#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Oktober 22, 2010

Maut berebut alat kawalan jauh TV

22/10/2010 5:33pm
KOSMO


KUANTAN - Gara-gara berebutkan alat kawalan jauh televisyen dengan adik, seorang pelajar lelaki Maahad Tahfiz Batu 4 di sini menemui ajal selepas tercetus pertengkaran dengan saudaranya di Taman Balok Baru di sini, 4.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa, Naili Nafiz Zakaria, 14, dipercayai bertengkar dengan adik perempuannya berusia lima tahun yang berebut mahu menonton siaran pilihan masing-masing di televisyen.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Haris berkata, seorang saudara mangsa yang melihat pertengkaran itu dikatakan segera campur tangan sambil mengacah membaling serpihan kaca tingkap yang terdapat di depan pintu kepada mangsa.

Mohd Haris berkata, serpihan kaca berkenaan tiba-tiba terlepas dari tangan dan terkena paha kanan mangsa yang menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

Menurut Mohd Haris, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Balok di sini oleh jirannya sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.40 petang ketika sedang mendapatkan rawatan.

Katanya ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah. – Bernama

Placenta praevia boleh ragut nyawa




PENDARAHAN ketika hamil merupakan antara perkara yang ditakuti kaum ibu mengandung kerana ia berisiko menyebabkan keguguran jika tidak disusuli dengan rawatan segera.

Pendarahan boleh berlaku di bahagian luar faraj iaitu pada vulva atau pangkal rahim. Ia boleh terjadi kerana komplikasi kehamilan atau keadaan plasenta yang tidak normal iaitu kedudukannya berhampiran atau betul-betul di atas serviks yang dipanggil placenta praevia.

Umum mengetahui, plasenta merupakan organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim. Ia berfungsi membekalkan makanan termasuk oksigen daripada ibu kepada janin dan mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu.

Namun, kedudukan plasenta yang songsang daripada kedudukan normal boleh mengakibatkan pendarahan yang serius.

Pakar Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Pantai Ampang, Dr. Sudha Kumari memberitahu, terdapat empat jenis placenta praevia iaitu lateral, marginal, partial dan central.




“Plasenta praevia lateral merujuk kepada kedudukan plasenta yang cenderung jaraknya lima sentimeter atau lebih daripada serviks manakala kedudukan marginal pula menunjukkan plasenta berada betul-betul di margin serviks.

“Placenta praevia partial pula menunjukkan keadaan plasenta menutupi sebahagian serviks, manakala penutupan serviks sepenuhnya pula dipanggil central iaitu kedudukan plasenta betul-betul di atas serviks. Dalam keempat-empat kes, keadaan central ini paling merbahaya,” katanya.

Tambah Sudha, keadaan tersebut berlaku selepas tempoh 24 minggu kehamilan dan ia disebabkan beberapa perkara iaitu parut ketika proses kelahiran atau pembedahan, kekerapan bersalin dan infeksi.

“Keadaan ini akan menjadi punca plasenta akan terus melekat di situ dan tidak bergerak. Pada awal tempoh kehamilan, plasenta berada di mana-mana dalam rahim kerana pada masa itu saiz bayi terlalu kecil, namun apabila tempoh kehamilan bertambah ia (plasenta) berubah tempat ke bahagian atas rahim.

“Kedudukan plasenta yang tidak berubah dipanggil placenta praevia. Sebenarnya, plasenta tidak bergerak tetapi uterus membesar dan mengembang, oleh itu ia secara automatik akan naik ke atas,” ujarnya.

Ia akan terjadi selepas 24 minggu tempoh kehamilan kerana dalam tempoh tersebut plasenta akan berada di kedudukan atas.

Menurut Sudha, walaupun plasenta berada di bawah pada kehamilan minggu ke-24, kebarangkalian ia berpindah ke atas tetap ada dan ia memerlukan pemantauan kandungan dengan kerap.


WANITA yang mengalami placenta praevia terpaksa melahirkan anak melalui kaedah caesarean.

“Biasanya jika kedudukan plasenta dalam keadaan lateral dan marginal pada minggu ke-26 kehamilan, ada kemungkinan plasenta akan naik tetapi jika plasenta dalam keadaan central dan partial, kemungkinan besar ia tidak akan naik kerana kedudukannya betul-betul di atas serviks.

“Kerana itu, seseorang ibu perlu menjalani rawatan susulan dengan doktor. Selepas minggu ke-34 kita akan dapat tahu sama ada plasenta akan naik atau tidak,” katanya.

Siapa yang berisiko mendapat placenta praevia?

Mereka yang berisiko tinggi mendapat placenta praevia adalah dalam kalangan wanita yang pernah mengalami placenta praevia pada kehamilan sebelumnya.

Selain itu katanya, kekerapan bersalin setiap tahun, kelahiran anak kembar, pernah menjalani pembedahan caesarean dan fibroid, malah ada yang berpendapat wanita yang mengambil kokain dan merokok juga mempunyai risiko yang sama.

“Apabila umur meningkat risiko juga akan meningkat. Umur yang berisiko ialah wanita berusia bawah 20 tahun dan melebihi 35 tahun. Umur yang paling selamat ialah 20 hingga 30 tahun. Risiko wanita untuk mendapat placenta praevia adalah satu dalam 200 kehamilan.


BEGINILAH kedudukan plasenta yang normal iaitu di atas rahim bukan di kedudukan berhampiran serviks seperti gambarajah sebelah.

“Seseorang yang didiagnos mengalami placenta praevia apabila berlaku pendarahan pada minggu ke-24 kehamilan. Oleh itu, doktor perlu buat ujian ultra bunyi bagi memastikan kedudukan plasenta,” jelasnya.

Wanita yang dikesan mengalami placenta praevia dinasihatkan untuk berehat, tidak membuat kerja-kerja berat, tidak bersenam, tidak mengadakan pemeriksaan vagina dan tidak melakukan hubungan seks sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh menyebabkan pendarahan.

Sudha memberitahu, wanita yang mengalami placenta praevia central dalam minggu ke-34 kehamilan akan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan.

“Jika tiada sebarang pendarahan, mereka boleh berehat di rumah dengan syarat, jarak rumah mereka dekat dengan hospital dan mempunyai pengetahuan mengenai keadaan kehamilannya bagi mengelakkan risiko ke atas ibu dan anak.

“Segera berjumpa dengan doktor jika berlaku sebarang pendarahan tanpa rasa sakit. Buat permulaan, pendarahan kali pertama akan keluar sikit dan akan berhenti seketika sebelum berlaku pendarahan yang banyak,” katanya.

Tambahnya lagi, jika berlaku sedikit pendarahan dalam tempoh kehamilan masuk minggu ke-34, pihak hospital akan menunggu sehingga cukup bulan, tetapi jika si ibu mengalami pendarahan yang banyak, bayi perlu dikeluarkan segera demi kebaikan ibu dan anak.


SUDHA menunjukkan kedudukan plasenta yang betul iaitu berada di atas bahagian rahim.

“Jika berlaku pendarahan yang banyak, jantung bayi akan jatuh dan bayi perlu dikeluarkan segera jika tidak, bayi akan mati di dalam kandungan.

“Ibu yang mengalami placenta praevia tidak boleh melahirkan bayi secara normal dan perlu menjalani pembedahan caesarean. Bukan itu sahaja, ia memerlukan doktor yang berpengalaman luas mengendalikan kes placenta praevia serta kakitangan hospital yang terlatih. Jika tidak keadaan itu mengundang risiko kematian,” jelasnya.

Ujar beliau, dalam keadaan pendarahan yang banyak, seboleh-bolehnya, doktor mahu menyelamatkan nyawa kedua-dua ibu dan bayi tetapi keutamaan diberikan kepada ibu.

Rabu, Oktober 20, 2010

Isteri Bukan Hak Suami

Situasi: Puan A adalah isteri kepada seorang lelaki yang sering mabuk dan pulang ke rumah dengan emosi yang tidak stabil.

Kerap kali, Puan A dipukul, ditendang, ditengking oleh suaminya yang sentiasa memarahinya.

Kemuncak penderitaan Puan A adalah apabila dia dikelar suaminya dengan pisau panas hingga dia jatuh pengsan.

Malangnya, jeritan dan pekikkannya tidak pernah dihiraukan atau diambil peduli oleh sesiapa, walaupun mereka tinggal di salah sebuah unit rumah pangsa yang dikelilingi jiran tetangga yang sangat dekat.

SITUASI yang dinyatakan di atas adalah situasi yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Isteri tersebut menderita pelbagai kecederaan fizikal selain mental yang sangat tidak stabil akibat daripada perbuatan suaminya.

Namun fokus perbincangan kita pada kali ini adalah berkenaan sikap jiran atau masyarakat setempat yang memandang ringan atau mengambil keputusan untuk menutup sebelah mata (jika tidak kedua-duanya) terhadap penyakit masyarakat yang sedang menular dewasa kini - keganasan rumah tangga.

Masyarakat sebenarnya mampu untuk memainkan peranan besar bagi menghentikan jenayah tersebut daripada terus berlaku.

Secara umumnya, masyarakat masih beranggapan bahawa masalah dalam rumah tangga seseorang adalah masalah peribadi orang tersebut dan tidak seharusnya campur tangan.

Masyarakat juga sering mengambil sikap berkecuali dalam hal seperti itu atas alasan tidak mahu mencari masalah dengan terlibat dalam masalah orang lain.

Apatah lagi kita sering memberi justifikasi lemah bahawa masalah kita sendiri tidak selesai, jangan ditambahkan dengan masalah orang lain. Walaupun ia berlaku di sebelah rumah kita atau di depan mata kita sendiri.

Masih ramai di kalangan masyarakat kita juga mengatakan bahawa hal ehwal dan isu berkaitan dengan rumah tangga seseorang adalah hak peribadi dan hak mutlak seseorang itu.

Lebih dahsyat lagi, ada yang mengiyakan bahawa isteri adalah hak mutlak suaminya dan suami tersebut bebas berbuat apa sahaja atas alasan suami adalah ketua dalam rumah tangga. Justeru, suami berhak menyelesaikan masalah rumah tangga mengikut cita rasa, keadaan dan kehendak dirinya sendiri.

Hakikat dari segi perundangan adalah sebaliknya. Melalui peruntukan yang termaktub di bawah Sekyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT) 1994, adalah jelas bahawa pihak penggubal undang-undang negara melihat kepentingan peranan yang boleh dimainkan oleh orang perseorangan dalam masyarakat bagi membendung isu keganasan rumah tangga.

Seksyen 18 AKRT 1994, antara lain memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan keganasan rumah tangga telah berlaku, atau sedang berlaku boleh memberi maklumat kepada pegawai penguatkuasa atau pihak polis.

Lebih menarik, peruntukan undang-undang tersebut juga mewujudkan perlindungan berbentuk imuniti bagi pelapor tersebut daripada sebarang liabiliti fitnah, jika didapati laporan yang dibuat adalah terbukti tidak tepat atau tidak benar sama sekali.

Secara ringkasnya, peruntukan itu, memberikan hak kepada mana-mana orang dalam masyarakat kita untuk melakukan sesuatu dalam mendepani isu keganasan rumah tangga ini, iaitu melaporkan perkara tersebut ke pihak berkuasa.

Menariknya peruntukan ini memberikan juga kuasa atau hak kepada ahli masyarakat untuk melaporkan kes-kes keganasan rumah tangga yang mereka ada alasan untuk mempercayai bahawa ia telah atau sedang berlaku.

Ahli masyarakat tidak perlu menyaksikan peristiwa keganasan tersebut, dan peruntukan undang-undang mengatakan hanya cukup sekiranya mana-mana individu tersebut timbul syak atau ada alasan yang baik menjurus kepada persepsi bahawa keganasan rumahtangga telah atau sedang berlaku.

Peruntukan undang-undang ini jelas mengetepikan sikap 'jangan jaga tepi kain orang lain' dalam menangani isu keganasan rumah tangga dalam masyarakat kita hari ini.

Pendek kata dalam istilah yang bersahaja, setiap suami perlu ingat bahawa isteri bukan lagi hak mutlak mereka.

Jika seorang suami itu gagal atau tidak mampu menjaga isteri mereka dengan sempurna dan kehidupan rumah tangga hingga sering disulami dengan perlakuan atau tindakan yang ganas, maka orang lain boleh 'campur tangan' bagi menyelamatkan dan seterusnya 'membawa' sang isteri tersebut keluar dari kancah permasalahan yang dihadapi.