#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Oktober 26, 2009

Antara dua pilihan

Siswi buntu antara lelaki alim dengan jejaka penyayang

SAYA seorang gadis berusia 24 tahun dan pelajar tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi awam. Ketika ini saya buntu memikirkan masalah memilih pasangan hidup. Untuk pengetahuan Umi, saya ada dua lelaki yang menyayangi saya. Cukuplah saya gelarkan mereka A dan B dan kedua-duanya bekerja di sebuah syarikat swasta.

A berusia 31 tahun, seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab terhadap orang tuanya kerana sanggup melebihkan kebajikan orang tuanya melebihi dirinya sendiri. Sifat itu membuatkan saya cukup menghormatinya tetapi saya mempunyai satu masalah tentang dirinya kerana dia jarang bersolat dan ini bertentangan syarat yang ditetapkan keluarga saya iaitu mencari lelaki yang patuh pada suruhan-Nya. B pula pentingkan solat walaupun di mana dia berada, tetapi sikap dia tidaklah penyayang seperti A. B berusia 24 tahun, tetapi sikap yang menitik beratkan solat itu membuatkan saya menyukainya tetapi saya keliru dengan diri saya sendiri siapa yang harus saya pilih kerana mereka juga kawan yang banyak berkorban dan memberi nasihat serta sanggup bersama di masa saya susah dan senang. Saya buntu memilih kerana mahukan lelaki yang boleh membimbing saya selepas berkahwin nanti .


Tanti
JAWAPAN


Tanti yang sulit membuat pilihan. Tanti, anda bertuah kerana dipertemukan dengan dua jejaka yang memiliki keistimewaan masing-masing. Namun dalam hidup ini, kita tidak dapat lari daripada membuat pilihan.

Malah dalam soal membuat pilihan mengenai pasangan hidup ini, Nabi junjungan mulia kita sudah berpesan banyak agar memilih yang terbaik.

Dan antara nasihat yang perlu diperhatikan ialah memilih teman yang berasal daripada keturunan yang baik-baik, bukan mereka yang ada keturunan gila, penyakit kusta dan lain-lain yang mungkin diwarisi melalui keturunan atau baka.

Seterusnya kita dinasihatkan memilih kekayaan. Jika boleh, pilih pasangan yang berharta maka kita mungkin menumpang kekayaannya. Nasihat ketiga, adalah aspek kecantikan atau ketampanannya. Ini kerana kecantikan atau ketampanan akan menjadi daya tarikan yang mampu mententeramkan hati bila dipandang.

Kita juga dinasihatkan agar kita memilih yang kuat agama. Malah Nabi sangat menggalakkan kita memilih yang beragama melebihi ciri-ciri yang lain. Malah ada pesanan yang dihebahkan, “lebih baik pasangan yang hitam legam tapi beriman daripada memilih yang kuning langsat tapi maksiat.”

Berdasarkan peringatan ini penting ini sudah pastinya anda perlu memilih lelaki yang kuat berpegang pada agama melebihi daripada ciri-ciri lain. Jika anda ingin mendapatkan kebahagiaan, rasa aman dan ketenangan maka setiap setiap kita dituntut untuk melakukan nilai-nilai keutamaan, bersifat mulia dan tindakan yang baik. Ini diingatkan oleh Nabi: “Berusahalah untuk melakukan apa yang bermanfaat untukmu dan memohonlah pertolongan kepada Allah SWT (al-Hadith).

Ini bermakna di tangan anda segala kemungkinan berhubung dengan pilihan hati ini. Orang yang tidak pernah atau jarang memuji Allah SWT atas semua nikmat, maka dia akan lupa kepada-Nya. Malah hidup mereka mengalami perasaan yang kosong, fikirannya kotor, tidak senonoh dengan Tuhannya. Selain pegangan agama yang paling penting juga di lihat sikap hidupnya. Jika dia menghargai hari ini, bersyukur dan tidak mudah marah-marah atau panas baran, maka itu tandanya dia sesuai menjadi suami.

Selain agama, lihat jugalah sikap lembut yang dimilikinya dalam masa bergaul dengannya. Jika jelas lembut dan santunnya menghormati diri anda, maka itu juga petanda baik, sebab rumah yang bahagia adalah rumah yang dibangun atas rasa saling mencintai, yang tegak berdiri di atas tapak cinta yang penuh dengan takwa kepada Allah SWT dan keredaannya. Ini diperjelaskan Allah SWT dalam At-Taubah:109: “Maka apabila orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah SWT dan keredaan(Nya) itu yang lebih baik, atau orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka jahanam? Dan Allah SWT tidak memberikan petunjuk kepada orang yang zalim. Jadi keterangan ini jelas bahawa anda harus memilih orang yang lebih condong ke arah keagamaan. Selamat membuat pilihan.

Isnin, Oktober 19, 2009

Berpantang maut sebelum ajal

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

afzan@bharian.com.my

Fifi tabah terima kenyataan diserang barah payu dara pada usia 20-an

MELIHAT penampilannya yang ceria dan segar, siapa sangka wanita comel ini yang pernah bergelut dengan barah yang menjadi pembunuh nombor satu wanita, apatah pula dalam gembira membilang hari bergelar raja sehari.

Bak kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Penyakit yang dikatakan kerap menyerang wanita berusia 40 ke atas, rupanya semakin tidak mengenal mangsa. Bagi Fithrahana Baharuddin atau panggilan mesranya, Fifi, selagi termampu, beliau akan terus berjuang untuk menyelamatkan nyawa dan terus berfikiran positif mendepani masa depan yang belum pasti.

Oktober tahun lalu tarikh yang tidak mungkin lupus dalam ingatannya apabila secara tidak langsung mengesan ketulan keras sebesar syiling 20 sen di sebelah payu dara kanannya.

Beliau yang tidak pernah culas melakukan sendiri pemeriksaan payu dara (PSP) memang pasti ketulan itu berbeza daripada ketulan sedia ada kerana sudah arif mengenainya.

“Ia keras, tidak berubah kedudukan dan tidak sakit. Mendapatkan kepastian, saya tanya emak dan tidak lama selepas itu saya ke Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur untuk memastikan ketulan luar biasa itu.

“Masa itu memang saya tidak fikir yang buruk walaupun ada juga terdetik di hati, ia barah memandangkan kriteria ketulan itu. Tetapi saya pujuk hati menafikan hal berkenaan sebab saya terlalu muda, 26 tahun ketika itu untuk melalui semua itu,” katanya.

Melalui pembedahan ‘lumpectomy’, seminggu selepas itu pihak hospital memaklumkan bahawa ketulan itu adalah barah.

“Bila emak kata saya perlu mengambil keputusannya, saya ingat ingin pergi sendirian, tetapi emak berkeras untuk ikut. Mula-mula saya pelik juga kenapa emak ingin ikut serta, tetapi apabila sampai di hospital, barulah doktor mengatakan keputusan bahawa ketulan itu berbentuk barah. Emak yang tahu lebih awal mengenai keputusan itu dinasihatkan doktor untuk menemani saya menerima hakikat saya perlu menjalani rawatan mematikan sel barah yang mungkin sedang agresif,” katanya.

Fifi berkata, apabila menerima keputusan itu, beliau bagaikan tidak percaya berikutan usianya yang jauh daripada usia lazim yang dikaitkan dengan barah berkenaan, apatah pula tidak lama lagi akan bergelar pengantin.

“Bila tengok doktor pun serius dan emak pun macam nak nangis, barulah saya akur dan mula bertanya kenapa saya dan bukan orang lain, kenapa sekarang dan bukan 30 tahun lagi? Macam-macam saya fikirkan.

“Keesokan harinya apabila bangun dari tidur, barulah saya benar-benar berasa sedih dan maklumkan kepada bakal suami, Saiful Amani (ketika itu, mereka belum berkahwin). Beliau tenang mendengarnya. Apa yang paling saya sedih kerana saya tahu barah akan mengubah cara hidup saya dan keluarga,” katanya mengimbas kembali kenangan lalu.

Rutin hidupnya kian berbeza, bererti beliau kini perlu menyusun jadual hariannya. Hospital sudah menjadi rumah kedua buatnya. Pembedahan ‘clerance’ di kawasan ketumbuhan bagi mengelakkan barah kemungkinan berada di kawasan sekitar itu dilakukan, memberikan rasa tidak selesa. Kawasan bawah lengan kanan dirasakan kebas dan pelik.

“Ia tidak terhenti di situ apabila perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali. Bagaimanapun, saya meminta ia ditangguhkan dulu kerana saya ingin mendirikan rumah tangga sebelum itu,” katanya yang banyak membaca dan melayari laman web bagi mengetahui mengenai barah itu.

Persiapan perkahwinan mungkin tidak seperti pasangan lain kerana tergambar jadual rawatan demi rawatan di hospital. Bulan madunya bukan dihabiskan dengan menziarah sanak-saudara atau ke pusat peranginan, sebaliknya di hospital kerana tidak lama selepas berkahwin Fifi meneruskan rawatan kemoterapi.

Benarnya sangkanya kerana susulan rawatan itu memberikan rasa yang cukup tidak selesa.

“Selalunya selepas rawatan saya akan pulang ke rumah dan duduk dalam bilik gelap dan sunyi. Saya menjerit, saya menangis dan marah kepada sesiapa saja kerana tidak tertanggung rasa pedihnya. Tetapi saya bersyukur kerana keluarga dan rakan sekerja sangat memberikan sokongan. Bila dikenang balik peristiwa itu, rasa macam bersalah sangat kepada mereka,” katanya yang sudah menghabiskan tiga sesi rawatan kemoterapi setakat ini.

Fifi berkata, hakikatnya barah memang menakutkan, tetapi individu khususnya wanita tidak perlu takut menghadapinya kerana ada cara mengubatinya.

“Sakit dan takut memang ada, apatah lagi sekiranya kita masih muda, tetapi selagi kita berfikiran positif, Insya-Allah kita mampu menghadapinya,” katanya yang menyertai Yayasan Reben Merah Jambu atau dikenali sebagai Pride sejak tahun lalu kerana memikirkan ia bagaikan ‘terapi’ bila bersama kumpulan yang mengalami sakit sama.

Impian bergelar ibu

“SESIAPA yang bergelar isteri sudah pasti mengimpikan untuk memiliki anak sendiri, tidak terkecuali saya. Tetapi saya fikir biarlah bila saya benar-benar kuat dan sihat sebelum bergelar ibu,” katanya yang hanya boleh hamil pada 2012, itupun sekiranya kesihatannya mengizinkan.

Katanya, mengambil anak angkat mungkin jalan paling mudah mengisi kehidupannya bersama suami, tetapi katanya biarlah bila dirinya pulih sepenuhnya.

“Sejak memulakan kerja pada Mei tahun ini, saya dapati diri saya mudah penat dan letih. Kalau begitu keadaannya, bagaimana nak jaga baby kan? Tetapi saya bernasib baik kerana majikan saya faham,” katanya.

Hakikatnya, Fifi turut bersimpati dengan suaminya dan pernah menyatakan perkahwinan mereka mungkin tidak sama seperti pasangan berkahwin yang lain, tetapi Alhamdulillah hingga kini suaminya sentiasa di sisi memberikan sokongan.

Fifi berkata, setiap apa yang menimpanya mempunyai hikmah tertentu dan sejak dikesan menghidap barah, beliau menjadi seorang yang lebih penyabar dan menghargai nilai kasih sayang keluarga.

“Sebelum ini saya mudah juga naik angin, tetapi bila sakit dan tengok sokongan keluarga dan suami, saya menjadi lebih penyabar, mudah berterima kasih dan menghargai, walaupun pada perkara yang kecil. Sebagai contoh, emak, ayah dan suami berusaha mengadakan kenduri doa selamat, mencari air penawar untuk meringankan penderitaan saya itu,” katanya.

Fifi akur kemungkinan sel barah kembali menyerang adalah tinggi, tetapi tetap bersabar dalam menghadapi apa jua rintangan mendatang dan berdoa supaya lebih kuat menghadapinya.

“Saya berusaha mana yang boleh seperti makan makanan lebih sihat, bersenam ringan dan mendekatkan diri kepada Allah. Saya percaya sekiranya kita positif, kita mampu menghadapinya,” katanya.

Lafaz rujuk sah jika keluar daripada mulut suami secara ikhlas

Soalan:
Sebulan lalu saya bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri tidak rela dengan perpisahan berlaku dan menyuruh saya merujuknya semula. Isteri juga melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi "Saya rujuk semula dengan awak". Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya itu atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa.

Mamat,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Rujuk adalah penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam, Allah meletakkan hak rujuk di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagi isteri masih dalam edah. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 228: "Dan suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri pada masa edah mereka jika (suami) bertujuan hendak berdamai".

Saidina Umar R.A meriwayatkan, "Rasulullah SAW menceraikan Hafsah, kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya". Menurut jumhur ulama, terdapat tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).

  • Rukun pertama, suami hendaklah seorang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal Islam.
  • Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai edah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuk itu tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh edah.

Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya edah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.

Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti 'engkau' atau 'nama isteri itu' atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah pula tidak boleh digantungkan (ditaklik) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Saya rujuk awak jika awak suka." Atau: " Saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja." Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri masih suka kepada suaminya. Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya adalah sah walaupun rujuk dibuat itu dalam keadaan bergurau.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuk nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah. Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI) memperuntukkan bahawa suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talak rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat edah. Oleh itu suami tidak boleh rujuk jika sekiranya tempoh edah bagi talak rajie itu tamat.

Dalam Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya. Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.

Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan ayat hukum itu sebagai ejekan dan permainan".

Dari segi hukum rujuk, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.

Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri. Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlaku rujuk.

Jawapan disediakan Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Yusmawati Abllah

Berita Harian 15/10/2009

Kawal marah

Oleh Diyanah Anuar
Tip urus emosi, alih rasa terpendam

BAYANGKAN anda terpaksa berdepan individu yang sering marah-marah walaupun puncanya remeh. Apabila sudah marah, ada saja yang tidak kena. Lalu, secara automatik, tersembul macam-macam kata dari mulut si pemarah bagai ledakan meriam!

Rasa marah dimiliki setiap manusia normal. Apa yang menjadi persoalan, bagaimana kita mengawal atau meluahkan kemarahan? Individu yang sering marah tidak tentu pasal ini mungkin mengalami masalah untuk menguruskan emosi marah yang bersarang dalam hati.

Kehidupan mencabar selain faktor persaingan dan stress menjadi antara punca ramai antara kita sukar mengawal emosi.

Kemarahan bukanlah perasaan negatif, namun ia boleh menjadi negatif jika seseorang meluahkan rasa marah melalui kaedah tidak wajar. Contohnya, melakukan kekerasan terhadap diri sendiri atau orang lain serta merosakkan harta benda.

Jika tidak ditangani secara rasional, emosi marah yang tidak melampau boleh melarat kepada perkara lebih buruk hingga menjejaskan kesihatan diri.

Sehubungan itu, jika anda mudah marah dan sikap negatif itu sering mengundang kesusahan kepada orang lain, anda perlu mencari alternatif menanganinya.

Mungkin kaedah pengurusan kemarahan atau anger management seperti yang diterangkan Pensyarah Kanan Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rozmi Ismail ini boleh dijadikan panduan.

Ikuti temubual kolum Tanya Pakar bersama Dr Rozmi...

Apa sebenarnya perasaan marah dari sudut psikologi?

Marah atau anger merujuk kepada keadaan emosi sesuatu yang hidup (haiwan atau manusia). Emosi ini mempunyai takat atau darjah tertentu daripada yang rendah kepada yang tinggi, iaitu keadaan terganggu atau sakit hati (pendam) kepada perlakuan yang lebih teruk iaitu keganasan atau membabitkan aksi fizikal terhadap rangsangan yang menjadi punca sakit hati.

Marah tergolong dalam kategori tingkah laku agresif yang juga dianggap sebarang tingkah laku yang mempunyai niat untuk menyakiti atau mencederakan orang lain atau diri sendiri secara fizikal atau psikologikal.

Definisi ini jelas menunjukkan tindakan mencederakan diri sendiri atau cuba membunuh diri juga dikategorikan sebagai agresif. Ini kerana ia merujuk kepada emosi marah dan perlakuan tertentu untuk melepaskan kemarahan.

Apakah punca yang menyebabkan seseorang marah?

Punca timbulnya emosi marah sangat banyak. Ia dibahagikan kepada dua iaitu faktor iaitu luaran dan dalaman. Faktor luaran termasuklah provokasi daripada orang lain, kekecewaan dan persekitaran yang mengganggu atau menyekat kehendak.

Misalnya, kesesakan lalu lintas, penangguhan penerbangan dan seumpamanya. Selain itu, kemarahan juga disebabkan sifat individu yang sangat sensitif, lekas naik baran, terlalu bimbangkan masalah yang dihadapi dan mungkin didorong trauma terhadap sesuatu yang berlaku pada masa lalu. Semua ini mendorong kepada hilangnya pertimbangan dan tahap kesabaran.

Dalam menerangkan mengapa tingkah laku agresif itu berlaku, ada beberapa pendekatan yang diguna pakai oleh ahli psikologi. Pada dasarnya, pendekatan ini berkaitan dengan perdebatan antara pengaruh pewarisan lawan pembelajaran (nurture versus nature) yang mendominasi perbincangan sebab-musabab tingkah laku sejak awal perkembangan psikologi moden.

Pandangan yang berpihak kepada faktor baka (nature) berpendapat, marah berpunca daripada keinginan dalaman atau sifat semula jadi manusia yang diwarisi atau desakan dalaman yang dikenali sebagai death wish. Hal ini berdasarkan kepada sejarah manusia itu sendiri yang sememangnya suka berperang dan berkelahi seperti haiwan.

Manakala pandangan yang berpihak secara eksklusif kepada sosiolisasi (nurture) adalah seperti teori dorongan dan teori pembelajaran. Dalam diri manusia, sentiasa muncul keinginan yang tidak tertahan apabila berdepan dengan sesuatu rangsangan. Misalnya marah, akan diikuti dengan perkataan kesat atau perlakuan tertentu. Ini semua dipelajari dari persekitaran sosial kita berada.

Contohnya, cara kita meluahkan perasaan marah atau mengeluarkan perkataan kesat akan dipelajari atau ditiru anak-anak. Pandangan ahli psikologi moden pula mengambil jalan tengah di antara kedua-dua pendekatan nurture vs nature ini iaitu dengan menyifatkan ia sebagai model perasaan agresif umum (general affective aggression model), mengambil kira semua faktor dalaman atau luaran yang membawa kepada emosi atau perlakuan marah.

Sejauh mana tahap emosi marah yang disifatkan normal?

Kemarahan adalah normal. Malah, manusia yang tiada langsung sifat marah boleh dianggap tidak normal. Apa yang penting ialah bagaimana mengawal kemarahan supaya tidak merosakkan diri sendiri.

Bertindak agresif apabila marah juga adalah biasa dan melepaskan kemarahan adalah sesuatu yang biasa. Manusia normal akan sentiasa mempertahankan diri mereka apabila diserang, maka mereka perlu mempertahankan diri untuk survival.

Namun, kita tidak boleh sesuka hati melakukan tindakan agresif untuk melepaskan emosi marah. Ini kerana kita ada peraturan dan norma sosial yang perlu dipatuhi.

Bagaimana cara yang dianggap wajar untuk meluahkan kemarahan?

Pelbagai cara untuk melepaskan emosi marah. Seseorang individu biasanya menggunakan kaedah melepaskan marah secara terus melalui perkataan, memendam atau menahan dalam hati ataupun bertenang serta memujuk hati bersabar.

Meluahkan marah secara overt (perkataan) tertentu adalah cara yang baik berbanding bertindak secara fizikal kerana ia tidak mencederakan atau menyakitkan orang lain.

Bagaimanapun, penggunaan perkataan melampau juga kadangkala boleh membangkitkan perasaan marah orang lain. Justeru, kita perlu berhati-hati supaya perlakuan kita ketika meluahkan marah tidak merosakkan diri sendiri atau orang lain.

Cara kedua ialah memendamkan rasa marah. Oleh kerana marah adalah sesuatu yang negatif, sesetengah orang bertindak dengan cara memendamkannya dan kemudian perasaan marah bertukar kepada sesuatu yang lebih positif.

Contohnya, anda marahkan perangai anak atau pasangan anda. Langkah paling positif adalah pendamkan perasaan marah dan lakukan perkara lain yang dapat mengalihkan perasaan pada waktu itu sekali gus meredakannya.

Tujuannya adalah untuk mengelak kita melakukan perkara negatif dan merosakkan orang lain serta menukar kepada tingkah laku yang lebih bermanfaat. Namun, cara begini dikatakan kurang sihat untuk diri sendiri. Ini kerana memendam kemarahan boleh mengakibatkan tekanan perasaan, tekanan darah dan kemurungan.

Kegagalan melepaskan kemarahan akan membuatkan seseorang mencari alternatif lain. Antaranya, memilih cara yang tidak sepatutnya seperti ilmu hitam, ugutan, merosakkan reputasi, membuat kritikan sinikal dan seumpamanya.

Cara ketiga ialah bertenang. Tidak ramai yang boleh melakukannya kerana ia memerlukan tahap kesabaran dan iman yang begitu tinggi. Melalui cara ini, seseorang bukan saja mengawal diri dari terjerumus dalam perkara merosakkan tapi turut memujuk hati anda supaya bertenang dan mengawal diri dari dipengaruhi emosi tidak menentu hinggalah perasaan marah itu hilang.

Apa itu pengurusan kemarahan atau anger management?

Pengurusan kemarahan adalah teknik mengurangkan emosi marah dan reaksi fisiologi yang timbul apabila marah. Kita tidak mungkin menghapuskan kemarahan sepenuhnya, tapi kita boleh mengurangkannya dan belajar menanganinya.

Jika kita rujuk semula komponen afektif keagresifan, kita dapati perasaan negatif adalah antara sebab tingkah laku ini berlaku. Perasaan yang tergolong di sini pula adalah kemarahan. Ini bermakna, jika kemarahan dapat dikawal, maka keagresifan juga dapat dikawal.

Segelintir ahli psikologi mencadangkan beberapa teknik bagi mengurangkan kemarahan iaitu ;

  • Bayangkan atau berangan-angan menyakitkan orang lain dalam minda akan memberi kepuasan kognitif.
  • Melalui perasaan simpati terhadap individu yang menyebabkan kemarahan atau melihat situasi dari perspektif mereka.
  • Menggunakan teknik diversi (pengalihan arah tumpuan) iaitu melakukan sesuatu yang lain sementara menunggu kemarahan reda dan dapat bertindak secara rasional.
  • Melalui intervensi kognitif seperti beranggapan bahawa situasi provokasi itu tidak penting dan tidak membawa apa-apa kesan.
  • Melalui penulisan dengan mencatat mengenai perasaan marah yang dihadapi.
  • Melalui ekspresi kemarahan secara berhikmah seperti mengambil kira aspek menghormati individu yang agresif.
Jenis individu bagaimana yang perlu mempraktikkan anger management?

Ia bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor peribadi atau personaliti individu. Satu antara aspek personaliti yang perlu dilihat adalah kehadiran personaliti jenis A. Pola personaliti jenis A merangkumi sikap kompetitif yang tinggi, sentiasa mengejar masa, mudah meradang dan bersikap pemarah.

Individu yang mempunyai personaliti jenis ini dikaitkan dengan mudahnya mendapat serangan jantung. Individu personaliti jenis B pula bertentangan dengan jenis A yang mana individu A lebih agresif berbanding individu B. Keagresifan adalah lebih tinggi di kalangan golongan lelaki jenis A di mana mereka mempunyai hormon testosteron yang lebih tinggi.

Individu jenis A lebih cenderung melakukan penderaan terhadap kanak-kanak atau pasangan mereka. Selain itu, ada juga orang yang memiliki personaliti psychopath yang mempunyai kecenderungan untuk bertingkah laku agresif ganas atau violent.

Individu psychopath disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, tiada simpati, rasa harga diri terlalu tinggi dan ketiadaan sensitiviti terhadap hukuman. Individu begini cenderung untuk bertingkah laku ganas dan selalu dimotivasikan matlamat tertentu.

Misalnya, pembuli di sekolah, kebanyakan pembuli tidak berperasaan dan memilih mangsa secara spesifik untuk memperoleh sesuatu ganjaran. Individu psychopath melihat agresif sebagai sesuatu yang memberi ganjaran.

Suami kaki pukul

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

Shikin sering menjadi bahan 'melepaskan geram' walaupun sedang hamil

SERING dipukul dan diperlakukan tanpa belas kasihan. Tidak cukup dengan pukulan dan tumbukan badan dipukul dengan apa juga peralatan yang sempat dicapai serta dicucuh dengan api rokok supaya ‘keseronokan’ dicapai sebelum melepaskan nafsu setiap kali pulang ke rumah.

Lebih malang, Shikin, yang berusia 34, berkata setiap kali pulang malam hari, suaminya berada dalam keadaan mabuk dan sering marah-marah tidak tentu pasal. Apabila keadaan itu berlaku, Shikin akan mengalami kecederaan dan lebam-lebam di seluruh badan akibat diserang tanpa belah kasihan.

Tetapi, apakan daya, dia terpaksa reda kerana tiada tempat untuk mengadu kasih berikutan kehidupannya yang yatim piatu.

“Setiap kali terdengar bunyi enjin kereta Zul (bukan nama sebenar) yang terhenti secara mendadak di laman rumah kami, hati saya mula cemas dan tidak menentu. Saya tahu sudah pastinya dia sedang mabuk dan mencari mangsa untuk melepaskan nafsu binatangnya itu.

“Tanpa menghiraukan keadaan saya yang letih dan berbadan dua, sebelum melakukan hubungan seks, dia gemar melihat saya meraung kesakitan akibat ditarik dari katil dan jatuh ke lantai serta bertindak untuk menampar dan menggigit saya sepuas hatinya,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah rendah syariah di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Shikin yang kelihatan jauh lebih berusia dari umurnya berkata, kekejaman itu berlarutan selama tiga tahun dan sudah berkali-kali dia mengalami keguguran akibat perbuatan suaminya sehinggalah perkara itu disedari oleh ibu mentuanya sendiri.

“Saya sering merayu kepada Zul supaya berubah dan mengingatkannya akan keadaan saya yang berbadan dua, namun tidak diendah. Sebaliknya dia bertukar menjadi lebih ganas dan kelakuannya sungguh mengerikan.

“Penderaan dilakukan suami akhirnya terbongkar secara tidak sengaja apabila ibunya secara tidak sengaja masuk ke bilik saya ketika saya sedang menyapu ubat dan terlihat kesan lebam termasuk luka serta gigitan,” katanya.

Ibu mentua yang bersimpati terhadap apa yang menimpa Shikin tanpa berfikir panjang terus membawanya berjumpa doktor kerana khuatir akan kesihatan bayi yang dikandung sekali gus membuat laporan polis demi keselamatan menantunya.

“Ibu sangat baik dan tidak menyebelahi anak tunggalnya. Namun pertolongan yang dihulurkan ibu dibantah sekeras-kerasnya oleh suami saya sehingga dia hampir menaikkan tangan terhadap ibu sendiri.

“Zul yang berang terus keluar dari rumah dan meninggalkan kami tanpa berita selama seminggu sehinggalah dia menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) dan menceraikan saya kerana membenarkan orang lain campur tangan dalam hal rumah tangga kami,” katanya.

Menyedari perkahwinannya itu tidak dapat diteruskan dan tidak sanggup menjadi tempat untuk melepaskan nafsu buas suaminya, dia rela menerima perceraian yang dilafazkan suaminya.

“Proses perceraian yang dilakukan atas kerelaan hati masing-masing itu namun terpaksa ditangguh kerana saya sedang mengandung dan talak tidak boleh dijatuhkan pada waktu sebegini. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tahun depan sebagai tarikh keputusan perceraian kami.

“Hati saya masih sedih dengan keputusan yang diambil oleh suami, saya terima dengan hati yang ikhlas dan harap bayi yang dikandung ini menjadi permata hati yang tidak ternilai harganya. Saya juga sentiasa mendoakan agas Zul berubah dan tahu menilai erti seorang isteri bukan sekadar tempat melepaskan nafsu buasnya itu,” katanya dalam nada yang sebak dan kesal.

Sesalan bekas GRO

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
fatin@bharian.com.my

KEMEWAHAN diperoleh hasil kerelaan membiarkan lelaki yang 'kegersangan' meratah diri, menjadikan Shida lupa akan dosa terhadap-Nya. Hidup bergelumang dengan maksiat bagaikan makanan setiap harinya sehingga dia bagaikan mempersendakan didikan agama yang pernah menjadi pegangannya satu ketika dulu.

Shida, ibu tunggal yang mempunyai seorang anak gadis berusia lima tahun berkata, kerana takut untuk hidup dalam kesusahan selepas kematian suaminya akibat kemalangan, dia terikut-ikut dengan pujukan rakan-rakan untuk bekerja di sebuah kelab malam bagi mendapatkan hasil pendapatan lumayan.

Risaukan anaknya yang baru berusia setahun ketika itu, Shidah menghantarnya ke rumah ibu bapanya untuk sementara waktu sehingga dirinya boleh menyesuaikan diri dengan pekerjaan baru itu.

“Pada mulanya, saya rasa takut dan kekok dengan pekerjaan saya yang memerlukan saya menemani dan melayan lelaki asing pelbagai rupa serta perangai yang tidak senonoh sehingga membuatkan saya sungguh meluat melihat mereka.

“Saya tidak tidak pandai menari atau menyanyi, tetapi dipaksa untuk melakukan semua perkara itu. Jika ditolak kemahuan itu, mereka akan mula memarahi dan menghalau saya keluar dari bilik seperti saya ini sampah. Berputus asa dengan keadaan itu, saya berjumpa dengan seorang lagi rakan yang menyarankan saya bekerja di tempat lain sebagai GRO.

“Dia memberikan saya sebiji pil untuk menghilangkan keresahan diri dan tanpa banyak cerita, saya rela menelannya. Sehingga tiba satu tempoh, kepala saya mula berpusing dan tidak lama kemudian mula berasa diri terawang-awang,” katanya ketika ditemui di mahkamah syariah di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Shidah memberitahu, selepas itu dia mula berseronok dengan keadaan dirinya yang tidak terkawal dan ketagih dengan pil itu sekali gus membuatkannya berani melayani setiap pelanggannya tanpa rasa segan. Layanan yang pada mulanya hanya sekadar di bilik karaoke, kemudian beralih ke bilik hotel.

“Dalam keadaan separa sedar, saya gian melakukan aksi bersama ‘tetamu’. Mereka dikenakan bayaran mengikut jam dan bermula dengan harga RM250 dan seterusnya. Pernah saya ditempah untuk menemani seorang lelaki yang bergelar VIP selama seminggu sepanjang dia bercuti di ibu kota.

“Seronok dengan kemewahan dimiliki, saya lupa akan anak tunggal saya. Saya tidak endah untuk pulang ke kampung menjengok walaupun puas ibu menelefon dan memujuk saya untuk pulang sebentar bagi mengubati kerinduannya,” katanya sambil mengerling matanya ke arah lain bagi menahan sebak.

Walaupun sedih mengenangkan pengalaman lalu, Shida berkata, dia tidak pernah menyalahkan temannya atas apa yang berlaku kepada dirinya dan sehingga kini mengakui mereka masih berkawan rapat.

Jika direnung wajah wanita itu, tidak hairanlah jika dia berjaya mengumpan ramai lelaki dengan kulit dan potongan badannya yang masih kental dan menggiurkan. Namun katanya, kecantikan tidak mampu menjaminkan apa-apa.

Kerjaya sebagai ‘pelayan’ akhirnya membawa Shida ke jinjang pelamin apabila bertemu seorang usahawan terkemuka berusia 50-an. Bagaimanapun perkahwinan itu dirahsiakan termasuk daripada isteri pertama suaminya, H dan Shida akui sungguh bangga dengan sikapnya yang tidak memilih kasih dan menerima dia seadanya.

“Kerana sayang, dia menyuruh saya berhenti berkerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga. Saya bersyukur dengan permintaannya, sekurang-kurangnya saya tidak lagi perlu bersusah payah bekerja.

“Malah, ketika mengambil keputusan berkahwin saya menganggap inilah masanya menebus kesilapan terhadap anak saya dan selepas puas memujuk H, akhirnya dia setuju membenarkan saya membawa anak saya tinggal bersama,” katanya.

Selepas setengah tahun melayari bahtera dengan lelaki kaya itu, akhirnya perkahwinan sulit itu terbongkar dan keadaan menjadi tidak huru-hara berikutan campur tangan isteri pertama, sekali gus menghalang suaminya untuk bertemu dengan Shida.

“Perkara itu membuatkan suami yang sebelum ini begitu romantik menjadi ganas dan baran. Dia hanya akan pulang ke rumah pada siang hari dan berkelakuan kasar selain gemar memaksa saya melakukan seks.

“Tidak cukup dengan itu, saya juga sering dijadikan tempat untuknya melempar bermacam barang jika terlambat atau tersilap dalam melakukan sesuatu perkara. Habis calar dan lebam badan saya dibuatnya, dan apa yang menakutkan saya apabila dia gemar memeluk tubuh anak saya yang sudah meningkat remaja dengan erat dan menciumnya penuh berahi,” katanya.

Risau dan takut anak gadisnya diapa-apakan, Shida mengambil keputusan untuk menghantar anaknya ke rumah orang tuanya. Keputusannya itu ternyata tidak boleh diterima suaminya sehingga menyebabkan lelaki itu melafazkan cerai talak satu terhadap wanita malang itu.

“H naik berang selepas mendapati anak saya sudah tiada di rumah kami lagi. Selepas beberapa kali muka saya ditampar dan ditendang, dia melafazkan cerai talak satu terhadap saya,” katanya.

Sambil menundukkan kepalanya dan mengesat air mata, Shida berkata, dia bersyukur kerana tidak terus bekerja sebagai pelayan dan menganggap apa yang berlaku terhadapnya adalah 'bayaran tunai' dari-Nya.

Dinoda teman lelaki sehingga hamil

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

fatin@bharian.com

HABIS madu sepah dibuang. Begitulah luahan hati wanita malang ini selepas kecewa ditinggalkan kekasih yang pernah menabur janji manis untuk sehidup semati. Ijan (bukan nama sebenar), bukan saja sanggup berkongsi harta dan wang, bahkan rela ditiduri demi menjaga hati lelaki durjana itu.

Semuanya kerana terlalu percayakan pujukan Hamid (juga bukan nama sebenar) yang dianggap benar-benar ingin bersama buat selamanya tidak kira susah mahupun senang, sama-sama ditempuhi, walaupun hubungan mereka ditentang tegas oleh keluarga.

Bagi Ijan, demi cinta yang tulus, lautan api sanggup direnangi sehingga keterlanjuran mereka menghasilkan benih tanpa ikatan yang sah di sisi Islam.

Pada pertemuan baru-baru ini, wanita berusia 24 tahun yang tidak ubah lagaknya seperti lelaki itu berkata, pada mulanya dia menyangka Hamid akan bertanggungjawab terhadap dirinya apabila menerima khabar berita mengenai orang ketiga itu dan mereka dapat bersama menjalani kehidupan seperti pasangan lain yang hidup sebagai suami isteri yang sah.

“Saya berusia 18 tahun ketika itu. Kami hidup mengalahkan pasangan suami isteri dan tidak pernah berenggang. Saya rasa sungguh bahagia dan menanam impian untuk terus hidup bahagia bersamanya lebih-lebih lagi apabila mengetahui saya mengandungkan anaknya.

“Namun, dia terkejut dengan ‘kejutan’ saya, lalu menyuruh saya menggugurkan kandungan itu kerana tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab yang berat dan berjanji akan menerima keadaan itu selepas benar-benar bersedia,” katanya ketika ditemui di mahkamah syariah, baru-baru ini.

Kata wanita itu, dia yang terpedaya dengan pujukan pasangannya itu tanpa rasa bersalah bersetuju untuk menggugurkan kandungan itu, sehingga mengalami pendarahan yang banyak dan menanggung kesakitan amat sangat. Keperitan itu terubat apabila lelaki itu mengajaknya untuk berkahwin dan menginsafi segala perbuatan sumbang yang dilakukan oleh mereka berdua.

“Walaupun kenduri kahwin kami itu diadakan secara kecil-kecilan dan pernikahan itu tidak diwalikan bapa saya, saya sangat bersyukur dan gembira pada saat itu. Selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga bersamanya, saya didapati mengandung lagi.

“Berita gembira yang ingin dikongsi bersama itu ditepis olehnya sekali lagi dan saya disuruh untuk menggugurkan kandungan buat kali kedua. Bagaimanapun, saya yang enggan melakukan pengguguran itu dimaki dan ditendang,” katanya sambil mengeluh dan memalingkan pandangannya ke arah jalan besar.

Memandangkan dia tegar dengan keputusannya untuk meneruskan kandungan, Hamid melafazkan cerai.

“Mahkamah memutuskan talak yang dijatuhkan kepada saya ditangguhkan dan berkuat kuasa sehingga anak yang dikandung ini lahir. Segala pahit getir, susah senang mengandung dan bersalin saya jalani sendiri tanpa bantuannya.

“Saya selamat melahirkan anak lelaki. Baru saya sedar betapa sukarnya ibu mengandungkan saya dan tanpa rasa simpati saya sewenang-wenangnya menghancurkan hatinya. Mulai saat itu saya berazam untuk membesarkan anak saya dan memberikannya kasih sayang yang secukupnya.

“Keadaan sedikit sebanyak mempengaruhi emosi saya, saya tertekan dengan kehidupan ditindas oleh suami sendiri sehingga mengubah perwatakan saya dari seorang yang berambut panjang menjadi pendek. Saya juga mula memakai kemeja-T dengan seluar besar dan ini membuatkan saya rasa gagah untuk berdikari,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kehadirannya yang masih berada di mahkamah pada hari itu, Ijan berkata, bekas suaminya yang dulu enggan memikul tanggungjawab sebagai bapa, kini cuba mengubah kenyataan itu sekali gus memfailkan tuntutan penjagaan anak.

“Seketika dulu, dia pernah cuba untuk membunuh anaknya itu, kini dia ingin merebutnya daripada saya selepas pahit-getir saya lalui sendiri. Tidak kira apa pun, saya akan terus berusaha untuk mendapatkan hak penjagaan itu.

“Cara Hamid yang menyuruh saya melakukan perbuatan kejam itu tidak mungkin dapat saya lupakan apatah lagi hendak melepaskan anak saya kepada orang yang dulunya hendak membunuhnya dan harap proses ini dapat dipercepatkan oleh pihak mahkamah syariah,” katanya yang tidak mampu menahan sebak.

Di cerai kerana ingkar arahan suami

Rania terpaksa keluar bekerja bagi tampung keperluan anak sakit walaupun suami tidak benarkan

HATI Rania (bukan nama sebenar) tidak keruan. Apakah yang harus dilakukan? Perlukah dia hanya berdiam diri saja? Pada siapakah dirinya hendak mengadu? Satu persatu soalan bermain di dalam fikirannya. Sukar benar baginya hendak mencari penyelesaian. Fikirannya pula menjadi semakin kusut. Rania teringatkan peristiwa yang berlaku sebulan lalu.

Mengingatkannya semula, tiba-tiba hatinya berasa sayu. Inikah kesudahannya cinta dan kasih sayang yang dipupuk hampir 15 tahun. Dalam sekelip mata saja, segala-galanya punah ranap. Pertengkaran dengan suaminya hari itu, meninggalkan luka yang perit sekali untuk ditanggung Rania. Sama sekali tidak terduga, suaminya akan melafazkan tutur kata itu.

Rania pasti, suaminya itu tidak akan bermain dengan kata-kata itu. Sebaliknya, itulah sebenarnya yang dimaksudkan. Lagipun, pertengkaran itu bukan yang pertama, tetapi sudah banyak kali dan isunya tetap sama. Suami tetap tidak membenarkannya bekerja semula biarpun sudah beratus kali Rania merayu memberikan keizinan berbuat demikian.

Sebagai amaran - suaminya berkata, kalau Rania keluar bekerja semula maka jatuhlah talak. Mendengar kata-kata itu tersentap jantung Rania mendengarnya. Namun, kata-kata seumpama itu pernah diucapkan suaminya setahun yang lalu. Isunya juga adalah sama. Rania tidak boleh bekerja semula, jika meneruskan juga hajat itu maka akan ada padah yang menimpa perkahwinan mereka.

Peristiwa yang berlaku setahun dan sebulan lalu itu benar-benar menghantui Rania. Kali ini dirinya tidak boleh berdiam lagi. Rania perlu mencari kepastian. Dua hari lalu, Rania melanggar ‘amaran’ suaminya. Rania terpaksa bekerja semula, duit simpanan semakin surut. Masalah kesihatan anak bongsu mereka yang memerlukan rawatan dengan perbelanjaan yang banyak begitu membimbangkan. Sedangkan, suaminya bagaikan tidak endah apa yang berlaku, sebaliknya lebih mementingkan teman wanita dikenali setahun lalu.

Akhirnya, Rania menghubungi rakan baik bagi mendapatkan pandangan. Teman baik menasihatkannya mengambil khidmat peguam syarie untuk membantu menyelesaikan hal itu.

Maka bermulalah perjalanan yang lebih memilukan Rania, tetapi dirinya tiada pilihan. Perkara itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah dan melalui peguam syarie, Rania memfailkan permohonan pengesahan cerai terhadap suaminya. Namun, bukan mudah keputusan itu dibuat dan jika boleh Rania tidak mahu berdepan dengan semua itu.

Malu pada keluarga dan rakan, fobia turun naik mahkamah serta sedih memikirkan kehancuran rumah tangga yang dibina menyebabkan dirinya berasa terus tertekan. Lagipun, sepanjang usia 41 tahun hidupnya, belum pernah lagi kaki Rania menjejakkan kaki ke Mahkamah Syariah. Apabila kes difailkan mahu tidak mahu, Rania harus melalui semua itu. Rania cuba membina kekuatan diri sendiri dan membiasakan diri dengan semua keadaan itu.

Pada awal perjalanan kes, mahkamah syariah menolak permohonan pengesahan cerai berkenaan berikutan Rania gagal mengemukakan saksi untuk mengukuhkan dakwaannya. Kemudian, kes itu terpaksa ditangguhkan pada suatu tarikh ditetapkan apabila hakim asal yang mengendalikan perbicaraan kes itu tidak hadir kerana mengikuti kursus. Begitulah antara liku-liku yang terpaksa diharungi sehinggakan tidur malamnya tidak pernah lena dan sering diburu mimpi-mimpi ngeri.

Sehinggalah lima bulan berlalu, akhirnya terjawab juga soalan itu. Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan mereka bercerai talak satu selepas Rania melanggar lafaz taklik suaminya. Hakim dalam keputusan penghakimannya, mengesahkan perceraian itu selepas Rania (plaintif) melanggar lafaz taklik bekas suaminya, (defendan) apabila dia kembali bekerja. Berikutan itu, mahkamah mengesahkan perceraian berlaku dengan talak satu. Mahkamah turut memerintahkan Rania yang bertindak sebagai plaintif beredah selama tiga bulan dari tarikh dia melanggar lafaz taklik.

Rania pasrah dengan keputusan itu. Tiada langsung riak wajah gembira yang dipaparkan sebaik saja kakinya melangkah ke luar Mahkamah Syariah. Runtuh sudah mahligai 15 tahun yang dibina. Namun, dirinya sedar kehidupan baru harus dibina dan amat berharap meskipun sudah bercerai, bekas suami tidak lupa tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada dua anak hasil perkahwinan lalu mereka.

Selasa, Oktober 13, 2009

Berdoa untuk kasih sayang

SOALAN 1:
Adakah jatuh talak sekiranya selepas solat saya berdoa begini, "Ya Allah ya tuhanku ketika ini aku tiada lagi perasaan cinta dan sayang dalam diriku terhadap isteriku, sekiranya perpisahan dan perceraian adalah yang terbaik untuk kami berdua?

JAWAPAN:
Tidak jatuh talak seseorang yang berdoa seperti mana yang dinyatakan. Namun demikian dinasihatkan agar anda berdoa supaya Allah SWT menyuburkan kembali kasih sayang anda suami isteri serta dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing sehingga akhir hayat.


Doa merupakan senjata orang-orang mukmin, maka berdoalah untuk memohon kebaikan hidup dan rahmat Allah.

SOALAN 2:
Apakah hukum khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan yang bukan mahram? Saya berkenalan dengan bakal suami secara tidak sengaja melalui SMS dan agak 'larut' dalam perhubungan begini sebelum terikat dengan perkahwinan yang sah.


JAWAPAN:
Anda disarankan supaya tidak meneruskan SMS yang bertentangan dengan hukum syarak. Jika calon suami anda berkemampuan dan bersedia untuk mendirikan rumah tangga segeralah berkahwin.


Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Wahai Pemuda-pemuda sekiranya kamu berkemampuan untuk berkahwin maka bersegeralah kamu berkahwin. (riwayat Bukhari dan Muslim).

SOALAN 3:
Apa hukum kemesraan seorang kakak dengan adik lelaki kandung, contohnya perbuatan mencium pipi atau memeluk kakaknya? Adakah ia berdosa?

JAWAPAN:
Tidak berdosa kerana perbuatan mencium pipi atau memeluk itu adalah gambaran kasih sayang. Mungkin perkara tersebut janggal dalam budaya Melayu kerana masyarakat kita tidak mengamalkan perbuatan itu untuk menunjukkan kasih sayang sesama mahram.


Perkara itu menjadi perkara biasa dalam amalan budaya Arab dan barat. Harus mengamalkan perkara tersebut bagi menunjukkan kasih sayang dan keakraban kita sesama ibu bapa dan adik beradik.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang tidak mengasihani dia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari).

Namun, jika seorang mahram mencium atau memeluk mahramnya yang lain dalam keadaan ghairah dan menimbulkan fitnah maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Khamis, Oktober 08, 2009

'Nikmat' bersalin normal

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Utusan Malaysia

TIGA puluh atau 40 tahun dulu ketika perkhidmatan kesihatan belum begitu meluas proses bersalin atau melahirkan bayi di rumah merupakan situasi biasa di kalangan masyarakat.
Proses kelahiran secara normal di rumah berlaku tanpa peralatan-peralatan canggih sekadar kehadiran bantuan 'mak bidan' dan jururawat desa (jika ada).


Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dalam dunia perubatan, sebahagian besar proses kelahiran berlaku di hospital dengan bantuan para doktor dan jururawat serta peralatan-peralatan moden.

Malah sesetengah bakal ibu memilih untuk bersalin secara pembedahan atau menikmati kecanggihan ubat-ubatan dengan fungsi untuk mengurangkan sakit bersalin.

Sebab itu bakal ibu zaman ini sudah terlalu biasa dengan istilah-istilah seperti ceaserean, induce, epidural, vasektomy, etonox dan pelbagai lagi teknik rawatan bagi membantu memudahkan proses bersalin.

Sedangkan kaedah bersalin secara normal pula hanya relevan di hospital-hospital kerajaan (jika tiada komplikasi yang melibatkan nyawa ibu atau bayi).

"Bersalin adalah satu proses semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada setiap wanita yang mengandung.

"Tidak ada mana-mana wanita mengandung yang akan kekal mengandung selama hayat mereka, cukup tempoh anak akan keluar melalui saluran peranakan ibu sebagai satu tindak balas semula jadi sistem tubuh mereka," ujar Nadine Ghows, pengasas The Gentle Birthing Group (GBG), sebuah kumpulan sokongan untuk ibu-ibu yang memilih untuk bersalin secara normal.

Kini menurut Nadine, di negara-negara Eropah bersalin normal di rumah menjadi pilihan kebanyakan ibu-ibu di sana.

Malah kebanyakan daripada mereka juga berminat memilih kaedah bersalin normal di dalam air untuk menambah pengalaman melahirkan anak.

"Ada di kalangan wanita yang mula mempersoalkan tentang penggunaan ubat-ubatan ketika proses bersalin.

"Kelahiran normal bukan sahaja memberikan satu kelahiran yang tanpa sebarang intervensi malah ia memberi si ibu membuat keputusan sendiri untuk melalui proses bersalin yang mereka mahu.

"Kita perlu didik minda kaum ibu bahawa setiap penggunaan ubat-ubat kimia memberi kesan kepada bayi yang dilahirkan.

"Sebagai contoh, seorang ibu yang mengambil gas etonox untuk mengurangkan rasa sakit ketika bersalin mungkin tidak mengetahui gas tersebut boleh sampai kepada bayi mereka dan sedikit sebanyak memberi kesan pada bayi. Antaranya bayi mungkin akan lambat bertindak balas terhadap penyusuan dan beberapa masalah lain lagi yang masih dalam kajian.

"Jika kandungan tidak mempunyai apa-apa komplikasi, pilihan terbaik ialah bersalin secara normal tanpa sebarang intervensi," jelasnya yang ditemui di kediaman ibunya yang terletak di Subang, Selangor, baru-baru ini.

GBG baru saja ditubuhkan oleh kumpulan ibu yang mahu dan memilih untuk melahirkan bayi mereka secara normal tanpa sebarang tekanan untuk menggunakan kaedah intervensi yang tidak begitu diperlukan.

Kumpulan sokongan itu juga seboleh-bolehnya memberikan galakan dan sokongan terbaik kepada si ibu yang mahukan kelahiran bayi mereka secara normal.

"Ketika mengandungkan anak sulong saya ini, saya berkesempatan bertemu dengan ramai kenalan, keluarga dan wanita biasa yang berkongsi pengalaman melahirkan bayi.

"Selain itu saya juga banyak membaca bahan bacaan tentang kelahiran, belajar senaman dan menghadiri kelas pranatal dan terapi alternatif seperti akupuntur," jelasnya yang melahirkan anaknya, Sarah Ayesah Shafie, ketika berada di Australia dua tahun lalu.

Hasil daripada bertukar-tukar pandangan dan pembacaannya Nadine mendapat kesimpulan sendiri bahawa sokongan, penjagaan dan galakan yang diterima oleh bakal ibu daripada kenalan dan keluarga menjadi penentu sama ada kelahiran yang bakal berlaku secara normal atau sebaliknya.

Malah katanya, ramai wanita yang mampu bersalin normal memilih untuk bersalin di rumah melalui nasihat dan pengawasan pegawai perubatan.

"Jika ibu memilih untuk bersalin di rumah dengan kaedah bersalin di dalam air, dia perlu memaklumkan kepada hospital berdekatan agar langkah serta peraturan sepatutnya akan dapat diikuti.

"Lazimnya ibu akan diawasi oleh seorang doktor dan jururawat dan mengikut pengalaman mereka yang pernah melahirkan anak di dalam air, proses kelahiran tersebut kurang sakit berbanding kelahiran biasa," jelasnya lagi.

Kelahiran dalam air di Malaysia

Nadine percaya memang terdapat ramai wanita di Malaysia yang bersalin secara normal dan tidak kurang juga yang berminat mencuba kaedah bersalin di dalam air.

"Sehingga kini terdapat dua hospital di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kelahiran di dalam air iaitu di Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Island Hospital Penang," ujarnya yang kini sedang mendalami bidang pendidikan kelahiran bayi.

Begitupun di negara ini, kaedah bersalin di dalam air masih belum dipraktikkan dengan meluas.

"Terdapat banyak jenis kolam untuk bersalin dengan pelbagai saiz dijual dengan meluas di pasaran Britain. Kolam tersebut juga ada dijual di Internet serta farmasi tertentu di Malaysia," katanya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang GBG bolehlah menghantar soalan dan kemusykilan anda kepada alamat e-mel: mygentlebirth@gmail.com



Isnin, Oktober 05, 2009

Siswi dua alam

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FUAD HADINATA YAACOB

KUALA LUMPUR: Di siang hari, penampilan mereka bak muslimah sejati tetapi apabila tirai malam dibuka, hilang segala tudung, baju kurung atau jubah yang dipakai dan perwatakan mereka juga bertukar 100 peratus.

Ada yang ‘kemaruk’ berhibur di disko atau karaoke dan lebih mengejutkan, ada juga yang ‘lemas’ di pangkuan lelaki yang jauh lebih berusia tetapi berpoket tebal.

Itu tembelang segelintir ‘siswi alim kucing’ yang hanyut dengan gaya hidup kota metropolitan selepas bebas daripada pemantauan ibu bapa berikutan berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Pendedahan itu dibuat seorang kontraktor berusia pertengahan 40-an yang hampir dua tahun mengadakan hubungan sulit dengan seorang siswi.

Kontraktor itu mendakwa siswi ‘belaannya’ bukan saja kemaruk berhibur tetapi benar-benar mata duitan kerana sentiasa meminta wang setiap kali berjumpa.

“Jika keluar dengan mereka, asyik minta wang saja, kononnya nak bayar sewa rumahlah, beli bukulah, walhal pergi joli dengan kawan.

“Jika diajak menginap di hotel, lagi banyak jumlah diminta,” kata kontraktor itu yang hanya mahu dikenali sebagai Abidin.

Abidin menamakan siswi yang menjadi temannya sebagai Gina, berusia 20 tahun dan berasal dari selatan Semenanjung.

“Saya mengenalinya (Gina) menerusi seorang rakan yang menuntut di IPT sama dengan Gina. Ketika mula berkenalan, saya sangka dia budak baik sebab bertudung dan berbaju kurung, tetapi apabila berjumpanya pada waktu malam, saya terkejut lihat penampilannya.

“Habis hilang semua tudung dan baju kurung. Wajahnya penuh solekan, kuku dicat dan pakaian ketat habis!” katanya.

Abidin berkata, siswi itu kemudian meminta supaya dibawa jauh dari kawasan kediaman dan tempat pengajiannya kerana bimbang dilihat rakan atau pensyarah.

“Gina beritahu, hanya rakan terdekat tahu siapa dirinya yang sebenar. Di tempat pengajian, dia menyembunyikan tembelangnya dengan penampilan bak muslimah sejati. Malah, Gina beritahu dia mengehadkan pergaulan dengan rakan lelaki kerana bimbang disalah tafsir oleh rakan,” katanya.

Kali pertama Abdin berjumpa Gina ketika pergi makan, tetapi untuk kali kedua Gina tidak mahu pulang awal, sebaliknya mahu ke pusat karaoke.

“Rupa-rupanya ‘ligat’ siswi itu. Bukan saja berkaraoke, disko pun dia layan juga. Pada mulanya saya sekadar membelanja, tetapi lama kelamaan dia asyik minta wang dan kerap ajak saya membeli-belah,” katanya.

Abidin berkata, apabila asyik mengeluarkan wang, dia mahu mempergunakan ‘sepenuhnya’ siswa itu dan mempelawanya bermalam di hotel bersamanya.

“Tak susah rupanya (bawa Gina ke bilik hotel). Asalkan saya beri jumlah wang diminta, dia rela. Rupa-rupanya Gina bukan budak baik, ‘alim kucing’ saja,” katanya.

Sepanjang hubungan mereka, kata kontraktor berkenaan, Gina turut menjalin hubungan sulit dengan rakannya.

“Apabila saya tanya dia tidak mengaku, tetapi dia tidak tahu rakan saya sudah cerita semuanya kepada saya. Rakan saya juga kontraktor. Asalkan boleh berhibur dan dapat wang, Gina terima saja,” katanya.

Abidin berkata, dia turut berkenalan dengan rakan Gina yang juga berperwatakan ‘alim kucing’.

Rakan Gina itu pun saya ‘pakai’ (tiduri) juga, tetapi tak mampu mengawalnya. Asyik ajak saya ke disko saja.

“Rakan Gina memang lebih ‘ligat’. Hisap rokok, minum arak dan layan pil khayal,” katanya.

Bagi membuktikan dakwaannya, Abidin mempelawa wartawan Metro Ahad menemui Gina dan sepanjang pertemuan, perwatakan Gina sememangnya seperti didakwa Abidin.

Gina yang bermekap tebal dan berpakaian ketat mengakui bertudung untuk ke kelas dan bijak menyembunyikan tembelangnya. Malah ketika dibawa keluar, dia mahu bertemu di lokasi yang jauh dari tempat pengajiannya.

“Bukan apa bang, nanti kawan nampak, kecoh! Penampilan saya di kelas bukan begini. Mereka (rakan) tak tahu saya ligat,” kata Gina.

Seperti didakwa Abidin, siswi itu memang mata duitan. Dia asyik meminta wang daripada Abidin, minta dicarikan rumah sewa, malah turut meminta dibelikan kereta.

Ketika berbual, Gina menyatakan ramai ‘siswi alim kucing’ sepertinya, malah lebih ligat daripadanya.

“Abang jangan ingat siang hari mereka pakai tudung, mereka memang berpenampilan begitu. Siang pakai baju kurung dan jubah, tetapi malam hari pakai seksi dan ketat, malah ada yang pakai skirt pendek.

“Ada yang hisap rokok, minum arak, makan pil khayal. Saya ini oklah lagi sebab saya tak hisap rokok, tak minum arak dan ambil pil,” katanya yang mengaku apa yang berlaku disebabkan pengaruh kawan.

“Bila dah berkawan dan jauh daripada ibu bapa, kita bebas buat apa saja. Kawan keluar malam, kita ikut. Kawan cari teman, kita buat juga,” katanya.

Malam itu, selepas menghantar Gina pulang, terbukti dia belum puas. Gina rupa-rupanya tidak mahu pulang awal, tetapi mahu keluar lebih lama bersama Abidin.

Apabila Abidin mempelawa Gina bermalam di hotel, Gina tidak kisah asalkan diberi wang. Satu lagi syarat, pulang sebelum jam 11 pagi esok kerana dia ada kuliah.

Jumaat, Oktober 02, 2009

Suami kahwin pembantu rumah

SOALAN:
Saya seorang guru dan sudah berkahwin lebih enam tahun lalu. Saya mempunyai seorang anak berusia empat tahun. Masalah bermula selepas kami mengambil pembantu rumah pada akhir tahun lalu.

Rupa-rupanya suami dan pembantu rumah sudah bercinta di luar pengetahuan saya. Pada awal tahun ini, saya ditinggalkan suami kerana ingin berkahwin dengan bekas pembantu rumah kami. Oleh kerana suami sudah meninggalkan saya hampir sembilan bulan tanpa nafkah, saya tidak dapat bersabar dan berhasrat memohon cerai.

Malangnya, saya tidak tahu di mana suami tinggal sekarang sedangkan ketika ke mahkamah syariah, pegawai mahkamah memberitahu bahawa saya perlu mengetahui alamat suami terlebih dulu. Menurut pegawai berkenaan, kes saya akan menjadi lebih lama untuk diselesaikan kerana saya perlu menyampaikan saman kepada suami. Pegawai terbabit juga mencadangkan saya menggunakan khidmat peguam. Apakah yang harus saya lakukan?

*Salbiah Abdullah,
Ampang, Selangor.


Jawapan:
Nasihat pegawai di mahkamah bahawa puan perlu mengetahui alamat suami, adalah benar. Pada asasnya apabila puan memulakan tindakan mal seperti memohon fasakh, taklik atau perceraian biasa, ia akan bermula dengan saman dan penyata tuntutan.

Puan perlu menyediakan dokumen itu dan perlu diserahkan kepada suami atau dipanggil defendan dalam kes ini. Ia bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya.

Perkara itu ditetapkan dalam peruntukan Enakmen Tatacara Mal Negeri. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.

Cara penyampaian saman pula secara kendiri iaitu dengan menyerahkan saman bermeterai kepada defendan dan diperiksa olehnya. Saman itu perlu diserahkan kepada beliau. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan.

Saman itu perlu diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh ia dikeluarkan. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu dalam tempoh berkenaan.

Jika tempoh itu sudah atau akan luput, puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh sah saman itu.

Sebenarnya puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti.

Jika mahkamah berpuas hati atas alasan yang mencukupi bahawa saman itu tidak dapat disampaikan secara kendiri seperti dinyatakan di atas, mahkamah boleh memerintahkan saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat defendan yang terakhir atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah.

Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan jika difikirkan patut.

Penyampaian ganti bermakna, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, tetapi kesan tindakan itu di sisi undang-undang seolah-oleh defendan sudah menerima saman itu secara kendiri.

Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah perlu menyifatkan saman itu sudah disampaikan kepada defendan. Selepas penampalan dan pengiklanan dibuat, puan perlu memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan penyampaian ganti sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah.

Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, puan boleh memohon kes dibicarakan.

Perkara kedua adalah mengenai tindakan atau kaedah perceraian mana yang boleh digunakan dalam tuntutan atas alasan ditinggalkan tanpa nafkah. Puan boleh menggunakan kaedah taklik atau fasakh atas alasan yang sama. Puan mesti mendapatkan bahan bukti dan keterangan untuk menyokong dakwaan serta tuntutan puan.

Perkara ketiga adalah mengenai nasihat pegawai supaya puan menggunakan khidmat peguam syarie juga adalah benar. Ini bagi memudahkan puan sebagai orang awam.

Dengan adanya peguam syarie, ia akan memudahkan urusan dengan mahkamah. Jika puan kurang berkemampuan untuk menggunakan khidmat peguam syarie berbayar, boleh mendapatkan nasihat dari Biro Bantuan Guaman (BBG) berdekatan.