pesara tentera ini tetap ligat untuk meneruskan misi menghasilkan anak mencecah 100 orang menjelang 2015.

Ketika ini, dia mempunyai seramai 88 orang anak, termasuk 50 lelaki. Anak-anaknya paling sulung berusia 39 tahun dengan yang terbaru beberapa bulan. Malah, ada beberapa jandanya masih tinggal bersamanya.

Setakat ini, proses kahwin cerai yang dihadapinya menyaksikan Daad memiliki 16 isteri, namun hanya tiga kekal. Isteri paling muda, Majida, berusia 19 tahun yang dikahwini empat tahun lalu di Pakistan manakala dua lagi, Maryam, 45 tahun manakala Anifa, 22 tahun.

Dia menceraikan tujuh isteri, tiga lagi meninggal manakala tiga yang lain 'melarikan diri' dan tidak pernah kembali lagi.

Hebat atau tidak, rumahnya ibarat liga antarabangsa apabila dia mengahwini wanita Oman, India, Bangladesh, Maghribi dan rakyat tempatan.

Kini, dia memasang impian mahu mengahwini isteri keempat dari Sudan yang 40 tahun lebih muda daripadanya dan berharap memperoleh anak empat orang setahun sehingga matlamatnya tercapai.

Dia menyara keluarganya hasil pencen tentera selain sumbangan dermawan UAE yang sanggup membantunya merealisasikan impian memiliki 100 anak.

Ditanya apa rahsia kehebatannya, Daad berkata: "Saya mementingkan pengambilan makanan berkhasiat. Saya ada 40 biri-biri dan kambing.

Setiap minggu saya sembelih seekor dan menikmatinya bersama-sama isteri dan anak-anak. Mungkin inilah rahsia saya..."

Kelahiran bayi tidak sah taraf pada tahap kronik

Harian Metro
26/01/2011

KUALA TERENGGANU: Menggerunkan apabila seramai 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini tahun lalu sekali gus menunjukkan gejala kelahiran anak luar nikah berada pada tahap kronik.

Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu, kadar tertinggi dicatatkan pada Mei dengan 72 kelahiran dan September 60 kelahiran yang dikaitkan dengan kemunculan ‘produk’ yang dibuat sembilan bulan sebelum itu iaitu pada Ogos dan Disember.

Hasil kelahiran dicatatkan dua bulan itu juga dikaitkan sebagai ‘musim mengawan’ pasangan muda-mudi yang berpesta seks tanpa ikatan sah pada malam sambutan hari kemerdekaan dan tahun baru.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad berkata, jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan warganegara dan bukan warganegara.

“Angka ini begitu menggerunkan dan menunjukkan penyakit masyarakat yang membimbangkan semua pihak. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan daripada ibu beragama Islam

“Jadi kita minta kerjasama agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain bersama membanteras pergaulan bebas muda-mudi bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah maksiat dan menghasilkan anak luar nikah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di pejabat JPN Terengganu, di sini, semalam

Rabu, Januari 19, 2011

‘Saya segalanya buat ayah’

Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my

BUKAN mudah mengendalikan seorang yang berjasa dalam hidup iaitu bapanya, Muhammad Awang, 84, yang kini lumpuh dan menghidap Parkinson serta uzur pula.

Namun Rosmawati Muhammad, 49, tidak pernah mengeluh akan kesukaran menjaga bapa tercinta selepas kematian ibu tersayang, Maria Mat Isim, tujuh tahun lalu.

Baginya, merawat dan membantu bapanya bukan mengharapkan limpahan balasan apatah lagi sebagai anak tunggal dalam keluarga, dia berasakan ia adalah kewajipan anak terhadap lelaki yang berjasa besar dalam besar dalam hidupnya.

“Kasih sayang terhadap ayah adalah segala-galanya kerana dia lelaki hebat yang mendidik saya sejak kecil. Dalam keadaan uzur begini, setelah kematian emak, sayalah segala-galanya buat ayah menghabiskan sisa usianya.

“Walaupun menjaganya seorang diri, pengorbanan yang kecil ini sudah tentu tidak mampu membalas jasa arwah emak dan ayah terhadap saya. Cuma, keadaan agak sukar kini membesarkan lima anak serta ayah setelah suami meninggal dunia tahun lalu.

“Tanggungjawab terhadap ayah dan anak-anak tidak harus diabaikan walaupun sesusah mana diri saya. Apa yang saya makan, itulah yang ayah dan anak-anak makan. Tidak dinafikan ada kalanya makan nasi tidak berlauk mewah sekadar ikan bilis dan sardin. Selebihnya, duit banyak digunakan untuk keperluan anak yang masih belajar,” katanya.

Tinggal di rumah kecil di No 10, Lorong 4B, Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur, di situ dia membesarkan Muhammd Rizwan, 23, Rozila, 22, Rozaliekah, 20, Rozainasha, 17, dan Rozalisa, 8, serta berkongsi hidup dengan menjaga ayahnya dalam keadaan serba kekurangan tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sejak kematian suami.

Tidak dinafikan keperluan ubat-ubatan dan membawa bapanya ke klinik bukanlah mudah tambahan pula dengan hanya bergantung kepada pencen arwah suaminya yang tidak seberapa.

Tetapi wanita ini meyakinkan diri bahawa hidup perlu diteruskan tanpa mengeluh atau meminta-minta daripada orang ramai.

“Saya pernah diberitahu pihak pengurusan komuniti terutama ahli jawatan kuasa masjid di kawasan kediaman untuk sebarang bantuan daripada pihak berwajib terutama Pusat Pungutan Zakat.

“Ada pihak berjanji untuk membantu meringankan beban saya sekeluarga tetapi sehingga kini tiada sesiapa pun menghulurkan bantuan. Cuma sesekali, ada juga pemimpin politik turun padang dan menghulurkan bantuan berupa makanan.

“Untuk saya pergi kepada pertubuhan bukan kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi kerajaan yang lain, agak sukar dilakukan dalam keadaan saya yang sentiasa sibuk menjaga ayah serta memberi tumpuan terhadap anak yang masih bersekolah. Semua ini memerlukan kebijaksanaan saya mengurus.

“Saya bernasib baik kerana tiga daripada anak saya sudah menuntut di institusi pengajian tinggi yang banyak membantu saya memberi bantuan kepada adik-adik mereka terutama keperluan barangan sekolah.

“Anak sulung, kedua dan ketiga masing-masing di Universiti Teknologi Mara dan seorang lagi di Universiti Kuala Lumpur. Mereka menerima biasiswa kerajaan dan membantu anak keempat dan bongsu dengan wang biasiswa mereka.

“Ada kalanya terharu juga dengan sikap anak-anak yang berpakat sesama mereka mengumpul wang dan menghulurkan sedikit buat membantu saya serta datuk dan adik-adik mereka demi meneruskan hidup dalam serba kekurangan ini.

“Mereka bertiga membantu belikan baju atau keperluan buku yang penting untuk adik-adik. Saya pula merancang bajet makanan anak dan kos perubatan buat ayah saya yang sedang sakit itu,” katanya sedih.

Anak sulungnya, Muhammad Rizwan mengambil jurusan Kejuruteraan Teknologi Maklumat (IT), adiknya Rozila dalam bidang forensik manakala Rozaliekah mempelajari bidang perubatan.

Ternyata kepada wanita ini, pelajaran adalah bekalan terpenting buat masa depan anak-anak.

Untuk itu katanya, dia rela mengikat perut demi memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing.

Menurutnya lagi, anak keempat yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini bekerja sebagai jurujual di sebuah kompleks beli-belah demi membantu meringankan bebannya. Pekerjaan itu juga boleh membantunya untuk menyimpan wang bagi meneruskan pembelajaran selepas mendapat keputusan peperiksaan.

“Sehingga kini, yuran pengajian sekolah biasa dan sekolah agama saya bayar sebahagian dulu kerana tidak mampu membayarnya sekali gus.

“Nasib baik anak memahami kesukaran saya dan tidak pernah mendesak hendakkan sesuatu.

“Oleh kerana saya anak tunggal dalam keluarga, sukar bagi saya untuk berkongsi masalah dengan orang lain. Saya bernasib baik kerana ipar-duai iaitu adik-beradik arwah suami selalu bertanya khabar anak-anak dan sesekali menghulur bantuan sekadar termampu.

“Paling sukar dilaksanakan adalah menghantar anak ke kelas tuisyen sedangkan wang untuk kegunaan elektrik, air dan pelbagai keperluan penting lain juga harus difikirkan,” katanya.

Apa yang amat diharapkannya kini adalah bantuan kewangan untuk menguruskan perubatan bapanya dan mengharapkan bantuan untuk pengajian anak keempatnya kelak.

Baginya, mampu menye�dia�kan sepasang pakaian sekolah buat anaknya amat disyukuri kerana jika dibanding�kan dengan orang yang lebih susah hidupnya, dia masih bernasib baik.

“Saya bersyukur guru memahami kesukaran kami untuk membayar yuran dan tidak mampu menyediakan buku latihan. Kalau dulu anak sentiasa membawa bekal ke sekolah, sekarang anak mendapat bantuan makanan daripada pihak sekolah.

“Apa yang terpenting kini, saya harus menjaga anak dan ayah sebaiknya dan berharap Tuhan menganugerahkan kekuatan dan kudrat serta kesihatan sebaiknya kepada saya,” ka

Panduan pemakanan untuk kanak-kanak

■ Penuhi waktu makan bersama anak-anak dengan membaca doa makan, bercerita berkenaan perihal makanan yang telah disajikan bersama trivia dan cerita sejarah para nabi, para sahabat atau kisah teladan yang pendek namun diolah dalam bentuk ceria.

■ Guna alatan masakan yang bersesuaian untuk peringkat umur anak dan hidangkan dalam pinggan, mangkuk, sudu dan garfu yang memikat hatinya agar selesa menggunakannya dan tidak jemu belajar untuk menghargai makanan. Gunakan peralatan pinggan mangkuk dan kutleri yang diperbuat daripada bahan yang selamat dan berwarna-warni, alas meja makan yang menarik, kerusi dan meja yang selesa mengikut saiz badan anak.

■ Bahan masakan perlu semula jadi segar, mengandungi vitamin, serat, kalsium dan galakkan anak kecil untuk minum minuman mineral, susu soya dan susu segar serta jus dalam menu harian.

■ Tabiat makan yang baik perlu diasuh daripada usia muda dan ibu bapa perlu menjadi model utama untuk tujuan ikhlas ini. Jangan beri komen negatif berkenaan makanan yang dihidangkan dan sentiasa bersyukur dan berterima kasih atas rezeki yang dikurniakan

■ Beri peringatan melalui penceritaan tentang kesukaran mendapatkan makanan bagi insan lain dan di kala keperitan di waktu peperangan sebelum merdeka agar si kecil tidak suka membazir makanan.

■ Bimbing anak kecil untuk membantu memasak bersama, membasuh pinggan, mengemas meja makan dan menghidangkan makanan. Nyatakan pada si anak bahawa dahulukan yang kecil, warga tua dan ibu yang sedang me�ngandung sewaktu mengagih�kan makanan.

■ Kurangkan penggunaan gula, garam, bahan berlemak, makanan ringan, snek segera atau mengumpan kejayaan anak dengan gula-gula kerana ia amat berbahaya dan adalah jalan singkat saja. Elakkan obesiti pada usia muda.

■ Ciptakan situasi yang menggembirakan buat anak kecil setiap kali tibanya waktu makan dengan bercerita kepada anak dan gunakan bahasa yang penuh kasih sayang serta memperuntukkan sejumlah masa yang secukupnya buat si comel. Berbual dengan mesra, mimik muka yang ceria dan gaya bahasa badan yang bersungguh-sungguh dalam penyampaian cerita. Kongsi fakta menarik tentang makanan yang dimakan oleh anak.

■ Beri peluang, ruang, masa dan pujian kepada anak setiap kali pada waktu makan. Elakkan daripada memberi tekanan atau membuat sebarang kenyataan yang boleh mematahkan selera makan si comel. Ingatlah bahawa segala galakan yang datang daripada ibu bapa amat bermakna buat anak dan akan diingati sepanjang hayatnya

Rabu, Januari 12, 2011

Kakak, adik turut jadi mangsa

JOHOR BAHRU: Ketiga-tiga beradik termasuk Nur Dania Qistina, 3, yang maut selepas mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal di rumah ibu tiri mereka di Kampung Sungai Tiram di sini, sejak tiga bulan lalu.

Ia berikutan, kakak mangsa, Nur Diana Batrisha, 5, dan adik lelakinya, Danish Irsyad, berusia setahun, yang kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) didapati mempunyai kesan penderaan fizikal di anggota badan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa penderaan selepas dilarikan bapanya daripada kediaman datuk dan nenek di Tenggaroh, Mersing.

Menurutnya, biarpun ibu kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai kerani akaun di Pasir Gudang berusaha mengesan mereka, tempat tinggal bekas suaminya itu dirahsiakan hingga perkara itu mengundang masalah tidak diingini.

“Dua adik-beradik mangsa dapat diselamatkan termasuk anak sulung kini tinggal bersama ibunya, Nur Aquilla Razali, 27. “Manakala adik bongsu mangsa masih menerima rawatan di HSA berikutan kesan lebam pada muka, belakang telinga dan punggung selain demam ditemani oleh ibu saudaranya.

“Setakat ini, imbasan X-Ray menunjukkan Danish tidak mengalami sebarang kecederaan seperti patah tulang,” katanya.

OHOR BAHRU: Ketiga-tiga beradik termasuk Nur Dania Qistina, 3, yang maut selepas mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal di rumah ibu tiri mereka di Kampung Sungai Tiram di sini, sejak tiga bulan lalu.

Ia berikutan, kakak mangsa, Nur Diana Batrisha, 5, dan adik lelakinya, Danish Irsyad, berusia setahun, yang kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) didapati mempunyai kesan penderaan fizikal di anggota badan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa penderaan selepas dilarikan bapanya daripada kediaman datuk dan nenek di Tenggaroh, Mersing.

Menurutnya, biarpun ibu kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai kerani akaun di Pasir Gudang berusaha mengesan mereka, tempat tinggal bekas suaminya itu dirahsiakan hingga perkara itu mengundang masalah tidak diingini.

“Dua adik-beradik mangsa dapat diselamatkan termasuk anak sulung kini tinggal bersama ibunya, Nur Aquilla Razali, 27. “Manakala adik bongsu mangsa masih menerima rawatan di HSA berikutan kesan lebam pada muka, belakang telinga dan punggung selain demam ditemani oleh ibu saudaranya.

“Setakat ini, imbasan X-Ray menunjukkan Danish tidak mengalami sebarang kecederaan seperti patah tulang,” katanya.

Robia berkata, pihaknya juga menasihatkan keluarga mangsa supaya membawa anak sulung untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital memandangkan kanak-kanak itu juga didapati mengalami kesan lebam dan bengkak di beberapa anggota badan. “Dari pandangan luaran kedua-dua mereka mempunyai pertumbuhan normal mengikut usia masing-masing...namun kita perlu menunggu laporan perubatan keseluruhan doktor.

“Kedua-dua beradik itu lebih sesuai tinggal bersama ibu kandung mereka selepas ini,” katanya ketika mengunjungi Danish di wad kanak-kanak di HSA di sini, semalam.

Robia bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, T Murukasvary turut melawat keluarga mangsa di Felda Tenggaroh 6, dekat Mersing di sini, pagi semalam dan menyampaikan sejumlah sumbangan wang tunai.

Sementara itu, Aquilla berkata, dia terkilan dengan kejadian menimpa arwah Dania kerana kanak-kanak itu adalah seorang yang mudah mesra dan manja.

Menurutnya, bagi mengelakkan kedua-dua anaknya mengalami nasib sama, dia berusaha menuntut hak penjagaan daripada suaminya di mahkamah secepat mungkin.

Diperkosa 3 penculik

Oleh Hadzlihady Hassan dan Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita kini trauma dan terlantar di hospital akibat dipukul, dirompak, malah turut dirogol dan diliwat selepas diculik sekumpulan tiga lelaki dari perkarangan rumah sewanya di sebuah kondominium di Pandan Indah, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat baru pulang dari rumah keluarganya di Ulu Yam, Selangor.

Sumber polis berkata, sejurus mangsa keluar daripada Perodua Myvi dipandunya, tiba-tiba muncul tiga lelaki yang terus memukul dan menendangnya.

“Mangsa ditarik masuk semula ke dalam keretanya dan ketika itu mereka masih memukul mangsa tanpa belas kasihan dalam usaha melemahkannya.

"Mereka membawa mangsa ke sekitar ibu kota dan memaksanya menyerahkan barang berharga termasuk kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta nombor pengenalan peribadi (PIN) daripadanya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan mengikut arahan tiga lelaki terbabit sebelum dia dibawa ke sebuah lokasi berhampiran Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Chamang, Bentong, Pahang.

Sumber itu berkata, sebaik tiba di satu lokasi sunyi di situ, seorang daripada lelaki terbabit merogol dan meliwat mangsa.

“Mangsa berjaya meloloskan diri dan meminta pertolongan daripada orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

Dia dibawa membuat laporan di Balai Polis Bentong sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Bentong.

“Pada masa sama, tiga lelaki terbabit melarikan diri dari tempat kejadian dengan kereta mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipindahkan ke Hospital Temerloh untuk menjalani pemeriksaan dan kini masih dirawat di hospital itu. Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan trauma.

Sumber itu berkata, setakat ini polis sudah menahan seorang lelaki yang dipercayai mengenali mangsa untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan siasatan awal mendapati tiga lelaki terbabit kemungkinan warga Indonesia.

“Bagaimanapun, polis Ampang Jaya hanya menyiasat kes rompakan yang berlaku kepada mangsa. Mangsa dirogol dan diliwat di kawasan Bentong dan kami sudah menyerahkan kes terbabit kepada polis di daerah itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan mangsa berhubung dia dirogol dan diliwat.

Sabtu, Januari 08, 2011

Dibuang kerana cacat?

Harian Metro - 8 Jan 2011

KLANG: Seorang bayi perempuan ditemui seorang lelaki dalam kotak di hadapan sebuah premis kosong di Taman Sentosa, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Muhamad Md Yusof berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati seorang bayi perempuan berusia lingkungan empat hingga lima bulan diletakkan dalam sebuah kotak. Katanya, bayi yang masih hidup itu lengkap berpakaian namun tiada sebarang dokumen pengenalan ditemui bersamanya. “Hasil pemeriksaan terhadap bayi berkenaan mendapati dia tidak mempunyai parut suntikan BCG serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun, kami percaya bayi itu mengalami masalah kesihatan kerana kepalanya didapati berair,” katanya. Bayi itu kini sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan susulan. “Polis akan membuat siasatan lanjut bagi mengesan ibu bapa bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

Animasi 18SX

IPOH: Seorang ibu hampir pengsan apabila pemeriksaan mengejut yang dilakukannya terhadap koleksi cakera padat digital (DVD) drama dan filem animasi dari Jepun milik anak lelakinya berusia 15 tahun, mengandungi adegan lucah melampau.

Rozilawati, 40-an, dari Taman Ampang, dekat sini, berkata keseluruhan jalan cerita, gaya pemakaian dan bentuk fizikal watak serta adegan ditonjolkan dalam DVD berkenaan melebihi had adegan lucah 18SX.

“Saya sesak nafas dan rasa seperti hendak pitam sebaik memasang DVD pertama berikutan kemunculan sekumpulan wanita berpakaian seksi sebelum seorang lelaki muncul mengganggu mereka.

“Selepas menontonnya hingga habis, saya dapati cerita berkenaan bukan saja patut dilarang untuk tontonan remaja bawah 18 tahun, sebaliknya perlu diharamkan terus. Saya hairan bagaimana cerita kartun sedemikian boleh memasuki pasaran negara dan dijual kepada pelajar sekolah,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di sini, semalam.

Ibu bertudung labuh itu yang beberapa kali sebak sepanjang pertemuan berkenaan, turut membawa bersama kira-kira 15 keping DVD animasi pelbagai genre dirampas daripada anaknya.

“Saya sangka hanya DVD pertama dipasang itu mengandungi jalan cerita dan adegan berunsurkan lucah, tetapi sangkaan saya meleset kerana semua koleksi DVD animasi milik anak saya memaparkan benda sama yang tidak senonoh dan lucah melampau.

“Saya fikir tiada lagi kejutan dan sangka semua cerita DVD berkenaan hanya menampilkan watak seksi, adegan berunsurkan lucah dan dialog mengghairahkan.

“Sekali lagi jantung saya berdegup kencang apabila dua daripada koleksi DVD terbabit menampilkan 100 peratus cerita animasi lucah dengan adegan seks tanpa sebarang suntingan. Saya mengucap panjang dan beristighfar banyak kali kerana tak sangka anak saya menonton cerita seperti ini,” katanya.

Rozilawati berkata, rahsia anaknya itu berjaya dibongkar ketika pelajar tingkatan tiga berkenaan pergi ke sekolahnya pada hari pertama penggal persekolahan tahun ini, Isnin lalu.

“Saya mula rasa ada sesuatu tidak kena kerana sepanjang cuti persekolahan, dia lebih banyak menghabiskan masa berkurung dalam biliknya dan memberi alasan bermain Internet di komputer riba. Tingkah lakunya juga pelik apabila menghiasi dinding bilik tidurnya dengan poster watak animasi perempuan berpakaian menjolok mata.


“Dia juga semakin kerap tidur lewat dan bangun tengah malam untuk ke tandas. Namun perkara yang membuatkan saya nekad memeriksa biliknya ialah tindakannya menyimpan sebahagian koleksi DVD dalam laci yang dikunci.

“Selepas merampas semua DVD berkenaan, saya dan suami mengambil pendekatan berdiam diri untuk melihat reaksi anak apabila mengetahui rahsianya sudah terbongkar,” katanya.

Begitupun katanya, dia dan suami bersyukur apabila anaknya meminta maaf serta bertaubat tidak akan melihat lagi perkara seperti itu.

Katanya, selepas menyoal anaknya dari mana DVD berkenaan dibeli, dia membawanya dan suami ke deretan bangunan kedai yang terletak berdekatan sebuah restoran mamak tidak jauh dari rumahnya.

“Saya dan suami terkejut melihat terdapat bukan satu, tapi tiga premis secara terbuka menjual DVD dan VCD (video cakera padat) pelbagai jenis filem yang dipercayai cetak rompak berdasarkan harga ditawarkan iaitu sekitar RM5 hingga RM15 sekeping. “Malah, ketika berpura-pura masuk sebagai pelanggan, saya mendapati cerita animasi seperti dibeli anak saya diletakkan di bahagian terbuka.

“Suami memberitahu filem lucah turut dijual di satu sudut tersorok di bahagian belakang salah satu premis berkenaan. Saya pelik bagaimana premis yang terletak berhampiran kawasan perumahan ini boleh beroperasi secara terbuka.

“Yang pasti, ia jelas menunjukkan kecacatan dalam bidang penguatkuasaan pihak bertanggungjawab,” katanya.

Rozilawati berpendapat antara punca penularan gejala sosial di negara ini disebabkan remaja, termasuk kanak-kanak mudah terdedah kepada perkara negatif seperti melihat cerita berunsur lucah.

'Mak cik tetak ibu bekali-kali'

Oleh Riadz Radzi
Harian Metro
8 Jan 2011


JITRA: “Mak cik (ibu tiri) tiba-tiba berang lalu melibas parang ke arah adik, tapi nasib baik adik sempat mengelak. Dia kemudian menyerang ibu dan menetaknya berkali-kali di muka dan kepala. Saya yang cuba membantu turut ditetak di kaki.

“Dalam pergelutan itu, saya sempat merampas parang berkenaan dan mencampaknya ke luar rumah. Mak cik (ibu tiri) berlari ke dalam bilik dan mengurungkan diri, manakala saya keluar mendapatkan bantuan jiran,” kata Nurul Shuhada Saad, 17, mengenai kejadian ibu tirinya menyerang ibunya di rumah mereka di Kampung Seri Muda, Sungai Korok, di sini, pagi semalam.

Akibat kejadian itu, Siti Aminah Hanafi, 40-an, parah di muka dan tangan akibat ditetak madunya yang mengamuk dipercayai kerana cemburu. Nurul Shuhada yang cuba meleraikan pergaduhan itu cedera di kaki kanan.

Suspek yang berasal dari Kuala Nerang berkahwin dengan suami mangsa, Saad Husin, 45, dan menjadi isteri keduanya sejak lebih setahun lalu. Dia yang mempunyai seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, dibawa suaminya tinggal serumah bersama madunya sejak dua minggu lalu.

Nurul Shuhada ketika ditemui di Hospital Jitra (HJ), di sini, berkata ketika kejadian dia bersama ibunya berada di dapur sebelum mereka meminta ibu tirinya membawa bayi itu keluar dari bilik untuk diberi makan.

Katanya, kerana tiada jawapan daripada ibu tirinya, dia memasuki bilik untuk membawa bayi itu keluar, tetapi wanita itu berang sebelum melibas parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter itu ke arah adiknya, Siti Musliha, 13, yang berada berdekatan.

“Selepas menyerang adik, dia menyerang ibu dan menetaknya berkali-kali di muka dan kepala sebelum saya membantu meleraikan pergaduhan itu,” katanya.

Dua beranak yang cedera itu dibawa ke HJ oleh jiran sebelum Siti Aminah dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, kerana kecederaan serius selain menghidap kencing manis.

Nurul Shuhada berkata, turut berada di rumah berkenaan ketika kejadian ialah adik perempuan bongsunya yang berusia lapan tahun, manakala bapanya tiada di rumah kerana keluar ke kedai makan.

Remaja itu mendakwa sejak madu ibunya berpindah ke situ, kedua-dua mereka kerap bertengkar kerana ibu tirinya terlalu cemburu.

Nurul Shuhada membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini, petang semalam.

Jiran mangsa, Nang Yah Nik Salleh, 52, ketika ditemui berkata dia terkejut apabila ternampak mangsa terduduk di pintu rumah dalam keadaan berlumuran darah dan melambai-lambai meminta tolong kepadanya yang berada kira-kira 10 meter dari rumahnya.

“Sebelum itu saya terdengar suara orang menjerit dan bergaduh. Apabila keluar rumah saya nampak Aminah dalam keadaan berlumuran darah. Saya yang ketakutan segera memberitahu jiran lain sebelum mereka membawanya ke hospital,” katanya.

Nang Yah berkata, sejak kedua-dua madu itu tinggal serumah, dia kerap terdengar mereka bertengkar, tetapi tidak menyangka isteri kedua itu sanggup bertindak sedemikian.

Sementara itu, suami mangsa, Saad ketika ditemui di HSB berkata, hubungan kedua-dua isterinya sebelum ini baik dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah.

“Ketika kejadian saya ke kedai makan untuk bersarapan dan apabila pulang saya dapati kejadian ini sudah berlaku. Ketika itu saya dapati jiran kami membantu isteri pertama dan anak-anak ke hospital untuk menerima rawatan.

“Pada saya tiada apa-apa, ini cuma masalah keluarga dan biar ia diselesaikan secara kekeluargaan. Saya tidak mahu hal ini diperbesarkan kerana ia hal keluarga kami,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, selepas kejadian itu isteri keduanya dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kuala Nerang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan polis menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata tajam.

Katanya, polis mengesan suspek bagi membantu siasatan.

Tonton video anak diperkosa

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
Harian Metro
8 Jan 2011


TEMERLOH: Seorang bapa terkejut sebaik menonton klip video yang memaparkan anak perempuannya diperkosa seorang duda warga emas yang juga jirannya di sebuah rumah di Taman Seri Kuala Krau.

Kejadian dipercayai berlaku pada 2009 apabila duda berusia 66 tahun itu memanggil mangsa berusia 19 tahun setiap kali remaja terbabit mahu ke kedai apabila terpaksa melalui depan rumah suspek sebelum dipujuk masuk ke dalam rumah.

Difahamkan, suspek yang tinggal seorang diri selepas kematian isteri sejak empat tahun lalu dipercayai merogol mangsa yang mengalami masalah mental lebih daripada tiga kali dan dia dikatakan turut merakam aksi berkenaan menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan keji itu terbongkar selepas rakaman berkenaan tersebar hingga ke Felda Jenderak Utara dekat sini, sebelum rakan kepada bapa mangsa mengecam wajah remaja terbabit sebagai anak kenalannya.

Berikutan itu, dia memaklumkan mengenai penyebaran klip video itu kepada bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh sebelum lelaki berkenaan yang terkejut dengan berita itu bertindak mencari penyebar rakaman terbabit dan menemui seorang lelaki yang masih menyimpan rakaman itu sebelum menyaksikannya sendiri.

Bapa mangsa yang berusia 40-an memberitahu mengenai klip video berkenaan kepada isterinya sebelum mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 29 Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, susulan laporan bapa mangsa, duda terbabit ditahan di rumahnya pada 30 Disember lalu sebelum dibawa ke IPD Temerloh bagi membantu siasatan.

Katanya, pada masa sama, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik dipercayai mengalami masalah mental dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk pemeriksaan lanjut.

Md Nor berkata, polis turut merampas telefon bimbit yang mempunyai rakaman aksi berkenaan dan dihantar ke bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk pemeriksaan lebih teliti dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.