#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Februari 19, 2010

Ustaz raba lapan murid

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/02/12

TANGKAK: Dia pandai agama hingga dilantik menjadi guru mengajar al-Quran, malah turut diamanahkan sebagai imam. Malangnya, di sebalik sifat warak itu, ustaz berkenaan rupa-rupanya syaitan bertopengkan manusia apabila disyaki mencabul lapan murid kelas agama di sebuah sekolah dekat Taman Lagenda di sini.

Lelaki berusia 30-an itu mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam dan kelas membaca al-Quran di sebuah sekolah rendah berhampiran taman berkenaan dan mangsa kerakusan nafsu syahwatnya adalah kanak-kanak berusia 10 tahun iaitu murid tahun empat di sekolah rendah berkenaan.

Tembelang ustaz syaitan yang dikatakan meraba buah dada dan kemaluan anak murid ketika mengajar al-Quran itu akhirnya pecah apabila seorang bapa mengesyaki sesuatu tidak baik berlaku terhadap anak perempuannya yang lewat pulang dari sekolah, kelmarin.

Bapa seorang daripada lapan mangsa, berkata apabila ditanya mengenai kelewatan murid itu pulang ke rumah, anaknya hanya menjadikan alasan terpaksa berjumpa dengan guru kaunseling kerana didenda akibat tidak menghantar kerja sekolah.

“Selepas didesak beberapa kali, barulah dia menceritakan hal sebenar. Terkejut saya apabila dimaklumkan dia antara lapan rakannya yang sering diraba ustaz ketika belajar mengaji di sekolah.

“Saya marah kerana ustaz sepatutnya mendidik ilmu agama tergamak menjadikan anak didiknya alat untuk melampiaskan nafsunya,” kata bapa berusia 41 tahun itu ketika mendapatkan pemeriksaan anaknya di Hospital Tangkak di sini, semalam.

Bapa berkenaan melahirkan kekesalannya terhadap pendidik yang disifatkan sebagai sukar dipercayai tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu sedangkan pada masa sama mengajar anaknya membaca al-Quran.

Difahamkan, ustaz itu sudah mengajar lebih dua tahun di sekolah itu dan bapa berkenaan bimbang lebih ramai murid yang menjadi mangsa lelaki itu sebelum ini.

“Menurut cerita anak saya, ustaz itu akan mengusap badan anak saya setiap kali duduk bersebelahan, malah ada di antara murid yang diramas buah dada dan disentuh kemaluannya setiap kali kelas itu berlangsung pada setiap Isnin,” katanya.

Ibu seorang lagi mangsa, berkata dia mula menyedari perubahan sikap anak bongsunya itu sejak minggu lalu lagi apabila dia sering tidak mahu pergi ke sekolah dengan menjadikan alasan sakit perut dan demam.

Tetapi apabila mangsa dibawa ke klinik, doktor mengesahkan anaknya itu tidak sakit seperti didakwanya.

“Apabila sebut saja pasal sekolah dia terus menangis seakan-akan terdapat sesuatu perkara yang ditakutkannya.

“Selepas didesak beberapa kali akhirnya dia mengaku menjadi mangsa raba ustaz itu sejak awal sesi persekolahan tahun ini,” katanya.

Wanita itu turut kesal tindakan pihak sekolah yang enggan memberi kerjasama, malah menangguhkan pertemuan ibu bapa bersama lelaki terbabit.

Sehubungan itu, dia bersama tujuh lagi ibu bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Sagil supaya tindakan segera boleh diambil. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan dan kes terbabit masih lagi dalam siasatan.

Tangani secara sepadu

PEMBUANGAN atau pembunuhan bayi berlaku di mana-mana dulu dan sekarang. Pada zaman Arab jahiliyah, ia berlaku secara berleluasa ke atas bayi perempuan. Di India, ramai bayi dibunuh kerana masalah kemiskinan. Untuk satu ketika, pembunuhan bayi menjadi kebiasaan di China kerana dasar satu keluarga satu anak.

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia bukan kerana kemiskinan, dasar kerajaan atau amalan budaya.

Beberapa kes yang mendapat liputan meluas di media membabitkan remaja perempuan yang bertindak kejam membuang atau membunuh bayi kerana buntu fikiran, tidak tahu apa yang mahu dibuat atau kepada siapa masalah mereka hendak diaju apabila terdesak.

Pengalaman saya di Rumah Perlindungan Baitul Fiqh di USJ Subang Jaya sejak 2005 mendapati majoriti yang mengambil tindakan sedemikian adalah remaja berusia di antara 14 tahun hingga lewat 20-an.

Malu dan takut adalah dua faktor mendorong mereka membuang atau membunuh bayi.Malu diketahui kawan atau guru serta aib yang bakal menimpa keluarga dan nama baik ibu bapa.

Perasaan takut timbul apabila memikirkan kemungkinan menghadapi keadaan tidak menentu atau terpaksa berdepan pihak berkuasa seperti di hospital, klinik, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau polis.

Dalam menghadapi keadaan panik yang terlintas hanya buang bayi.

Bagi yang mampu, mereka mungkin ke klinik swasta atau mencari bidan kampung untuk menggugurkan kandungan.

Bagi yang tidak mampu, alternatifnya ialah buang bayi dalam longkang, sungai, tempat pelupusan sampah, letak di tepi jalan, depan masjid atau rumah.

Paling ngeri apabila tindakan kejam membunuh, melemas dan melupuskan bayi dalam mangkuk tandas atau membakar. Tiada statistik tepat berapa ramai bayi dibuang atau dibunuh di negara kita.

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, laporan kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari.

Dewan Negara dimaklumkan pada 2007 bahawa 304 bayi dibuang antara 2004 hingga 2006.

Statistik polis pula menunjukkan kira-kira 100 bayi dilaporkan terbuang setiap tahun.Tetapi hakikatnya bilangan sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Satu kajian penyelidik sebuah IPTA mendapati bilangan remaja bawah 20 tahun yang mengandung pada 2004 sekitar satu juta.

Ia sungguh mengejutkan.Pastinya bukan semua yang mengandung hasil perkahwinan sah.

Justeru, kita boleh bayangkan berapa ramai bayi lahir hasil hubungan seks praperkahwinan dan tentunya daripada bilangan ini, ramai yang diserahkan kepada orang lain sebagai anak angkat atau dibuang saja. Ketika sambutan Tahun Baru Cina kita digemparkan dengan beberapa kes pembuangan dan pembunuhan bayi di Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

Reaksi terkejut, marah, sedih dan terkilan pelbagai pihak sudah dijangka.Namun, tidak ada jaminan perkara ini tidak berlaku lagi.

Berdasarkan pengalaman, saya rasa langkah berikut perlu diambil sekurang-kurangnya untuk mengurangkan kejadian. Pendekatan baru: Saya bimbang apabila ada pihak yang terus menerus menyarankan pendekatan bersifat hukuman.

Saya memahami sebab mereka mengambil sikap begitu namun percayalah, pendekatan begini akan menyumbang kepada lebih banyak kes pembuangan bayi.

Janganlah mereka yang sedang menghadapi masalah dibebani lagi dengan hukuman.Sebaliknya, mereka perlu digalakkan membuat keputusan lebih berperikemanusiaan, iaitu menyerahkan bayi kepada pihak yang sedia menerima.

Satu keputusan bijak bermakna satu nyawa terselamat. Justeru, kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa semua 104 pejabat kebajikan masyarakat daerah dan 60 pusat perlindungan seluruh negara bersedia menerima bayi terbuang tanpa apa-apa tindakan diambil ke atas ibu sangat dialu-alukan.

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, pegawai dan kakitangan JKM boleh bertindak sebagai ‘pelindung’ dan memberi bantuan kepada sesiapa yang mengandung dan ingin melahirkan anak luar nikah bagi mengelak bayi dibuang.

Kemudahan untuk orang awam melaporkan kes ke Talian Nur 24 jam juga dapat membantu mengurangkan insiden pembuangan dan pembunuhan bayi. Saya memuji pendirian pihak yang lebih menekankan aspek kemanusiaan dalam menangani gejala ini.

Mereka termasuk Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya; Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Mereka mengajak masyarakat agar lebih penyayang, tidak mudah menghukum malah membuka pintu taubat kepada perempuan berzina.

Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju beranggapan pendekatan seperti ini akan menggalakkan gejala itu berleluasa.

Tetapi bagi saya, pendekatan yang ada sekarang gagal membendung, justeru kes masih berlaku walaupun isu ini berbangkit tahun demi tahun.

Saya percaya jika pendekatan lebih kemanusiaan diambil, ada harapan kejadian buang dan bunuh bayi berkurangan secara drastik. Tindakan bersepadu: Setakat ini, pendekatan yang diambil pihak berkuasa bersifat ‘piecemeal’.

Banyak pihak lepas tangan.Tukang komen memang ramai, terutama setiap kali kes pembuangan atau pembunuhan bayi dipaparkan, tetapi tidak ramai sanggup meluangkan masa, tenaga atau menyediakan peruntukan bagi membendung gejala itu. Saya harap tidak lagi begitu.

Masalah pembuangan bayi perlu dilihat dan ditangani secara menyeluruh dan holistik seperti gejala dadah, Aids dan Mat Rempit.

Tumpuan dan usaha perlu berterusan, meluas dan membabitkan semua pihak seperti keluarga, PIBG, guru, golongan agama, badan bukan kerajaan (NGO), agensi dan pegawai kerajaan, ahli akademik dan penyelidik, penggubal undang-undang dan polis.

Persatuan belia, pertubuhan sukarela dan kumpulan tertentu seperti Puteri Umno dan pelajar universiti melalui program khidmat masyarakat (Opkim) boleh membantu menangani gejala ini.Pihak swasta, syarikat korporat, media, penulis blog dan orang awam semua mempunyai peranan.

Ini selaras saranan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menyeru semua pihak terbabit mencari jalan penyelesaian.Sehubungan itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah pasukan bertindak atau Yayasan Perlindungan Ibu dan Bayi di peringkat nasional.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Bakti adalah antara entiti yang boleh memulakan inisiatif ini.

Sebuah pasukan bertindak boleh menggembleng pakar dan tokoh dalam bidang berkaitan.Ia boleh merencana program dan mengambil langkah sesuai menggunakan kemudahan dan infrastruktur yang ada di pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan termasuk universiti.

Pasukan ini perlu diberi kuasa bagi melicinkan tugas dan mencapai matlamatnya. Yayasan pula mempunyai ruang mengumpul dana yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti berkaitan, termasuk kempen di seluruh negara untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat berhubung gejala ini.

Saya rasa banyak syarikat dan korporat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dapat menghulurkan bantuan bagi menunaikan tanggungjawab sosial. Yayasan ini boleh diterajui individu berwibawa yang mampu menarik kepakaran tokoh agama, undang-undang, kesihatan, akademik serta penyelidik dalam dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi mencari kaedah terbaik membendung gejala ini.

Penulis ialah Yang Dipertua Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Subang Jaya, Selangor

Enggan rancang keluarga

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/02/19

KUALA LUMPUR: Kadar peratusan perancangan keluarga di Semenanjung Malaysia masih rendah iaitu hanya 31.8 peratus bagi kaedah moden pada 2004 manakala Sabah 34.4 peratus dan Sarawak 39.7 peratus, bagi tempoh sama.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Prof Madya Tey Nai Peng, berkata keengganan menggunakan peralatan mencegah kehamilan di kalangan masyarakat Melayu adalah 39.3 peratus berbanding Cina (64.3) India (51).

“Selain keinginan memiliki cahaya mata, antara punca kurangnya kadar penggunaan peralatan mencegah kehamilan adalah bimbang kesan sampingan, bantahan daripada pasangan khususnya suami dan masalah perubatan.

“Kaedah perancangan keluarga perlu dipelbagaikan, terutama pembabitan suami yang membantah perancangan cara berkenaan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kesihatan Reproduktif.

Kertas kerja itu dibentangkan dalam Forum Konsultatif Kajian Strategik Kependudukan kedua, Siri Dua di Auditorium Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, semalam.

Tey berkata, kadar kematian bagi ibu mengandung pula menunjukkan penurunan, iaitu 30 kes sejak pertengahan 1980 berbanding 100 bagi 100,000 kelahiran pada 1970. “Antara punca utama adalah pendarahan, komplikasi ketika melahirkan anak dan keguguran. “Laporan punca kematian ibu ketika melahirkan anak perlu disediakan dengan lengkap bagi membantu siasatan untuk membolehkan langkah pencegahan dilakukan kelak,” katanya.

Anak tertekan ibu main kayu tiga

2010/02/19
Harian Metro

KAJANG: Akibat terlalu kecewa dengan kecurangan dilakukan ibu sendiri yang sanggup bermain kayu tiga sebelum dicekup berkhalwat bersama lelaki lain awal pagi kelmarin, anak sulung wanita terbabit kini tertekan, selain mahu menamatkan pengajiannya di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Malah, dia yang cuba bertemu dengan ibunya sehari sebelum kejadian untuk meminta sedikit wang perbelanjaan diherdik wanita terbabit dan langsung tidak dipedulikan. Keadaan menjadi lebih bercelaru selepas mengetahui kejadian itu apabila anak sulung wanita berkenaan yang berusia 18 tahun tertekan dan tidak dapat menerima kenyataan ibunya sanggup berbuat demikian semata-mata kerana terlalu mabuk cinta dengan suami orang. Menceritakan kejadian itu, bapa pelajar terbabit yang enggan dikenali berkata, anaknya itu cuba bertemu dengan ibunya itu, namun dia dimarahi membuatkannya menjadi semakin tertekan. “Anak sulung saya pergi ke rumah disewa ibunya untuk berjumpa dengannya meminta wang bagi membeli sedikit keperluan pengajiannya. “Bagaimanapun, mereka bertembung di luar rumah dan isteri saya mempersoalkan tindakan mencarinya di situ membuatkan anak saya terlalu kecewa dengan tindakan itu,” katanya. Menurutnya, disebabkan terlalu sedih, anaknya itu menangis teresak-esak berjumpa dengannya dan menceritakan semua kejadian yang menimpa dirinya. “Saya benar-benar sedih dengan kelakuan isteri yang sanggup memperlakukan anak sebegitu rupa dan perbuatannya itu boleh dianggap sebagai melampau,” katanya. Harian Metro kelmarin melaporkan seorang isteri ditahan bersama pasangannya yang juga suami orang ketika mereka berada di sebuah pangsapuri. Isteri berkenaan yang juga guru sekolah rendah berusia 40 tahun dan pasangannya berusia 45 tahun yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kira-kira jam 3.30 pagi.

Wanita terbabit dikatakan mula bermain kayu tiga sejak beberapa bulan lalu selepas mengenali seorang lelaki ketika menghadiri kursus dan perbuatannya itu mula dihidu suami apabila dia dilihat sering mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan juga ibu.

Isteri curang tumbuk suami

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/02/19

AMPANG: Niat seorang bapa mahu berjumpa dengan tiga anaknya kerana terlalu merindui mereka membawa padah apabila dia ditumbuk isterinya menyebabkan dia cedera di muka dan bibir.

Malah, wanita terbabit yang tidak membenarkan suaminya melihat anak mereka turut mengugut membuat laporan polis dengan mendakwa dia dipukul dan diserang suami sendiri. Difahamkan, sebelum ini, lelaki berkenaan pernah ditumbuk isterinya, namun dia enggan membuat laporan bagaimanapun kejadian yang berlaku Isnin lalu benar-benar mencabar kesabarannya menyebabkan dia nekad membuat laporan polis. Kejadian terbabit dikatakan berlaku selepas isteri lelaki berkenaan merajuk apabila suaminya mengetahui dia mempunyai teman lelaki sebelum wanita itu membawa tiga anak mereka ke rumah kakaknya di Pandan Indah, tiga hari sebelum kejadian.

Menurut sumber polis, lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai pemandu itu sebelum ini pernah menegur isterinya selepas melihat perubahan sikap wanita terbabit dan mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain. “Suaminya hairan dengan perangai isterinya kerana kerap pulang lewat malam dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak. “Lelaki itu mengesyaki isterinya menyimpan rahsia dan mempunyai teman lelaki lain lalu menegurnya supaya berubah,” katanya. Bagaimanapun, teguran itu membuat isterinya merajuk dan membawa tiga anak mereka masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 10 bulan hingga 13 tahun keluar dari rumah di Shah Alam. “Wanita berkenaan membawa tiga anak mereka ke rumah kakaknya di Pandan Indah, Ampang sebelum lelaki terbabit yang mengetahui semua anaknya berada di situ pergi ke rumah itu. “Bagaimanapun, sejurus tiba, isterinya tidak membenarkan lelaki itu menjenguk anak mereka dan berlaku sedikit pertengkaran,” katanya. Sumber terbabit berkata, secara tiba-tiba isterinya berusia 33 tahun dikatakan hilang kawalan melepaskan satu tumbukan ke arah suaminya yang ketika itu turut dilihat anak sulung mereka. “Bagaimanapun, selepas menumbuk muka suaminya, wanita terbabit mengugut yang dia membuat laporan polis mengatakan yang lelaki itu memukul dan menyerangnya. “Lelaki terbabit dikatakan sudah tidak tahan dengan kelakuan isterinya itu akhirnya membuat satu laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya. Menurutnya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Ampang akibat ditumbuk dan mengalami kecederaan di bibir serta muka.

Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga sejak 13 tahun lalu dan suaminya mengesyaki yang wanita terbabit curang selepas dia sering pulang lewat ke rumah serta sikapnya yang banyak berubah dan tidak mempedulikan tiga anak mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Selasa, Februari 09, 2010

Lelaki makin ganas?

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Faktor mental, hormon androgen, persekitaran jadi punca lelaki cenderung bertindak fizikal

LIMA hari menjengah tahun baru, negara digemparkan dengan berita kematian ngeri membabitkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Kes pembunuhan yang cukup tragis itu menyaksikan seorang daripada anggota keluarga terbabit dipancung kepala hingga putus, dua mangsa dipotong di pergelangan tangan manakala seorang lagi mati dalam keadaan pisau terpacak di dada.

Siasatan polis membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga anggota keluarga si mati bagi membantu pihak berkuasa merungkai misteri pembunuhan empat sekeluarga itu.

Dalam kes berlainan, seorang suami didakwa bersekongkol dengan tiga lelaki lain untuk membunuh seorang konduktor bas dengan menjerut mangsa hingga mati sebelum menimbus mayatnya di sebuah taman perumahan di ibu negara.

Bukan setakat jerut, amarah si suami bersama tiga lelaki lain turut mengakibatkan mangsa dipukul dengan objek keras hingga mengalami kecederaan di kepala.

Dalam kes berasingan pula, dilaporkan perbuatan isteri menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima suaminya mengakibatkan beliau diseret beberapa meter dari kereta yang dinaiki hingga mengalami kecederaan dan gegaran otak.

Melihat rentetan kes serius membabitkan pelaku lelaki sejak awal tahun ini, timbul persoalan apakah lelaki sekarang makin ganas dan rakus hingga tergamak melakukan tindakan fizikal melampaui batas?

Lebih membimbangkan, makin banyak kes serangan fizikal termasuk yang mendatangkan kematian dilaporkan membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga sendiri. Perkembangan ini pasti membuka perdebatan pengkaji sosial berhubung faktor yang mendorong pelaku bertindak ganas terhadap anggota keluarga sendiri atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pelaku.

Faktor keganasan domestik iaitu serangan terhadap anggota keluarga terdekat meletakkan institusi kekeluargaan di ambang kerapuhan. Ini kerana perilaku seperti keganasan yang membawa kepada kematian seolah-olah tidak mengenal sesiapa termasuk anggota keluarga atau insan tersayang.

Selain itu, apakah faktor tekanan hidup yang menjejaskan mental pelaku dikhuatiri menjadi punca lelaki melakukan jenayah?

Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, jumlah kes serangan fizikal yang membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, membimbangkan.

“Dari aspek serangan, jelas menunjukkan pelaku tidak kisah siapa termasuk ahli keluarga sendiri ketika menyerang. Sama ada bertujuan mendatangkan kesakitan melalui serangan atau dengan niat membunuh sebagai hukuman untuk di mati.

“Ada pelbagai teori yang dikaitkan mengenai punca serangan. Ada teori mengatakan motif serangan disebabkan faktor pengaruh dadah, alkohol dan kurang siuman semata-mata untuk melepaskan diri daripada kesalahan.

“Inilah yang diperdebatkan penganalisis jenayah dan pakar perubatan di mana wujud perbezaan pendapat dalam soal hukuman ke atas pesalah,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.

Kata Kamal Affandi, seseorang yang memperlakukan jenayah bunuh misalnya tidak seharusnya mudah diperakui sebagai mengalami sakit mental. Sebaliknya, perlu diselidik segenap aspek termasuk penggunaan senjata jika ada dan bentuk serangan.

Beliau berkata, adalah mustahil pesakit mental mampu mengatur siri serangan termasuk menggunakan senjata seperti pisau yang jelas dilakukan dengan niat untuk mencederakan mangsa.

“Lebih-lebih lagi, spot atau tempat sasaran serangan seperti muka, tangan dan dada sebagai contoh, dilihat sebagai tempat strategik menyerang mangsa.

“Jika seseorang dikatakan kurang siuman, mengapa dia tidak menyerang dengan tangan sendiri sebaliknya menggunakan senjata?” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.

Mengulas lanjut bentuk serangan dari aspek tikaman, Kamal Affandi berkata, berdasarkan kebiasaan, mangsa sering dibunuh dengan tikaman secara berulang seperti lima, tujuh hinggalah 13 tikaman.

Soalnya, mengapa perlu tujuh atau 13 tikaman sedangkan satu tikaman mungkin boleh membunuh mangsa?

“Jika dilihat, ada pelaku sengaja menikam mangsa bertubi-tubi walaupun mangsa sudah mati pada detik itu,” kata Kamal Affandi.

Ditanya punca penjenayah melakukan serangan bertubi-tubi, beliau berkata, ia mungkin didorong faktor kebencian dan kemarahan yang dipendam sekian lama hingga berlaku konflik lalu tercetusnya serangan keganasan.

Beliau berkata, perlakuan serangan sepatutnya dapat dikawal dengan mengkaji perilaku seseorang yang difikirkan berpotensi menyerang.

“Mereka ini seharusnya diberi bimbingan kaunseling lebih awal untuk mengawal perasaan marah dan baran. Pada satu tahap, mereka juga boleh mengatur janji temu bersama pakar psikologi dan psikiatri,” katanya.

Mengenai tempat aduan rujukan kes keganasan, Kamal Affandi berkata masyarakat boleh segera merujuk hospital terdekat selain menghubungi talian 15999 untuk mendapatkan kaunseling dan cadangan langkah susulan.

Fahami psikologi perilaku di luar kawalan

BANYAK faktor mendorong lelaki mengambil tindakan nekad mengganas termasuk memperlakukan perkara di luar kawalan seperti memukul, mencederakan dan mengakibatkan kematian.

Mengulas perilaku lelaki yang bertindak ganas dari sudut psikologi, Profesor Psikiatrik Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Azhar Zain, berkata lelaki yang memiliki lebih banyak hormon androgen berbanding wanita terdedah kepada perilaku pemarah.

Katanya, hormon androgen yang menjadi sifat semula jadi sekunder yang merangsang kelelakian seseorang antara lain mengakibatkan lelaki lebih mudah marah hingga pada tahap mampu bertindak ganas jika tidak dikawal.

“Dari sudut biologi, lelaki mudah terangsang untuk berasa cepat marah atas sebab hormon androgen yang tinggi berbanding wanita. Andai perilaku diri yang sukar bertolak ansur dan mudah marah, keadaannya bertambah parah.

“Selain faktor hormon, pembangunan persekitaran yang membentuk perilaku seseorang juga menjadi faktor yang boleh merangsang lelaki menjadi ganas seperti pengalaman ketika kecil, didikan ibu bapa serta terdedah dengan persekitaran yang tidak baik,” katanya.

Ditanya punca lelaki bertindak ganas, Dr Azhar berkata, kesempatan yang ada pada detik itu memungkinkan lelaki bertindak sedemikian hingga mencetuskan keganasan di luar kawalan.

Katanya, ditambah lagi dengan faktor lain seperti sejarah kelakuan ganas serta berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol juga mendorong lelaki menjadi ganas.

“Namun, perilaku lelaki yang bertindak ganas ini sebenarnya boleh dikawal jika mendapat kerjasama mereka sendiri. Tidak kira, diri sendiri yang mencuba untuk mengawal kemarahan atau mendapatkan rawatan secara profesional.

“Ini termasuk pengambilan ubat-ubatan, rawatan psikologi dan teknik untuk mengawal kemarahan yang prosesnya mengambil masa,” katanya.

Dr Azhar berkata, faktor personaliti, keturunan, tekanan perasaan dan gangguan mental secara susulan memungkinkan seseorang lelaki mengambil jalan mudah untuk mengekspresi kemarahan diri.

“Sebagai contoh, seorang lelaki yang menghadapi masalah kewangan, pada masa yang sama berkonflik dengan isteri di rumah. Tiba pula di pejabat dia dimarahi pengurus. Tidak mustahil punca kemarahan yang bertimpa-timpa itu boleh tercetus apabila berlaku konflik dengan rakan sepejabat,” katanya.

Ditanya insan terbaik yang boleh membantu lelaki yang dalam keadaan amarah, Dr Azhar berkata, orang yang paling dekat dan dipercayai sesuai memberi nasihat dan kaunseling untuk membina semula motivasi dan sikap positif lelaki ganas.

“Saya tidak pernah berpeluang berdepan dengan lelaki yang memiliki kesalahan serius. Sebaliknya, kes yang dirujuk rata-rata lelaki yang mencederakan orang, bergaduh dan membakar rumah pada lingkungan usia 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya.

INFO: Lapan implikasi amarah...
* Dipulau masyarakat
* Punca pergaduhan
* Mendatangkan konflik perceraian
* Terdedah serangan penyakit kronik seperti darah tinggi dan sakit jantung
* Murung dan tekanan perasaan
* Hilang pekerjaan
* Melakukan kesalahan penderaan.


TIP: Redakan kemarahan

1. Ikuti latihan dan kegiatan sukan
Kajian menunjukkan individu yang menumpukan kegiatan luar mempunyai tekanan darah yang sempurna dan kurang berisiko mendapat sakit jantung.
2. Ubah diet pemakanan
Ramai pakar pemakanan berpendapat, menambah berat badan menokok beban yang lebih pada sistem biologi badan dan saraf minda. Merubah gizi yang lebih menyihatkan membantu anda lebih cergas, lebih bertenaga dan lebih berkeyakinan.
3. Minuman secawan kopi
Kafein adalah bahan perangsang yang dianggap berbahaya pada kesihatan. Ia boleh menyebabkan seseorang terangsang dan jika berlebihan menimbulkan keresahan, mengganggu ketenangan minda dan mempercepatkan degupan jantung.
4. Berhenti merokok
Individu yang berhenti merokok mendapati fungsi paru-paru menjadi lebih baik pada masa beberapa hari saja. Anda dapat berasakan pernafasan lebih licin dan selesa kerana udara meresap ke saluran darah lebih berkesan.
5. Berfikiran positif
Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elak daripada memekik atau bertindak garang. Kemarahan yang dilihat secara positif boleh menjadikan tekanan bertukar kepada kekuatan.

Isnin, Februari 08, 2010

Ibu curang halau anak

Oleh Mary Victoria Dass

maryvictoria@hmetro.com.my

04/02/2010

JOHOR BAHRU: Akibat kemaruk kerana digilai pelbagai jenis ‘jantan’, seorang ibu tergamak mengusir anak kandung sendiri yang datang ke tempat kerjanya untuk melepaskan rindu.

Malah, wanita anak tiga berusia 23 tahun dan masih bersuami itu kini tinggal bersama teman lelaki bukan Islam selepas dia hamil tiga bulan hasil hubungan sulit mereka. Perbuatan curang dan tidak tidak bertanggungjawab wanita dikenali sebagai Misha itu didedahkan rakan sekerjanya di sebuah pusat urutan refleksologi di bandar raya ini yang dikenali sebagai Anita, 24.

Menurutnya, disebabkan tidak mahu statusnya bersuami diketahui rakan sekerja dan teman lelaki, Misha enggan mengakui kanak-kanak berusia enam tahun itu anaknya semata-mata tidak mahu rahsianya bocor.

Wanita itu bukan saja sering bertukar-tukar pasangan, malah sanggup memakan makanan tidak halal hanya kerana mahu melayan selera teman lelakinya yang bukan Islam.

“Misha yang mendakwa anak dara bukan saja bertukar pasangan kekasih hampir setiap hari, malah meminta kami bersubahat merahsiakan statusnya isteri orang dan ibu tiga cahaya mata di depan pelanggan lelaki kerana bimbang ‘sahamnya’ jatuh,” katanya.

Menurut Anita, dia tidak menyangka rakannya yang berasal dari kampung berubah sikap begitu ketara hanya selepas tiga hari bekerja bersamanya di pusat refleksologi di pusat bandar raya ini.

Katanya, pada awalnya, dia bersama majikan menganggap Misha wanita berfikiran terbuka dan mesra pelanggan.

Tambahan pula, Misha sentiasa memberi alasan terpaksa membohongi pelanggan lelaki untuk memudahkannya menambah rezeki bagi membantu meringankan beban suaminya yang berpendapatan rendah.

“Bagaimanapun, kami pelik sikap Misha yang mula menjalin hubungan dengan pelanggan lelaki apabila hampir setiap hari dia sibuk dengan temu janji untuk keluar bersiar-siar dan makan bersama lelaki berbeza.

“Sejak itu, dia lupa diri dan seronok bertukar kekasih tanpa memikirkan masa depan rumah tangga yang dibina sejak tujuh tahun lalu.

“Lebih mengejutkan, dia juga mula mengubah gaya hidupnya terutama selepas berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari Sabah berusia 20-an yang bekerja di Singapura hingga sanggup memakan makanan tidak halal,” katanya.

Anita berkata, perbuatan curang Misha berlarutan hampir setahun biarpun dia dan majikannya cuba menasihati wanita itu yang mempunyai anak berusia dua hingga enam tahun kembali ke pangkal jalan.

Menurutnya, dia terkilan dengan perbuatan Misha tergamak mengusir anak sulungnya yang mahu melepas rindu terhadapnya semata-mata kerana bimbang kehadiran kanak-kanak itu di tempat kerja bersama seorang kenalan keluarganya membongkar status dirinya.

“Kerana bimbang penipuannya terbongkar, Misha sanggup berbohong konon dia pernah bekerja di pusat asuhan kanak-kanak beberapa tahun lalu hingga ada kanak-kanak memanggilnya dengan gelaran ibu hingga tergamak tidak mengaku darah daging sendiri.

“Malah, dia juga mengambil kesempatan terhadap suaminya yang dayus selain kerap memperbodohkan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di bandar raya ini setiap kali keluar bersama lelaki Sabah itu,” katanya.

Katanya, Misha juga tidak menyesal menduakan suami sedangkan teman hidupnya itu seorang yang baik dan jujur.

Anita berkata, selepas Misha menyedari dia hamil hasil hubungan sulit dengan lelaki Sabah itu, dia berhenti kerja tiga bulan lalu dan kini tinggal bersama teman lelakinya.

“Kami turut menemui diari peribadinya selain gambar perkahwinan dan sijil pernikahan dengan suaminya yang tidak mahu dituntut di tempat kerja kerana menganggap dokumen itu sebagai sampah dan tidak bermakna kepadanya.

“Kami yang rasa bersalah atas perbuatannya itu selain tidak mahu dia terus bergelumang maksiat melaporkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAJ).

“Tetapi hingga kini tiada tindakan dilakukan dan difahamkan, kini kandungan Misha mencecah enam bulan dan teman lelakinya itu pula dikatakan mahu pulang ke Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JAJ, Mohd Nooh Kadri, berkata pihaknya sudah menerima aduan berkenaan dan meminta pegawai operasi mengambil tindakan lanjut.

“Pegawai kami akan menyiasat aduan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kahwin muda perlu kukuh pegangan agama

2010/02/05

KUALA LUMPUR: Perkahwinan pada usia muda perlu disertakan dengan pegangan agama kukuh selain ilmu secukupnya bagi memastikan perkongsian hidup berumahtangga yang dilayari pasangan suami isteri sentiasa aman.

Perunding Psikologi K&A Applied Psychology Consultancy (KAPC), Khairol Anuar Masuan, berkata perkahwinan yang didirikan pada usia terlalu muda misalnya seawal 18 tahun berdepan dengan kemungkinan ia dicemarkan dengan perbuatan curang pasangan yang masih belum ‘puas’ hidup berfoya-foya.

Beliau berkata, setiap pasangan yang mengambil keputusan berkahwin pada usia muda perlu sedar kebahagiaan yang diimpikan mereka tidak akan datang dengan sendirinya, sebaliknya ia memerlukan usaha keras untuk memupuk kasih sayang berpanjangan antara suami isteri.

“Semua orang memang suka jika menjadi perhatian dan dambaan tetapi mereka perlu sedar dengan komitmen yang sudah dimeterikan bersama pasangan dan tidak curang sehingga memusnahkan rumah tangga dan mengabaikan anak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, mengenai seorang ibu muda berusia 23 tahun yang hanya dikenali sebagai Misha, didakwa tergamak mengusir anak kandung yang datang ke tempat kerjanya untuk melepaskan rindu, akibat kemaruk kerana digilai pelbagai jenis ‘jantan’, Malah, wanita anak tiga dan masih bersuami itu, kini tinggal bersama teman lelaki bukan Islam selepas hamil tiga bulan hasil hubungan sulit mereka.

Tak takut azab Tuhan

Oleh Mohd Nur Hafidz Nordin
am@hmetro.com.my
05/02/2010

JOHOR BAHRU: Golongan muda masa kini sanggup membelakangkan agama dengan melakukan pelbagai dosa besar termasuk zina seolah-olah tidak takutkan azab Tuhan.

Pegawai Jabatan Mufti Johor, Hanafiah Abdul Razak, berkata zina termasuk dalam tujuh dosa besar kerana sesiapa yang melakukan perbuatan terkutuk itu pasti mendatangkan kemudaratan, bukan saja kepada diri bahkan keturunannya.

“Hal ini bukan main-main kerana Allah SWT berfirman dalam al-Quran surah al-Isyrak ayat 32 membawa maksud Allah melarang perbuatan zina kerana di situ ada dua kemudaratan besar iaitu amalan keji dan seburuk-buruk jalan kehidupan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang wanita tukang urut di bandar raya ini yang sudah berkahwin sejak tujuh tahun dulu tetapi sanggup mengusir anak kandung kerana tidak mahu diganggu ketika berseronok dengan teman lelaki bukan beragama Islam.

Lebih memburukkan keadaan, wanita itu terbabit dengan aktiviti seks bebas dengan pelanggan yang datang ke tempat kerjanya di sebuah pusat urutan refleksologi di bandar raya ini dan sanggup makan makanan yang tidak halal semata-mata ingin menjaga hati teman lelaki bukan Islam.

Hanafiah yang juga seorang penceramah agama berkata, amalan keji dimaksudkan dalam ayat al-Isyrak itu ialah tiada rasa kasih sayang dan belas ihsan diterima anak dilahirkan hasil perbuatan zina walaupun anak itu tidak melakukan kesalahan.

“Menurut riwayat Imam al-Hakim, Rasulullah pernah bersabda tiada suatu dosa selepas mensyirikkan Allah yang lebih besar di sisi Allah daripada perbuatan zina.

“Ini jelas menunjukkan zina menduduki tempat kedua dalam senarai dosa besar dan bayangkan betapa murkanya Allah Taala jika umatnya terjerumus dengan perkara mungkar seperti ini,” katanya.

Katanya, jalan terakhir bagi mengelakkan keturunannya terus dilaknati Allah ialah dengan melakukan taubat nasuha dan bersumpah tidak akan mengulangi perbuatan keji ini selain kembali mengharapkan keredaan Allah.